Alangkah indahnya hidup ini apabila lahir sahaja ke dunia, tahu-tahu mak bapa adalah orang Islam. Maka, dengan sendirinya bayi yang lahir itu adalah orang yang beragama Islam.
Namun, di sebaliknya terdapat segolongan manusia yang lahir ke dunia, tahu-tahu mak bapa adalah orang yang belum Islam. Maka, dengan sendirinya bayi yang lahir itu adalah orang yang beragama selain daripada Islam.
Pernah atau tidak kita terfikir sebagai seorang Islam bahawa betapa beruntungnya kita berada di dalam kelompok ini. Kelompok yang berada di atas landasan yang benar di sisi Allah, yakni Tuhan Seluruh Alam. Dengan syarat, kita menjaga dan mematuhi setiap peraturan yang ditetapkan oleh Allah.
Dan, pernah atau tidak kita terfikir bahawa orang yang dilahirkan dalam keadaan bukan Islam, adakah mereka akan kekal dalam keadaan bukan Islam sehingga akhir hayat mereka? Atau, di pertengahan pengembaraan mereka di dunia ini mereka akan bertemu satu cahaya hidayah yang bakal menyelamatkan mereka di akhirat kelak.
Itu semua satu ketentuan yang telah tertulis di dalam catatan Allah. Allah lebih mengetahui hujung pangkal kehidupan setiap makhluk yang diciptakan-Nya.
Jujurnya, Islam adalah satu agama yang begitu indah kalau kita dapat menyingkap satu persatu rahsia yang terdapat di dalamnya. Untuk berjaya melihat indahnya Islam, sudah pasti memerlukan pengorbanan dan kepayahan dalam usaha mendaki ke puncak keindahan Islam itu sendiri. Berkorban masa. Berkorban harta. Berkorban masa muda. Berkorban masa remaja. Berkorban masa bersama teman. Berkorban masa bersama keluarga. Berkorban hobi. Dan, pelbagai jenis pengorbanan yang perlu kita korbankan.
Untuk apa? Itu semua adalah semata-mata untuk menerokai ilmu Islam itu sendiri. Hendak tahu sejauh mana indahnya Islam itu, satu perkataan yang paling tepat adalah FAHAM! Faham kita berkaitan Islam, maka kita akan melihat betapa indahnya agama Islam ini. Jika kita tidak faham berkaitan Islam, kita hanya mampu sebagai pewaris Islam. Tidak lebih daripada itu.
Bukannya mudah untuk seseorang yang lahirnya di luar agama Islam untuk mengakhiri kehidupannya dalam keadaan Islam. Malah, seseorang yang lahir dalam keadaan Islam pun belum tentu akan berakhir dalam keadaan Islam.
Walau apa jua cara seseorang itu datang untuk memeluk agama Islam bukan satu persoalan yang perlu kita persoalkan. Tidak perlu kita terlalu banyak bertanya, bagaimana kamu boleh masuk Islam? Mimpikah? Kajian kah? Dengar azan kah? Sebab kahwin kah? Atau seribu satu macam soalan yang selalu ditanyakan. Kalau kita faham bahawa hidayah dan petunjuk itu datangnya daripada Allah, maka kita akan terima saudara seIslam kita itu seadanya tanpa mempertikaikan asal usulnya daripada seorang yang kafir sebelumnya. Sebab musabab seseorang itu mendekati Islam adalah satu cahaya suluhan menuju jalan yang lurus, yakni Islam.
Bagi manusia yang sudah berada di jalan Islam, usah menoleh ke kiri, ke kanan, mahupun ke belakang. Teruskan perjalanan yang lurus itu. Peliharalah jalan yang lurus itu. Semailah benih Islam itu untuk keluarga kita. Jangan sampai nanti, kita terganggu dengan tipu daya simpang siur kehidupan di kiri dan kanan yang boleh bila-bila masa menarik kita menyimpang daripada jalan yang lurus ini.
"Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat petunjuk. "
(Al-Qalam: 7)