Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah islam dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya. [Surah Ali Imraan: Ayat19]

Rakan Iban Muslim

11 Mei 2009

Seterusnya, Kehakiman Rakyat Pula

Ibarat roda yang berputar. Kadang-kadang di atas, kadang-kadang di bawah. Itulah kehidupan. Begitu juga politik. Kerana politik itu adalah sebahagian daripada kehidupan.

Bagi yang di atas, jangan lupa satu hari nanti mungkin akan berada di bawah. Bagi yang berada di bawah, apabila berpeluang berada di atas, jangan lupa satu ketika dulu pernah berada di bawah dan mungkin sampai masanya akan berada di atas.

Pusingan ini adalah satu perkara yang biasa. Apabila berada di puncak kadang-kadang manusia boleh hilang pertimbangan diri, seakan-akan akan terus kekal di kemuncak. Sehinggakan sanggup melakukan apa sahaja bagi menunjukkan kekuasaan yang diamanahkan. Sehinggakan juga tidak menyedari ada pihak yang dizalimi.

Sebagai seorang umat Islam, kita diajar agar kita tidak berlaku zalim sesama kita, bahkan kepada makhluk lain yang Allah jadikan. Dan, kita juga sering diperingatkan bahawa doa-doa orang yang dizalimi adalah doa yang makbul.

Sebagai pemimpin sesebuah organisasi mahupun kerajaan, kita adalah golongan minoriti. Yang majoritinya adalah rakyat terbanyak. Pemimpin juga adalah manusia yang diamanahkan untuk memimpin rakyat dan bukannya membazirkan masa berebut kuasa yang tiada sudahnya. Hari ini mahkamah memutuskan kita yang menang, dan boleh jadi hari esok mereka pula yang menang. Sampai bila?

Maka, bijaklah sekiranya diserahkan semula kepada rakyat terbanyak untuk memilih sama ada pemimpin yang ada itu layak mewakili rakyat atau sebaliknya. Harapnya, keputusan yang bakal dibuat oleh rakyat adalah keputusan yang boleh diterima oleh para pemimpin.

Undi tidak percaya, bukannya tidak boleh. Tapi, kita harus ingat bahawa majoriti tipis tidak begitu meyakinkan. Maklumlah bahawa, hati manusia begitu mudah berbolak balik. Esok kata macam ni, mungkin lusa lain pula katanya. Berapa kali nak buat undi tidak percaya sementara nak menghabiskan satu kitaran penggal sebelum pilihanraya 'wajib'.

Bagi yang ada kuasa di peringkat pusat, usahlah menipu rakyat. Menipu rakyat? Ya, menipu rakyat. Kita tidak perlu menyalahgunakan kuasa yang ada dengan mempengaruhi mana-mana pihak. Tidak kiralah, sama ada pihak kehakiman, pihak istana, mahupun pihak polis.

Hari ini kita sihat, mungkin esok kita sakit. Apabila mati nanti, setiap denyut nadi kita akan dipersoalkan. Lainlah kalau kita ini adalah manusia yang tidak ada hala tuju selepas mati nanti.

Usahlah menyeksa jiwa rakyat lagi. Serah semula kepada rakyat. Selepas itu, redhalah. Itu yang terbaik.




Renungan


Firman Allah ;


Dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang-orang kafir musyrik (Mekah) menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu atau membunuhmu atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya.

(Al-Anfaal:30)