Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah islam dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya. [Surah Ali Imraan: Ayat19]

Rakan Iban Muslim

24 Disember 2010

Umur Hanya Pinjaman

"Dan Allah yang menciptakan kamu (dari tiada kepada ada); kemudian Dia menyempurnakan tempoh umur kamu; (maka ada di antara kamu yang disegerakan matinya) dan ada pula di antara kamu yang dikembalikannya kepada peringkat umur yang lemah (peringkat tua kebudak-budakan), sehingga menjadilah dia tidak ingat akan sesuatu yang telah diketahuinya; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa." [Surah An-Nahl: Ayat 70]
"Dialah yang menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari (setitis) air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging; kemudian Dia mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian kamu (dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; kemudian kamu (dipanjangkan umur) hingga sampai menjadi tua dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan sebelum itu. (Allah melakukan kejadian yang demikian) supaya kamu sampai ke masa yang ditentukan (untuk menerima balasan) dan supaya kamu memahami (hikmat-hikmat kejadian itu dan kekuasaan Tuhan)." [Surah Ghafir: Ayat 67]
Catatan IM: Demikianlah umur! Hanya pinjaman daripada Pencipta (Allah Taala) kepada hamba-Nya. Sebagai manusia, kita tidak ada daya upaya selain daripada mengharap kepada Allah yang memberi serta menentukan segalanya. Semoga dengan umur yang masih berbaki ini, saya menyeru diri saya dan sahabat-sahabat sekalian agar memanfaatkan kemudahan umur ini dengan bertaqwa kepada-Nya. Dengan nikmat umur yang ada ini, moga-moga dapat digunakan untuk mengumpul modal bagi membina jambatan ke akhirat. InsyaAllah...

20 Disember 2010

Doa Nabi Yunus

"Tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim."

"Dan (sebutkanlah peristiwa) Zunnun, ketika dia pergi (meninggalkan kaumnya) dalam keadaan marah, yang menyebabkan dia menyangka bahawa Kami tidak akan mengenakannya kesusahan atau cubaan; (setelah berlaku kepadanya apa yang berlaku) maka dia pun menyeru dalam keadaan yang gelap-gelita dengan berkata: Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri." [Al-Anbiya 21: Ayat 87]

"Maka Kami kabulkan permohonan doanya dan Kami selamatkan dia dari kesusahan yang menyelubunginya dan sebagaimana Kami menyelamatkannya, Kami akan selamatkan orang-orang yang beriman (ketika mereka merayu kepada Kami)." [Al-Anbiya 21: Ayat 88]

10 Disember 2010

Ada Apa Dengan Bangsa!

"...bangsa tidak mempunyai sebarang nilai di dalam Islam. Allah SWT berfirman dalam al-Quran (Surah al-Hujurat ayat 13):

“Sesungguhnya orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha mengenal.”
Justeru Melayu, Cina atau India tidak pernah mempunyai sebarang nilai tambah di sisi Allah SWT, melainkan dengan taqwa..."-TGNA (Catatan Penuh, Klik di sini)

Puasa Asyura dan Tasua

Dari Ibn Abbas, r.a., katanya: Tatkala Rasulullah s.a.w. berpuasa pada hari Asyura dan menyuruh (orang ramai) berpuasa padanya, sahabat-sahabat Baginda berkata: "Ya Rasulullah, hari Asyura juga dimuliakan oleh kaum Yahudi dan Nasrani ..." (1)
Mendengar yang demikian, Baginda bersabda: "Apabila tiba tahun yang akan datang - Insya Allah kita akan berpuasa pula pada hari yang ke sembilan."
Rawi hadith ini berkata: "Rasulullah s.a.w. (tidak sempat berpuasa pada hari itu) kerana Baginda telah wafat sebelum tiba tahun yang berikutnya." (2)
(Hadith Sahih - Riwayat Muslim dan Abu Daud)

Menurut huraian ulama' rahimahullah, bahawa puasa hari Asyura terbahagi kepada tiga peringkat:

Peringkat pertama: Berpuasa selama tiga hari, iaitu hari yang kesembilan, kesepuluh dan hari kesebelas.
Peringkat kedua: Berpuasa pada hari kesembilan dan kesepuluh.
Peringkat ketiga: Berpuasa pada hari yang kesepuluh sahaja. (3)

1. Kerana pada hari itu Nabi Musa a.s. telah diselamatkan oleh Allah daripada angkara Fir'aun.
2.
Fiqh al-Sunnah (1:451).
3.
Kitab yang sama (1:451).
Sumber: JAKIM

9 Disember 2010

Memakai Cincin Cara Rasulullah s.a.w

Gambar Hiasan
Anas bin Malik meriwayatkan (maksudnya):
"Cincin Rasulullah s.a.w terbuat dari perak. Sedangkan mata cincin beliau adalah batu hitam Habsyi."
[H.R Tirmidzi, Muslim, Nasa'i, Ahmad, dan Ibnu Majah]
Muhammad bin Ali bin Husain meriwayatkan (maksudnya):
"Hasan dan Husain mengenakan cincin di jari tangan kiri mereka."
[H.R Tirmidzi & Abu Syaikh]
Anas bin Malik meriwayatkan (maksudnya):
"Rasulullah s.a.w mengenakan cincin di jari tangan kanan beliau."
[H.R Tirmidzi, Nasa'i, & Abu Syaikh]
Ibnu Umar meriwayatkan (maksudnya):
"Rasulullah s.a.w membuat cincin dari emas dan mengenakannya di jari tangan kanan beliau. Para sahabat pun ikut mengenakan cincin dari emas. Maka Rasulullah s.a.w melepaskan cincin itu lalu berkata, 'Aku tidak akan mengenakan (cincin dari emas) lagi selama-lamanya.' Para sahabat pun turut melepaskan cincin-cincin mereka."
[H.R Tirmidzi, Bukhari, Muslim, & Abu Dawud]


Sumber: Syamail Muhammad s.a.w-Keperibadian Rasulullah [Imam al-Tirmidzi]

7 Disember 2010

Sistematiknya HIJRAH

Peristiwa hijrah Rasulullah SAW bukanlah satu peristiwa yang berlaku secara tidak sengaja. Segala-galanya telah dirancang dan disusun dengan rapi oleh Allah SWT agar kita sebagai umat yang kemudian dapat mempelajari sesuatu daripada peristiwa yang hebat ini. Memang boleh sekiranya Allah menghijrahkan RasulNya dari Mekah ke Madinah dengan mukjizat sepenuhnya. Bahkan penghijrahan Baginda Rasulullah SAW boleh dilakukan dengan cepat dan tanpa perlu bersusah payah, dan Rasulullah pun boleh sampai ke bumi Madinah dengan selesa dan selamat. Tetapi yang jelas Allah tidak mengkehendakinya sedemikian. Hijrah telah ditakdirkan berlaku dalam bentuk peristiwa yang menggabungkan unsur perlindungan Ilahi dan juga ikhtiar manusia. Demikianlah kenyataannya, sepanjang perjalanan hijrah dari mula hingga akhir, ianya penuh dengan peristiwa-peristiwa yang cemas dan mendebarkan. Memang Rasulullah mendapat perlindungan Allah, tetapi Baginda juga terpaksa menempuhi perjalanan yang serba pahit. Bukannya mudah untuk lepas dari jaring-jaring maut kaum Quraish yang berhabis-habisan memburu untuk menghapuskan Baginda. Begitu rapinya perancangan kaum Quraish, namun perancangan hijrah Rasulullah yang diilhamkan oleh Allah jauh lebih rapi dan tersusun.
Sejak bermulanya penghijrahan dari Mekah ke Madinah, Rasulullah SAW memang sudah yakin bahawa Allah akan melindunginya. Namun, demikian Baginda tidak pernah merasa terkecuali dari kewajipan berikhtiar merencanakan perancangan hijrah dengan sebaik-baiknya. Antara perencanaan penting yang telah diperlihatkan oleh Baginda dalam menjayakan rencana penghijrahan ini termasuklah:
Pertama; perancangan yang rapi dan teliti. Baginda tidak tidur di biliknya pada malam itu. Sebaliknya diperintahkannya Ali ibn Abi Talib mengambil tempatnya tidur di kamar Baginda dengan tujuan untuk mengelirukan musuh yang menyangka Baginda masih berada di biliknya. Begitu juga Baginda tidak terus berangkat ke Madinah yang berada di sebelah Utara selepas keluar dari Mekah, tetapi sebaliknya Baginda menghala ke Selatan dan berhenti di Gua Thur selama tiga hari. Selepas tempoh tersebut barulah Baginda meneruskan perjalanannya ke Madinah, iaitu ketika gerakan pihak Quraish sudah mulai mengendur.
Kedua; sentiasa mendapatkan maklumat terkini berkenaan pergerakan pihak musuh menerusi Abdullah ibn Abu Bakar yang telah ditugaskan untuk mengumpul maklumat di Mekah pada waktu siang dan pada malamnya melaporkan kepada Baginda di Gua Thur. Memang maklumat terkini adalah merupakan suatu yang amat bernilai sehingga kadang-kadang maklumat-maklumat penting sanggup dijual-beli dengan harga yang sangat mahal. Hari ini kita dapat menyaksikan semakin canggihnya perancangan perisikan yang tujuannya tidak lain hanya untuk mendapatkan maklumat.
Ketiga; kerahsiaan adalah satu perancangan Baginda yang sangat bereksan. Lihat saja bagaimana tidak seorang pun yang tahu termasuk teman karibnya seperti Abu Bakar r.a hinggalah ke saat perlaksanaannya. Menjaga kerahsiaan dalam hal-hal penting dan bahaya seperti itu memang merupakan suatu keperluan yang dirancang rapi. Kebocoran maklumat-maklumat penting hingga diketahui oleh pihak musuh akan mengakibatkan musnahnya seluruh perencanaan.
Keempat; menggunakan sepenuhnya kepakaran yang ada walau dari orang kafir sekalipun. Dalam peristiwa hijrah, Baginda telah mendapatkan khidmat seorang pemandu bukan Islam untuk menunjukkan jalan sulit yang tidak diketahui oleh orang ramai untuk ke Madinah. Hal ini dilakukan oleh Baginda setelah berpuas hati bahawa pemandu bukan Islam itu tidak akan mengkhianatinya.
Dari peristiwa-peristiwa yang telah berlaku nyatalah bahawa hijrah bukan hanya satu rentetan peristiwa tidak sengaja atau kebetulan yang terjadi dalam kehidupan Baginda Rasulullah SAW. Perjalanan hijrah dengan segala liku dan simpang-siurnya itu jelas mengandungi hikmah budaya kerja yang berencana (systematic.) Sesuatu cita-cita tidak mungkin dapat dijayakan cuma dengan doa dan penyerahan semata-mata, tetapi harus dilaksanakan dengan perencanaan yang cukup rapi. Yang dimaksudkan dengan perencanaan atau planning ialah suatu aliran menentukan matlamat, menggariskan kaedah-kaedah dan tindakan-tindakan untuk mencapai matlamat tersebut. Sementara yang dimaksudkan dengan perancangan pula ialah penggabungan dan penyepaduan pelbagai sumber yang dimiliki untuk menghadapi persekitaran dengan sebaik-baiknya.
Perencanaan juga disebut sebagai jambatan antara masa kini dengan masa depan yang membawa erti persiapan masa kini untuk menghadapi apa yang akan terjadi di masa depan. Ketika Allah memerintahkan kita agar bersiap sepenuhnya untuk menghadapi musuh dengan segala rupa kekuatan sepertimana yang telah Allah firmankan dalam surah al Anfal ayat yang ke 60. Ayat tersebut memerintahkan kita umat Islam membuat perancangan pertahanan jangka panjang dengan mengambil kira perubahan-perubahan dan kemajuan-kemajuan yang sedang berlaku dan akan berlaku dalam bidang ketenteraan dan juga teknologi persenjataan.
Lebih-lebih lagi di saat umat Islam menghadapi ancaman yang datangnya bukan sahaja dalam bidang ketenteraan, malah telah meningkat kepada ancaman-ancaman bentuk lain termasuk budaya, pendidikan dan ekonomi, maka perintah Tuhan, "...waa'iddu lahum..." (bersiaplah menghadapi mereka...) itu harus pula difahami dari sudut semangatnya dengan membuat perancangan-perancangan yang bernas lagi rapi dalam bidang-bidang lain seperti ilmu, kebudayaan, pendidikan, ekonomi dan sebagainya.
Lebih jauh dari itu al-Quran juga telah menampilkan peribadi Nabi Yusuf a.s. sebagai tokoh mithali perancang ekonomi sebagaimana yang diterangkan kepada kita dalam surah Yusuf, ayat yang ke-47 hingga ke-49. Di mana dalam ayat tersebut, Nabi Yusuf a.s telah menyarankan suatu perancangan ekonomi pertanian untuk jangka waktu empat belas tahun dengan membuat perimbangan di antara jumlah penghasilan, penggunaan, penyimpanan dan pelaburan semula. Dengan perencanaan bersifat melihat ke hadapan ini (speculation), krisis ekonomi yang dikhuatiri akan menimpa negara dapat dihindarkan.
Dalam zaman yang penuh persaingan seperti sekarang ini, kecemerlangan dan keunggulan hanya akan dapat dicapai dengan penyuburan budaya kerja berencana dan pemikiran bernas. Sehubungan dengan itu budaya ad hoc seharusnya dihindari kerana ia bukan budaya yang terpancar dari ajaran Islam.
Memang manusia hanya boleh merencana, tetapi Allah jua yang menentukan jaya atau tidaknya. Namun manusia tetap diwajibkan merencana dan melaksanakan rencananya dengan setepat-tepatnya. Rencana yang rapi tetapi tidak dilaksanakan sebagaimana semestinya akan berakhir dengan kegagalan. Demikianlah apa yang telah terjadi dalam Perang Uhud. Perancangannya sudah cukup rapi. Tetapi ada pasukan yang kurang berdisiplin lalu mengabaikan perlaksanaan yang telah direncanakan, maka akibatnya pasukan Islam mengalami pukulan teruk.
Demikianlah peri pentingnya perancangan yang rapi untuk mencapai matlamat yang kita cita-citakan. Di samping itu, seperkara yang harus diambil ingatan ialah sepanjang aliran perencanaan, mulai dari matlamat hinggalah kepada cara dan langkah-langkah mencapainya, harus dipastikan tidak menyimpang dari hukum dan akhlaq agama kerana dalam ajaran agama Islam, tujuan tidak menghalalkan cara.
Mudah-mudahan apa yang telah diperlihatkan oleh Rasulullah SAW menerusi peristiwa hijrah yang telah melakar sejarah yang cukup besar itu mampu untuk kita mengambil pengajaran daripadanya, dan berupaya menjadi umat yang peka dengan hikmah-hikmah yang terkandung di sebalik setiap peristiwa-peristiwa besar guna untuk dijadikan panduan kepada kita umat akhir zaman yang semakin terpinggir ini.
Sumber: Institute of Islamic Understanding Malaysia (IKIM)

SALAM MAAL HIJRAH 1432H


26 November 2010

5 Bala Apabila Manusia Derhaka Allah

Ibnu Majah meriwayatkan daripada Abdullah ibnu Umar, Rasulullah s.a.w bersabda (Maksudnya):
"Wahai kaum Muhajirin! Ada 5 perkara di mana jika telah menimpa kamu maka tiada lagi kebaikan bagi kamu. Dan aku berlindung dengan Allah S.W.T agar kamu tidak menemui zaman itu. 5 perkara itu ialah:
[1] Tidak bermaharajalela perbuatan zina pada suatu kaum sehingga mereka berani secara terang-terang melakukannya melainkan akan ditimpa penyakit Taun yang merebak dengan cepat dan mereka akan ditimpa penyakit-penyakit yang belum pernah menimpa umat-umat yang lain;
[2] Tiada mereka mengurangi sukatan atau timbangan melainkan mereka akan diuji dengan kemarau panjang dan kesulitan dalam mencari rezeki serta berhadapan dengan kezaliman daripada kalangan pemimpin mereka;
[3] Dan tidak menahan mereka akan zakat harta benda melainkan ditahan juga untuk mereka air hujan dari langit. Jika tiada binatang yang hidup di muka bumi ini nescaya mereka tidak diberikan hujan oleh Allah S.W.T.;
[4] Dan tiada mereka menyalahi akan janji Allah S.W.T dan rasulNya melainkan Allah S.W.T akan menurunkan kepada mereka musuh yang akan merampas sebahagian daripada apa yang ada di tangan mereka;
[5] Dan apabila pemimpin-pemimpin mereka tidak melaksanakan hukum Allah S.W.T yang terkandung dalam al-Quran dan tidak mahu menjadikannya sebagai pilihan utama maka Allah S.W.T akan menjadikan bencana di kalangan mereka sendiri."
Catatan: Maksud hadis di atas adalah di antara intipati khutbah jumaat yang disampaikan di Masjid Tanjung Pauh, Jitra semasa solat jumaat tadi...bersama kita renungi dan cermin diri kita yang lemah ini...semoga kita semua senantiasa dalam rahmat dan perlindungan Allah dengan sedaya upaya mengikuti segala titah perintah-Nya, serta menjauhi segala larangan-Nya...InsyaAllah.

OBAMA: Nenek Mohon Hidayah Di Makkah

Nenek kepada presiden Amerika Syarikat Barack Obama berkata beliau memanjatkan doa supaya pemimpin negara itu memeluk Islam, lapor sebuah akhbar hari ini.
"Saya berdoa supaya cucu saya Barack memeluk Islam," kata Sarah Omar, 88, dalam satu temuramah dengan akhbar harian Al-Watan Saudi di Jeddah selepas beliau menunaikan ibadat haji.
Akhbar itu melaporkan bahawa Sarah berada di Arab Saudi untuk menunaikan haji bersama anaknya yang juga bapa saudara kepada Obama, Saeed Hussein Obama, serta empat lagi cucunya.
Sarah memberitahu akhbar itu bahawa beliau hanya dapat mengulas mengenai perkara melibatkan ibadah haji dan memberi komen berkaitan politik Obama.
Keluarga berkenaan menjalankan ibadah berkenaan dengan ehsan kerajaan Arab Saudi. Saeed berterima kasih kepada pemerintah Arah Saudi Raja Abdullah Abdul Aziz atas "layanan mesra" itu, laporan akhbar berkenaan.
Pungutan pendapat awam di AS pada Ogos mendedahkan bahawa satu daripada lima orang warganya percaya bahawa Obama merupakan seorang muslim.
Pandangan itu dinafikan keras oleh White House yang menegaskan bahawa Obama merupakan seorang kristian yang "komited."- AFP (Catatan oleh: Malaysiakini, klik di sini)


16 November 2010

SALAM I'DUL ADHA...


KELEBIHAN BULAN ZULHIJJAH SEPULUH HARI PERTAMA

Segala kepujian dan kesyukuran ditujukan kepada Allah Ta’ala, Salawat dan Salam buat Junjungan Nabi Muhammad ‘Alaihis Solatu was Salam dan buat keluarga dan Sahabat Baginda.
Imam al Bukhari Rahimahullah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhia Allah ‘anhuma bahawa Baginda Nabi Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda : “Tiada suatu haripun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari ini – iaitu sepuluh hari Zulhijjah-”. Para Sahabat Baginda bertanya : “Apakah juga (pengecualian itu) termasuk jihad pada jalan Allah ?” . Ujar Baginda : “Tidak juga (termasuk) berjihad pada jalan Allah kecuali bagi seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun”.
Imam Ahmad Rahimahullah meriwayatkan dari Ibnu ‘Umar Radhia Allah ‘anhuma bahawa Baginda Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda : “Tiada suatu haripun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari sepuluh Zulhijjah ini, oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah) , takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah)”.
Ibnu Hibban di dam kitab Sahihnya meriwayatkan dari Jabir Radhia Allah ‘anhu bahawa Baginda Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda : “Seutama-utama hari adalah hari ‘Arafah”.
JENIS AMALAN YANG DIANJURKAN PADANYA
Pertama : Menunaikan ibadah haji dan ‘umrah yang merupakan sebaik-baik amalan. Banyak hadith yang menyatakan kelebihan ibadah ini di antaranya : Sabda Nabi Salla Allah ‘alaihi wa sallam : “Satu ‘umrah ke ‘umrah yang lain menghapuskan (dosa) yang dilakukan di antara keduanya dan haji yang baik (diterima) tiada baginya balasan melainkan Syurga”.
Kedua : Berpuasa pada hari-hari tersebut atau sekadar kemampuannya – terutamanya pada hari ‘Arafah - . Tidak dinafikan bahawa puasa adalah di antara amalan yang terbaik dan ianya adalah pilihan Allah Ta’ala sendiri sebagaimana yang dinyatakan di dalam sebuah hadith qudsi : “Puasa itu adalah bagiKu dan Akulah yang membalasinya, dia meninggalkan keinginan nafsunya, makanan dan minumannya semata-mata keranaKu”. Dari Abu Sa’id al Khudri Radhia Allah ‘anhu berkata : ‘Rasulullah Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda : “Tiada seorangpun yang berpuasa pada satu hari di jalan Allah melainkan Allah menjauhkan dengan puasanya itu mukanya dari api neraka sejauh tujuh puluh tahun” (muttafaq ‘alaih). Imam Muslim Rahimahullah meriwayatkan dari Abi Qatadah Radhia Allah ‘anhu bahawa Rasulullah Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda : “Puasa pada hari ‘Arafah, saya mengharap Allah akan menghapuskan (dosa) setahun yang lalu dan setahun yang mendatang”.
Ketiga : Takbir (Allahu Akbar) dan berzikir padanya, firman Allah Ta’ala yang bermaksud : “(Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada beberapa hari yang termaklum)”, hari-hari tersebut dijelaskan sebagai sepuluh hari di bulan Zulhijjah. Oleh kerana itulah para ‘Ulama menyarankan supaya diperbanyakkan berzikir pada hari-hari tersebut sebagaimana mafhum hadith Ibnu ‘Umar Radhia Allah ‘anhuma yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad Rahimahullah, di antaranya : “Oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah) , takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah)”. Imam Al Bukhari Rahimahullah meriwayatkan bahawa Ibnu ‘Umar dan Abu Hurairah Radhia Allah ‘anhum kedua mereka pada hari-hari tersebut selalu keluar ke pasar bertakbir dan diikuti oleh orang ramai. Imam Ishaq Rahimahullah meriwayatkan bahawa para Fuqaha’ (ahli feqah) di kalangan Tabi’in (generasi selepas Sahabat Nabi) sentiasa membaca pada hari-hari itu “[Allahu Akbar, Allahu Akbar, La Ilaha Illa Allah, wa Allahu Akbar, Allahu Akbar, wa LillahI Hamdu]”. Adalah amat digalakkan supaya suara ditinggikan ketika bertakbir di pasar, rumah, jalan, masjid dan selainnya berdasarkan firman Allah Ta’ala yang bermaksud : “( Dan supaya kamu membesarkan (bertakbir) Allah di atas ni’matNya menghidayat kamu)”. Dibolehkan juga pada hari-hari tersebut berzikir dengan apa-apa zikir yang lain dan segala do’a yang baik.
Keempat : Bertaubat dan meninggalkan segala ma’siat dan dosa, semoga dengan amalan baik dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah. Ini kerana ma’siat adalah punca kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba dari rahmat Allah manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya. Di dalam sebuah hadith yang diriwatkan oleh Abu Harairah Radhia Allah ‘anhu, Baginda Nabi Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda : “Sesungguhnya Allah mencemburui (tidak suka) apabila seseorang hambaNya melakukan perkara yang ditegahNya” (muttafaq ‘alaihi).
Kelima : Memperbanyakkan amalan soleh (baik) terutama amalan-amalan sunat tambahan seperti solat sunat, bersedekah, berjihad, mebaca al Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya kerana kesemuanya akan digandakan pada hari-hari tersebut. Amalan yang dikerjakan ketika itu walaupun ia kecil tetapi ianya lebih disukai oleh Allah Ta’ala jika dibandingkan pada hari-hari lain, begitu juga amalan yang besar seperti berjihad di jalan Allah yang dikatogerikan di antara amalan yang terbaik, tidaklah mendapat kehebatan pahala pada hari-hari itu melainkan apabila kuda (kenderaan) yang ditungganginya terbunuh (binasa) dan darahnya keluar (dia cedera atau mati syahid).
Keenam : Disyari’atkan bertakbir pada beberapa hari yang mulia itu pada waktu siang atau malam terutama selepas menunaikan fardu solat lima waktu yang dikerjakan secara berjamaah. Bagi mereka yang tidak menunaikan ‘ibadah haji, takbir bermula dari waktu subuh hari ‘Arafah (9 Zulhijjah) dan bagi yang menunaikannya takbir bermula pada waktu Zohor hari raya haji (10 Zulhijjah), kesemuanya berakhir sehingga waktu ‘Asar pada hari ketiga belas (13) Zulhijjah.
Ketujuh : Disyari’atkan amalan korban (menyembelih haiwan ternakan) pada hari raya haji dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Ia merupakan sunnah (amalan) Nabi Allah Ibrahim ‘Alaihis Solatu was Salam setelah Allah Ta’ala mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya Ismail ‘Alaihis Solatu was Salam tetapi ditebus ujian itu dengan digantikan seekor haiwan untuk disembelih.
Kelapan : Imam Muslim Rahimahullah meriwayatkan dari Ummu Salamah Radhia Allah ‘anha bahawa Nabi Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda : “Apabila kamu telah melihat anak bulan Zulhijjah dan ada di kalangan kamu yang ingin berkorban (sembelih haiwan ternakan), hendaklah dia menahan dirinya dari (memotong) rambut dan kukunya”, dan di dalam riwayat lain : “Maka janganlah dia memotong rambut dan kukunya sehinggalah dia berkorban”. Perintah (sunat) ini berkemungkinan ada persamaan dengan hukum bagi mereka yang membawa haiwan ternakan (ketika mengerjakan haji) dari kampung mereka yang telah dijelaskan oleh Allah Ta’ala, maksudnya : “(Dan janganlah kamu mencukur rambut kamu sehinggalah haiwan ternakan (yang dibawa untuk dihadiahkan dagingnya kepada penduduk Makkah) itu sampai ke tempatnya)”. Larangan (memotong rambut dan kuku) ini pada zahirnya adalah khusus kepada pemunya haiwan korban tersebut sahaja dan tidak termasuk isteri dan anak-anaknya melainkan mereka juga mempunyai haiwan seumpamanya, dan tidak mengapa jika yang berkenaan membasuh dan menggosok kepalanya kemudian terjatuh beberapa helai rambutnya.
Kesembilan : Setiap muslim hendaklah berusaha untuk menunaikan solat hari raya secara berjamaah, menunggu mendengar khutbah yang dibaca oleh imam selepas selepas solat tersebut supaya mendapat pengajaran daripadanya. Sepatutnyalah dia mengetahui hikmat di sebalik perayaan ini ; ia merupakan hari menyatakan kesyukuran dengan melakukan kebaikan, janganlah pula dilakukan padanya perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah dengan mengerjakan ma’siat, kesombongan, pertengkaran, bermasam muka dan sebagainya yang boleh menjadi sebab kepada terhapusnya amalan-amalan kebaikan yang telah dikerjakannya sebelum itu.
Kesepuluh : Penuhilah hari-hari berkenaan dengan ketaatan kepada Allah, berzikir, bersyukur, menunaikan perintahNya, menjauhi laranganNya, mendekatkan diri kepadaNya semoga mendapat rahmat dan keampunanNya.
Sumber: Jab. Mufti Negeri Terengganu

27 Oktober 2010

"J"...Now you are muslim...

Oleh DR AHMAD ZAHARUDDIN SANI SABRI
ISLAM merupakan sebuah agama yang tidak pernah memaksa mana-mana pihak mahupun individu untuk memeluknya.
Kenyataan kononnya Islam disebarkan menerusi pedang, merupakan satu propaganda untuk merosakkan reputasi Islam itu sendiri. Sedangkan Islam tidak pernah mengajar umatnya untuk menjadi agresif malah menyeru kepada perdamaian.
Bukan mudah untuk mendapat hidayah keislaman, sesuatu nikmat yang tiada nilainya. Bagi saya yang dilahirkan sebagai seorang muslim, sering kali “take for granted” tehadap keIslaman diri sendiri. Lain pula dengan mereka yang diberi cahaya keimanan dan bukan memeluk Islam kerana tujuan duniawi.
Beberapa minggu lepas, ramai datang bertandang ke rumah saya, apabila ada perkhabaran mengatakan saya akan mengIslamkan seseorang. Ada yang meminta izin untuk menghadirkan diri, kerana tidak pernah menyaksikan upacara sebegini.
Saya amat mengalu-alukan kedatangan sesiapa sahaja dengan syarat mereka tidak menganggu proses tersebut apatah lagi menakut-nakutkan bakal saudara baru ini.
Tepat pada jam 5.40 petang, bakal saudara baru ini tiba dengan kereta hitam, berdesup masuk ke laman rumah saya. Beliau tiba bersama dengan anak perempuannya berusia 16 bulan “A”...what a cute little girl.
Saya biarkan dia beramah mesra bersama tetamu saya yang lain di ruang depan rumah supaya beliau dapat menyesuaikan diri dan berada dalam keadaan selesa yang mungkin.Tiba waktu maghrib, saya duduk bersila di hadapan beliau yang sedang duduk bertimpuh, tuduk melihat ke bumi penuh dengan seribu satu persoalan.
Saya bersaksikan tetamu-tetamu yang lain bertanya;
"Are you doing this on your own willingness? Have anybody make or pressure you to rivert into Islam?" Dengan nada lembut dia jawab; "It is my own will and nobody pressure me to convert." Setiap gerak geri di majlis tersebut dirakamkan agar menjadi dokumentasi bukti supaya tidak menjadi sebarang masalah di hari muka.
Maka saya berkata lagi; "...if you are ready, I will guide you to recite the shahadah. Do you understand the meaning of Shahadah?"
Dia menganguk tanda mengiyakan. Sepi ruang tamu itu. Sehinggakan bunyi detik jam pun boleh kedengaran dengan jelas.
Maka J disarungkan telekong sekadar hormat untuk menutup aurat beliau, sambil diperhatikan oleh A yang duduk gelisah disebelah ibunya. A terkasima melihat ibunya bertudung. "She look pretty in it." lalu ramai yang tersenyum tanda bersetuju dengan keletah si anak kecil ini.
Saya meminta J mengangkat jari telunjuk tangan kanan sekadar simbolik pengucapan shahadah. Beliau menurut tanpa membantah. Semua mata tertumpu tepat menuju pada beliau.
Jantung saya berdebar-debar, berdegup kencang. Takbir, tahmid dan istighfar saya ulangi dalam hati berkali-kali untuk menenangkan diri saya sendiri.
Mata saya memandang tepat ke arah matanya dan menghela nafas panjang.
Saya bermula dengan bismillah; "Bismillahirahmannirahimmmmmm", lalu dia mengikuti dengan tergagap-gagap, gugup.
"AshaduAllah...illa ha..illa Allah..." tersekat–sekat J cuba menyebutnya. Saya ulangi lagi, "Ashadu... Ashadu..." beliau ikut degan nada sayu. "Ia illa ha Illa Allah....Ia illa ha Illa Allah."
"Wa Ashadu..Anna Muhamad Rasul Lu Allah..."Ruang tamu menjadi begitu syahdu, sayu, sunyi, sepi hanya perasaan yang penuh dengan ketenangan menyelubungi setiap jiwa yang hadir.
Sejurus selepas itu, saya melafazkannya pula dalam bahasa Inggeris agar lebih menyatu dalam jiwanya. Begitu lancar butir-butir perkataan keluar dari bibirnya.
Saya tersenyum dan berkata; "Sister, now you are a Muslim."
Beliau memeluk erat anaknya yang dari tadi tidak berkelip memandang ibunya. Linangan air mata berjurai deras, bagaikan butir-butir mutiara mengalir di pipi beliau.
Saya juga dapat melihat beberapa orang tetamu yang hadir sedang mengesat air mata masing-masing. Saya kelegaan, sambil berdoa.."Ya Aiyulah munkalib qulub, sabit qulubana ala dinik" tiga kali, terketar-ketar dengan bergenang air mata.
Qamat dilaungkan oleh salah seorang tetamu yang hadir. Saf didirikan, saya mengimamkan solat maghrib. Surah Al-Fath saya lagukan di rakaat pertama,dengan emosi yang tidak boleh dibayangkan menyerap setiap harfiah bacaan saya.
Selesai solat, beliau membisikkan betapa bacaan dalam solat tadi amat menenangkan, tidak pernah dia merasa begitu tenang dalam hidupnya walaupun sudah 30 tahun mengenal akan dunia ini.
Kelibat beliau sebelum ini begitu sinonim dengan sifat "grumpy", namun selama berada di teratak hina kami beliau begitu gembira. Senyuman dan gelak ketawa tidak pernah lekang. Nyata terpancar cahaya keimanan menyelubunginya, sesuatu yang jarang kami nampak dari wajah manusia bernama “J” ini.
Sebelum “J” pulang, beliau pohon untuk memilih nama yang sesuai untuk dirinya. Beliau ada membawa lebih daripada 15 nama. Semua nama yang “J” bawa begitu menarik bunyinya, namun ada yang berkata kenapa tidak menggunakan sahaja nama Nur Shahadah, sempena dengan cahaya pengislaman beliau.
Congratulation J. G. Now you are a muslim and we call you Nur Shahadah...
PENULIS merupakan Honorary Visiting Scholar di University Of Melbourne. Beliau boleh dihubungi menerusi email asani@unimelb.edu.au
Catatan asal (Klik di mStar Online)

Tony Blair's sister-in-law Lauren Booth has embraced Islam


“It was a Tuesday evening, and I sat down and felt this shot of spiritual morphine, just absolute bliss and joy,” Booth told the British daily The Mail.
The 43-year-old half sister of Cherie Blair now wears hijab whenever she leaves her home, prays five times a day, and visits her local mosque.
“Now I don't eat pork, and I read the Quran every day. I'm on page 60. I also haven't had a drink in 45 days, the longest period in 25 years,” she added.
“The strange thing is that since I decided to convert I haven't wanted to touch alcohol, and I was someone who craved a glass of wine or two at the end of a day.”
(Read more here -Tehran Times)

17 Oktober 2010

Catatan IM: Keterbatasan Waktu

Alhamdulillah...Allah masih memberikan kesempatan umur, ruang dan waktu untuk menulis di dalam blog IM ini. Sejak kebelakangan ini, saya agak sibuk dengan urusan pengajian, tambah-tambah lagi semester pengajian hampir melabuhkan tirainya. Ada beberapa tugasan yang perlu diselesaikan dan dihantar sebelum tempoh yang ditetapkan.
Namun begitu, saya tidak pernah lupa untuk menjenguk blog hampir setiap hari, namun tidak punyai kesempatan untuk membuat posting terbaharu. Rutin mingguan yang saya lalui kini adalah berulang-alik dari Jitra-Bangi sejak Julai lalu. Antara tanggungjawab terhadap keluarga dan tanggungjawab terhadap pengajian...kedua-duanya penting dan perlu diseimbangkan. Semoga diberikan kekuatan oleh Allah.
Pengajian untuk semester ini tinggal 1 minggu perkuliahan lagi. Selepas itu, hanya menunggu 6 Nov untuk peperiksaan akhir. Semester ni cuma ada 1 paper sahaja yang ada peperiksaan akhir, yang lainnya course work. Semoga sahabat-sahabat sekalian mendoakan agar segala urusan dipermudahkan oleh-Nya.

22 September 2010

Nafkah Untuk Keluarga Mendapat Ganjaran Pahala Yang Terbaik


Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya:"Satu dinar yang engkau belanjakan pada jalan Allah, satu dinar yang engkau gunakan untuk memerdekakan hamba, satu dinar yang engkau sedekahkan kepada fakir miskin, satu dinar yang engkau nafkahkan untuk keluargamu, yang paling besar pahala ganjarannya ialah yang kamu nafkahkan kepada keluargamu." (H.R Muslim)-Sumber: JAKIM
Peringatan buat diriku yang kerdil...di mana ibu, di mana ayah, di mana kakak, di mana adik, di mana nenek, di mana atuk, di mana isteri, di mana anak...cukupkah makan-pakaimu...cukupkah biaya harian mu...Ya Allah, berikan aku rezeki yang terbaik untuk aku membiayai mereka...

18 September 2010

Syamail Muhammad S.A.W (Keperibadian Rasulullah)


Kitab Bulan Ini (Syawwal 1431H)-Sebagai panduan hidup berlandaskan sunnah Nabi S.A.W. Himpunan hadis oleh Imam al-Tirmizi tentang Rasulullah s.a.w merangkumi 5 aspek kehidupan Baginda s.a.w iaitu Fizikal, Perilaku, Ibadah, Perhubungan dan akhlak, dan Penghidupan...Sama-sama kita miliki dan dimanfaatkan sementara menunggu hari mati...InsyaAllah...

12 September 2010

Puasa Sunat Enam Hari Di Bulan Syawal

Hadith :
Daripada Abu Ayub r.a. bahawa Rasulullah SAW. bersabda, “ Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan, kemudian mengiringinya dengan puasa sunat enam hari di bulan Syawal, pahalanya seperti berpuasa setahun”.

(Muslim)


Huraian
1. Islam menganjurkan umatnya supaya melakukan kebaikan dan kebajikan secara berterusan, walaupun sedikit.
2. Orang yang berpuasa Ramadhan diikuti dengan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal maka pahalanya sama dengan berpuasa setahun. Hal ini disebabkan puasa sunat satu hari bersamaan pahalanya dengan sepuluh hari. Manakala puasa Ramadhan bersamaan dengan sepuluh bulan, maka enam hari puasa sunat bersamaan dengan dua bulan, kemudian dicampurkan dengan sepuluh bulan jumlahnya menjadi setahun.
3. Seseorang yang hendak berpuasa sunat di bulan Syawal adalah lebih afdhal berturutan seperti puasa bulan Ramadhan tetapi dibolehkan berpuasa secara berselang hari selama dalam tempoh bulan Syawal itu.

Sumber: JAKIM

10 September 2010

Salam Eidul Fitri


7 September 2010

SERUAN MALAIKAT kepada TETAMU RAMADHAN

Petikan: Buletin Persatuan Ulama Kedah (PUK)


5 September 2010

LAILATUL-QADAR


Malam Lailatul-Qadar sunat dicari, kerana malam ini merupakan suatu malam yang diberkati serta mempunyai kelebihan dan diperkenankan doa oleh Allah S.W.T. Malam Lailatul-Qadar adalah sebaik-baik malam mengatasi semua malam termasuk malam Jumaat. Allah S.W.T. berfirman dalam Surah Al-Qadr 97: Ayat 3.

Maksudnya:
"Malam Lailatul - Qadar lebih baik daripada seribu malam."

Ertinya menghidupkan malam Lailatul-Qadar dengan mengerjakan ibadah adalah lebih baik daripada beribadah pada seribu bulan yang tidak ada Lailatul-Qadar seperti sabda Nabi s.a.w.:

Maksudnya:
"Sesiapa menghidupkan malam Lailatul-Qadar kerana beriman serta mencari pahala yang dijanjikan akan mendapat pengampunan daripada dosa-dosa yang telah lalu."

Diriwayatkan daripada Saiyidatina Aisyah r.a bahawa Rasulullah s.a.w. apabila tiba 10 hari terakhir bulan ramadhan, Baginda menghidupkan malam-malamnya dengan membangunkan isi rumah dan menjauhi daripada isteri-isterinya. Imam Ahmad dan Muslim meriwayatkan:

Maksudnya:
"Rasulullah s.a.w. berusaha sedaya upaya dalam malam-malam sepuluh akhir Ramadhan melebihi usahanya daripada malam-malam lain."

Malam Lailatul-Qadar berlaku pada 10 akhir daripada malam ganjil bulan Ramadhan. Rasulullah s.a.w. bersabda:

Maksudnya:
"Carilah malam Lailatul-Qadar pada sepuluh akhir bulan Ramadhan dalam malam ganjil."

Pendapat yang terkuat mengikut para ulama' bahawa malam Lailatul Qadar terkena pada malam 27 Ramadhan. Menurut Abu Ka'ab katanya, "Demi Allah sesungguhnya ibn Mas'ud telah meyakinkan bahawa malam Lailatul-Qadar jatuh dalam bulan Ramadhan manakala Lailatul-Qadar pula terjatuh pada malam 27, akan tetapi dia enggan memberitahu kepada kami (malam yang tepat) kerana bimbangkan kamu tidak lagi berusaha mencarinya." Daripada Riwayat Mu'awiyah:

Maksudnya:
"Bahawa Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda dalam malam lailatul-qadar iaitu malam ke-27."

Riwayat ini disokong oleh pendapat Ibn Abbas yang mengatakan bahawa surah Al-Qadr mempunyai 30 perkataan. Perkataan yang ke-27 bagi surah itu terjatuh kepada dhamir(hia) yang kembalinya kepada Lailatul-Qadar.

Imam Ahmad telah meriwayatkan sebuah Hadith daripada Ibn Umar r.a yang berbunyi:
Maksudnya:
"Sesiapa yang mencari Lailatul-Qadar , dia hendaklah mencarinya pada malam yang ke-27, carilah kamu malam Lailatul-Qadar pada malam yang ke-27."

Aisyah r.a. bertanya kepada Rasulullah, katanya, "Ya Rasulullah s.a.w. andainya aku mendapati
malam Lailatul-Qadar, apakah doa yang patut aku bacakan? Rasulullah s.a.w. berdoa dengan doa:

Maksudnya:
" Ya Allah! Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, oleh itu berilah keampunan-Mu untukku."

Petikan dari :
FIQH & Perundangan Islam Jilid II
Wahbah al-Zuhaili
Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka

(www.jais.gov.my)

4 September 2010

Minyak sapi jenama QBB Pure Ghee Tidak HALAL!


Minyak sapi jenama QBB Pure Ghee tidak halal2010/09/04KUALA LUMPUR: Pengguna beragama Islam diingatkan supaya tidak membeli dan menghentikan pengambilan minyak sapi jenama QBB Pure Ghee yang sudah ditarik balik status halalnya oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) 19 Ogos lalu kerana didapati mengandungi elemen yang meragukan.
Meskipun arahan untuk menarik balik barangan ini dari pasaran sudah dikeluarkan, namun berikutan permintaan tinggi bahan itu ketika Ramadan terutama menjelang sambutan Aidilfitri, pengguna dinasihatkan supaya memilih produk yang diyakini halal sebagai alternatif.
Pegawai Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Mohd Mustaffa Hamzah, juga menggesa syarikat pengeluar produk berkenaan, QBI Packaging Sdn Bhd menarik balik semua produk itu dalam pasaran kerana ia boleh mengelirukan pengguna Islam kerana tanda halal masih ada pada produk itu walaupun sudah ditarik balik oleh JAKIM.
Kami menerima banyak aduan daripada pengguna bahawa produk itu masih di pasaran dan ramai yang keliru sama ada ia halal atau pun sebaliknya kerana masih ada logo halal JAKIM tertera pada produk berkenaan, katanya kepada pemberita di sini semalam.
Beliau berharap JAKIM dapat melakukan pemantauan rapi manakala syarikat terbabit dapat memberikan kerjasama dalam memastikan semua produk ditarik balik dari pasaran.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Setiausaha Kerja PPIM, Datuk Nadzim Johan meminta supaya Kementerian Kesihatan memantau dan menetapkan prosedur yang lebih ketat dan jelas kepada pengusaha pusat dialisis bagi memastikan ia terus diyakini.
Ini berikutan dakwaan seorang pesakit buah pinggang, Osman Mohamad, 53, dari Sabak Bernam yang kini menderita kesan jangkitan kuman didakwa berpunca daripada pengendalian pusat dialisis yang tidak sempurna. (Sumber: Berita Harian Online)

Perbanyakkan Amalan Sepanjang 10 Hari Terakhir Ramadhan

Foto: dulkimso

Hadis:
Daripada Aisyah r.a. katanya: “Rasulullah SAW memperbanyakkan amalan apabila sampai hari yang kesepuluh terakhir daripada bulan Ramadan, baginda juga membangunkan isterinya agar beribadat (sembahyang sunat, membaca al-Quran, berzikir dan lainnya) Baginda juga menjauhkan diri daripada bergaul serta bermesra dengan isterinya.”

(Hadis: al-Bukhari dan Muslim)
Huraian:
1. Islam menuntut umatnya yang berpuasa agar berusaha untuk menambahkan amal ibadat mereka apabila masuk hari yang kedua puluh satu Ramadan sehingga akhir, kerana di malam-malam tersebut akan berlaku Lailatul Qadar.
2. Oleh itu adalah sangat digalakkan untuk kita memperbanyakkan amal ibadat beriktikaf di dalam masjid melakukan sembahyang-sembahyang sunat seperti sunat taubat, sunat tahajjud, sunat tasbih, sunat hajat dan sebagainya selain daripada sunat tarawikh, membaca al-Quran dan berzikir.
3. Bagi para suami, inilah saatnya merebut peluang beribadah bersama keluarga dengan mengajak isteri mereka bangun beribadat bersama-sama. Mudah-mudahan rumahtangga yang dibina sentisa aman dan mendapat rahmat daripada Allah SWT.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

26 Ogos 2010

Nuzul Al-Quran dan Lailatul Qadar


Nuzul Al-Quran
Peristiwa nuzul al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi SAW hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini. Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad SAW. Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.
‘Al-Quran’ bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata ‘al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau ‘al-Quran yang mempunyai mukjizat’. Malah inilah sebenarnya kelebihan al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam al-Quran. Firman Allah:
Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan). (Al-An’am:38)
al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia.. Segala isi kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.
Dalam sejarah kehidupan Nabi SAW ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah Al-‘Alaq. maksudnya:
"Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya." (al-‘alaq:1-5)

Hubungan Lailatul Qadar dan Nuzul al-Quran
Lailatul Qadar pula ialah suatu malam pada bulan Ramadhan yang begitu istimewa sekali fadilatnya. Malam al-Qadar adalah suatu malam yang biasanya berlaku pada 10 akhir Ramadhan dan amalan pada malam itu lebih baik baik dari 1000 bulan.
Apakah kaitannya malam al-Qadar dengan nuzul al-Quran? Sebenarnya al-Quran dan malam Lailatulqadar mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain sebagaimana yang diterangkan di dalam kitab Allah dan hadis Rasulullah SAW di antaranya firman Allah SWT
Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! (al-Qadar:1-5)
Mengikut satu pandangan, ayat ini diturunkan berdasarkan satu riwayat dari Ali bin Aurah, pada satu hari Rasulullah SAW telah menyebut 4 orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikit pun tidak derhaka kepada Allah, lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu kepada Rasulullah SAW menyatakan bahawa Allah SWT menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril pun membaca surah al-Qadar dan Jibril berkata kepada Rasulullah ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan ini menjadikan Rasulullah SAW dan para sahabat amat gembira.
Dalam hadis yang lain Aishah juga meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam Lailatul qadar pada malam-malam yang ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan.
Tulisan: Dr. Samsu Adabi Mamat, Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia @ JAKIM

25 Ogos 2010

UMNO-PAS PERLU BERSATU: SERUAN SEHATI DIEDARKAN DI MASJID UKM PAGI INI




Tetamu Senja ~ A. Samad Said

Kita datang ini hanya sebagai tetamu senja
Bila cukup detik kembalilah
Kita kepadanya
Kita datang ini kosong tangan dada
Bila pulang nanti bawa dosa bawa pahala

Pada tetamu yang datang dan
Kenal jalan pulang
Bawalah bakti mesra kepada
Tuhan kepada Insan
Pada tetamu yang datang
Dan lupa jalan pulang
Usahlah derhaka pula
Pada Tuhan kepada insan

Bila kita lihat manusia lupa tempat
Atau segera sesat puja darjat
Puja pangkat
Segera kita insaf kita ini punya kiblat
Segera kita ingat kita ini punya tekad

Bila kita lihat manusia terbiar larat
Hingga mesti merempat ke laut biru
Ke kuning darat
Harus kita lekas sedar penuh pada tugas
Harus kita tegas sembah
Seluruh rasa belas

Kita datang ini satu roh satu jasad
Bila pulang nanti bawa bakti padat berkat
Kita datang ini satu roh satu jasad
Bila pulang nanti bawa bakti padat berkat
~ A. Samad Said

Citation from - http://penyair.wordpress.com/category/a-samad-said/


IM: Pertama kali ku dengari bait-bait puisi ini di corong radio IKIM.fm dalam perjalanan menunaikan solat subuh pagi tadi. Bait-bait indah yang tersirat seribu makna sebagai ingatan sebagai seorang hamba yang bermusafir di atas muka dunia yang sementara sebelum dijemput pulang buat selama-lamanya. Siapapun kita? Tinggi manapun pangkat kita di dunia, berapa banyaknya harta kita?...Yang pasti kita akan pergi jua. Mungkin sebentar lagi, esok, atau hari-hari mendatang. yang pasti semua akan pergi...
Ya Allah, tunjuki ku jalan menuju taqwa-Mu...Terlalu banyak dosa yang aku lakukan ya Allah, ampuniku ya Allah...Aku insan lemah ya Allah, janganlah Engkau menarik iman yang Engkau anugerahkan sebaliknya berikan petunjuk dan hidayah kepadaku, ahli keluargaku, sahabat-sahabatku, guru-guruku, muslimin-muslimat, dan yang paling utama untuk kedua ibu bapaku serta ahli keluargaku yang masih belum merasa nikmat iman dan islam dari-Mu...aku tak berdaya ya Allah, Engkau yg menentukan segalanya...Aku redha dengan ketentuan-Mu...Aku hanya mampu berdoa...berdoa...dan terus berdoa....aku takkan putus asa untuk terus memohon kepada-Mu...Sesungguhnya Engkau Maha Pemurah lagi Maha Mengetahui...

21 Ogos 2010

Seorang Hamba Allah Berketurunan Cina Mengucap Dua Kalimah Syahadah Di Masjid UKM

video

"Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayat petunjuk kepadanya nescaya Dia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Dia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah dia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman." [Al-Anaam: Ayat 125]

Alhamdulillah...keberkatan di bulan yang penuh mulia ini, seorang lagi insan terpilih untuk menikmati hidup sebagai seorang Islam. Selesai sahaja menyempurnakan solat zohor di Masjid UKM tengah hari tadi, pegawai masjid mengumumkan bahawa ada seorang hamba Allah menyatakan niatnya untuk memeluk agama Islam. Alhamdulillah...itu perkataan pertama yang terungkap di hati.

Insan bertuah yang dimaksudkan adalah seorang berketurunan cina (berbaju merah hati) yang saya fikir usianya sekitar 70-an. Beliau tertarik dengan Islam ni dek kerana sering memerhatikan gaya hidup umat Islam lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan ini. Setelah sekian lama membuat pemerhatian akhirnya hari ini beliau membulatkan tekad untuk bersama-sama kita dalam Islam.

Sama-samalah kita mendoakan agar beliau teguh dan kuat dalam menempuh kehidupan baharu sebagai seorang Muslim. Semoga beliau terus diberikan petunjuk dan hidayah serta dimudahkan segala urusan, seterusnya menjadi Mukmin yang takwa. InsyaAllah...

"...Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya." [Ali Imraan: Ayat 8]

15 Ogos 2010

DON'T Break Your Fast With Israeli Dates!


Read more here





Source: Friends of Al Aqsa (http://www.aqsa.org.uk)

Catatan IM:
Saudaraku sekalian, perancangan Yahudi laknatullah ini sememangnya licik. Jangan kita mudah terpedaya, dan haruslah berhati-hati dalam memilih makanan untuk kita berbuka puasa terutama di bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini. Mungkin kita di Malaysia tidak menjumpai paket kurma seperti yang ditunjukkan dlm gambar di atas, tetapi perlu juga berhati-hati. Niat untuk meraih pahala, rupa-rupanya kita berdosa kerana membantu menyumbang kepada ekonomi yahudi yang terkenal dengan kekejaman dan kezalimannya.



10 Ogos 2010

SELAMAT BERPUASA, RAMADHAN MUBARAK


6 Ogos 2010

Berakhirnya Syaaban, Menjelangnya Ramadhan



"Ya Allah, berkatilah aku pada bulan Syaaban dan pertemukanlah aku dengan Ramadhan"




5 Ogos 2010

Di kala bersedih, berdoalah...



"Ya Allah, sesungguhnya aku adalah hambaMu, anak kepada hambaMu, anak kepada hamba perempuanMu, ubun-ubunku di tanganMu, terlaksana ke atasku hukumanMu dan adil kehakimanMu terhadapku, aku memohon kepadaMu dengan setiap nama yang Engkau namakan dengannya diriMu, atau Engkau turunkan di dalam kitabMu, atau Engkau telah mengajarnya kepada seseorang daripada makhlukMu atau yang tersembunyi pada ilmu ghaib di sisiMu, jadikanlah Al-Quran penenang hatiku, cahaya di dadaku, penghapus kedukaanku dan penghilang kesusahanku"

(Dipetik drpd.: doaharian.blogspot.com)



2 Ogos 2010

Jitra-Bangi...Rutin Mingguan

Hari ini seharian di dalam bas. Balik ke tempat menimba secebis ilmu duniawi, dengan harapan ianya mendapat redha Illahi.
Alhamdulillah, hingga ke saat ini, perjalanan dalam keadaan selesa dan selamat atas kehendak-Nya jua. Mujur juga coverage hampir sepanjang perjalanan memuaskan dan boleh akses kepada talian internet untuk berkomunikasi.
Ini adalah rutin mingguan baruku yang hampir sebulan. Jitra-Bangi-Jitra. Saban minggu aku akan berulang-alik demi tanggungjawab terhadap pengajian yang sedang aku ikuti sekarang;dan demi tanggungjawab terhadap keluarga. Dua-duanya penting bagi diriku. Semoga Allah permudahkan urusanku. Hanya dengan izin-Nya sahaja aku berdaya melakukan semua ini.
Kesibukan semenjak bergelar pelajar buat kali ke sekian ini memang tidak dapat dinafikan. Terpaksa mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan alam baru yang aku tempuhi sekarang. Agak berbeza daripada 10 tahun yang lalu ketika baru pertama kali menjejakkan kaki ke menara gading (orang kata...). Inilah dunia, berubah...dan terus berubah...Walaubagaimanapun, ini semua bukan alasan untuk terus berjuang. Ramai lagi di luar sana yang terpaksa mengharungi pelbagai ranjau yang lebih mencabar...
Apapun, semoga perjuangan ini dapat diteruskan hingga mencapai cita-cita....doakanku...
Catatan: Buat masa ini etika-Express baharu sahaja melewati persimpangan Bukit Tagar/Batang Berjuntai...InsyaAllah sampai menjelang maghrib...

1 Ogos 2010

Peribadi Pemimpin: Kisah Saidina Umar Al-Khatab r.a

Dari jauh, sayup-sayup kelihatan dua orang manusia sedang bergilir-gilir menunggang seekor unta di tengah-tengah padang pasir yang sangat luas. Arah yang dituju ialah sebuah kota yang baru sahaja dibuka oleh tentera Islam. Pada masa yang sama, di pintu gerbang kota, ribuan manusia sedang menunggu kedatangan seorang pemimpin yang amat disegani. Pada mereka yang belum pernah melihatnya, yang terbayang adalah kedatangan seorang pemimpin dengan bala tentera yang tidak terkira banyaknya. Sebahagian yang lain pula cuba membayangkan kedatangan seorang raja dengan segala kemewahannya. Setiap orang mempunyai andaian yang pelbagai.
Tiba-tiba seorang pemuda berteriak memberitahu ketibaan dua orang lelaki dengan seekor unta. Setiap orang tertanya-tanya: “Siapakan gerangannya, ke manakah tujuannya?”. Semakin hampir, semakin jelas bahawa yang datang itu merupakan orang yang ditunggu-tunggu. Sebahagian orang yang pernah melihatnya berteriak: “Amir al-Mukminin telah tiba”. Mereka yang tidak pernah melihatnya terpinga-pinga. Terbukti, anggapan mereka tentang pemimpin ini jauh meleset. Dengan hanya menaiki seekor unta, berpakaian dengan pakaian yang amat sederhana dengan ditemani oleh seorang lelaki yang kemudiannya diketahui adalah hamba, inilah rupa-rupanya pemimpin yang amat disegani rakan dan digeruni lawan.
Lalu bersegeralah manusia mengerumuni lelaki yang berada di atas unta. Sekali lagi, anggapan mereka meleset juga. Lelaki yang berada di atas unta rupanya adalah seorang hamba, manakala lelaki yang sedang berjalan dan memegang tali unta, itulah pemimpin agung, Amir al-Mukminin Umar al-Khaththab radhiallahu 'anh. Keinsafan kemudiannya menyelubungi mereka apabila mendengar penjelasan si hamba:
Sejak keluar dari kota Madinah, kami bergilir-gilir menaiki unta ini dan apabila hampir sampai ke sini, giliran hamba pula untuk naik dan giliran Amir al-Mukminin untuk berjalan kaki. Walaupun hamba berusaha memberitahu baginda, tidak mengapa untuk baginda terus menaiki unta, namun baginda tetap berdegil untuk mengikut giliran yang sepatutnya. Hamba cuba memberi alasan bahawa adalah lebih mulia dan dipandang tinggi oleh para penduduk kota Baitul Maqdis jika sekiranya khalifah menunggang unta ketika memasuki kota. Namun Amir al-Mukminin telah memberikan pengajaran yang berharga kepada saya dengan berkata:

“Kita adalah suatu kaum yang telah dimuliakan oleh Allah dengan Islam. Jika sekiranya kita mencari kemuliaan (dan ketinggian di sisi manusia) selain daripada Islam, maka kita akan dihinakan oleh Allah.”

Demikianlah kebenarannya, bilamana kita sebagai individu muslim mula meninggalkan Islam dan mencari kemuliaan-kemuliaan lain, maka apa peliknya Allah Subhanahu wa Ta'ala menghinakan kita sebagaimana yang berlaku pada ketika ini.

Perjalanan Seorang Muslim


Satu ketika dalam perjalanan, Rasullulah shallallahu 'alaihi wasallam bersama sahabat baginda berhenti di bawah sebatang pokok. Dalam perteduhan tersebut, baginda memberi perumpamaan bahawa bandingan di antara manusia dan dunia adalah seolah seorang musafir yang berjalan di padang pasir dan dalam perjalanannya dia melalui sebatang pokok. Oleh kerana terlalu letih dia berhenti di bawah pokok tersebut untuk berteduh. Bila cukup sudah rehatnya, dia meneruskan perjalanan menuju ke tempat yang hendak dia tujui.

Baginda menyambung dengan mengatakan bahawa inilah gambaran perjalanan seorang manusia di dunia. Manusia dilahirkan ke dunia ini dari perut ibunya dan dia hidup hanya untuk sementara waktu. Sama ada dia suka atau tidak dia pasti akan menemui mati. Ini sebagaimana seorang musafir yang berteduh di bawah sebatang pokok yang akan meneruskan perjalanannya kerana tempat perteduhan itu bukanlah destinasi utamanya. Destinasi utama masih jauh. Sama ada dia suka ataupun tidak, dia perlu meneruskan perjalanan sehinggalah sampai ke destinasi utamanya.

Menyedari bahawa hidup kita di dunia ini hanya untuk sementara waktu, manusia memerlukan petunjuk yang boleh membimbingnya ke jalan yang boleh membawa kepada destinasi terakhir yang baik (husnul khatimah).

Ini kerana, seorang manusia yang datang ke bumi Allah, kalau sekiranya dia bukan seorang Islam, dia akan mencari petunjuk-petunjuk yang lain yang berlandaskan hawa nafsu dan tarikan syaitan. Tetapi bila mana seseorang itu dilahirkan sebagai seorang Muslim, dia mempunyai petunjuk yang akan membawa dirinya ke jalan yang lurus dan destinasi yang sebenar. Bagi insan seperti saya, yang mana dilahirkan dalam keluarga bukan Islam, hanya mengharapkan doa-doa kaum muslimin agar orang-orang yang belum Islam diberikan hidayah daripada-Nya. Beruntunglah kalian yang dilahirkan ke dunia dan terus menikmati label Islam, tidak banyak ranjau yang perlu ditempuhi. bagi yang lahir daripada keluarga belum Islam, bukan satu yang mudah untuk diketemukan dengan sinar hidayah. Syukurilah...

Persepsi ini akan membawakan kita kepada satu sahaja petunjuk kepada individu Muslim yakni al-Quran dan as-Sunnah kerana terbukti dengan keimanan dan realiti bahawa hanya petunjuk ini yang mampu memimpin diri kita.

Mengimani perkara ini, seseorang individu yang mengaku dirinya muslim tidak dapat lari daripada hakikat petunjuk ini. Namun begitu, terdapat juga umat Islam yang mengaku dirinya dipandu oleh al-Quran dan as-Sunnah tetapi hakikat sebenarnya al-Quran dan as-Sunnahlah yang dipandu oleh nafsunya.

Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata. [Al-Baqarah: Ayat 208]

25 Julai 2010

Catatan Iban Muslim: Keterbatasan Waktu

Alhamdulillah. Syukur ke hadrat Illahi kerana masih diberi kesempatan oleh-Nya untuk terus bernafas dan berurusan di atas muka bumi milik-Nya ini. Sudah terasa agak terlalu lama tidak dapat memperbaharui 'posting' yang terdapat dalam blog Iban Muslim ini. Keterbatasan waktu yang dialami oleh IM sejak akhir-akhir ini mengakibatkan blog ini tidak di 'update' sejak 11 Julai yang lalu.
Namun demikian, IM akan cuba sedaya upaya meneruskan usaha ini, bukan untuk sesiapa, tetapi untuk diri IM sendiri.
Mulai Julai 2010 ini, IM berpeluang untuk melanjutkan pengajian; dan komitmen terhadap pengajian perlu diutamakan. Sedaya upaya IM cuba mengemaskini kandungan blog ini dari semasa ke semasa.
Bagi rakan-rakan yang mempunyai idea dan ilmu yang ingin di'posting'kan di dalam blog IM, ilmu saudara/i itu amatlah dialu-alukan. Emelkan kepada IM di alamat emel: ibanmuslim.gmail.com

"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian; Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar." [Al-Asr: Ayat 1-3]

Sesungguhnya, ilmu yang bermanfaat itu wajar dikongsikan bersama demi manfaat bersama di dunia dan lebih-lebih lagi untuk bekalan kehidupan di akhirat yang kekal selamanya.

Terima kasih di atas sokongan saudara/i yang terus mengikuti perkembangan dalam Blog IM samada secara sengaja atau kebetulan. Tidak ada yang istimewa dalam blog ini, hanya sekadar medan berbicara seorang insan kerdil...
Yang baik itu datangnya dari Allah yang Maha Mengetahui, yang kurang itu datangnya dari diri saya yang lemah sebagai seorang hamba-Nya.
"...tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah..." [Al-Kahfi: Ayat 39]

11 Julai 2010

Angelina Jolie Turut Dedahkan Islam Kepada Anak-Anaknya


PASANGAN pelakon Hollywood Angelina Jolie (gambar) dan Brad Pitt mengaku memberikan pendidikan agama kepada anak-anak mereka.
Jolie tidak membataskan pendidikan itu pada satu atau dua agama sahaja, malahan enam anaknya mendapat pendedahan terhadap semua bentuk agama yang ada.
"Brad dan saya membesarkan anak-anak kami untuk menghargai sesama manusia," ujar ibu kepada Maddox, Pax, Zahara, Shiloh dan si kembar Vivienne dan Knox itu kepada majalah Parade.
Jolie dan Pitt memperkenalkan semua agama yang ada di dunia ini kepada enam anak mereka dengan menyediakan rak yang memuatkan pelbagai buku dan kitab agama di rumah mereka.
"Kami ada Injil, al-Quran dan semuanya. Kami juga mengajak anak kami ke gereja, kuil, menghadiri upacara ajaran Buddha, pergi masjid, mengajar mereka tentang semua kepercayaan," katanya pada Sabtu.
Menurut Jolie, walau apapun agama yang dipilih oleh anak-anaknya kelak, dia tidak akan membantah.
"Pilihannya (agama) terletak pada tangan mereka," ujarnya. /-mStar Online
Sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah (dengan sebab persediaannya) maka dialah yang beroleh petunjuk dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah (dengan sebab keingkarannya) maka merekalah orang-orang yang rugi. [Al-Araf: Ayat 178]

2 Julai 2010

Peristiwa Israk Mikraj Nabi Muhammad S.A.W. – 27 Rejab

Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. [Al-Isra: Ayat 1]

Sempena Bulan Rejab yang penuh keberkatan ini, saya cuba untuk memaparkan semula beberapa kisah penting yang berlaku pada peristiwa Isra' & Mikraj yang telah dilalui oleh Nabi kita Muhammad s.a.w. Berikut beberapa catatan ringkas berkaitan peristiwa agung yang perlu kita imani sebagai seorang muslim;

Sebelum Israk dan Mikraj
Rasulullah S. A. W. terlebih dahulu melalui pembedahan dada, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika’il. Hati Baginda S. A. W. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam (‘alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan was-wasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman ke dalam dada Rasulullah S. A. W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan “khatimin nubuwwah”. Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan “Israk” itu.


Semasa Israk (Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa):
Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah S. A. W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Apabila tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

i. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah.

ii. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa a.s menerima wahyu daripada Allah;

iii. Baitul-Laham (tempat Nabi ‘Isa a.s dilahirkan);

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S. A. W. menghadapi gangguan jin ‘Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib.

Antaranya :

i. Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. Apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S. A. W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad “Fisabilillah” yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

ii. Tempat yang berbau harum. Rasulullah S. A.W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Masyitah (tukang sisir rambut anak Fir’aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir’aun kerana tetap teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir’aun sebagai Tuhan).

iii. Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali (berulang-ulang). Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

iv. Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

v. Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.

vi. Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.

vii. Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

viii. Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

ix. Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghina) orang.

x. Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang tersebut (namun terus dipaksa). Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tetapi sudah terlambat.

xi. Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

xii. Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S. A. W. tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensia-siakan umurnya sampai ke tua.

xiii. Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di Masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum.

Rasulullah S. A. W. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

Semasa Mikraj (Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah):Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S. A. W. dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

Langit Pertama: Rasulullah S. A. W. dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A. S. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat hodoh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

Langit Kedua: Nabi S. A. W. dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi ‘Isa A. S. dan Nabi Yahya A. S.

Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A. S.

Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A. S.

Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A. S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.


Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A. S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma’mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S. A. W., Nabi Ibrahim A. S. bersabda, “Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha’if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu "LAA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH”. Mengikut riwayat lain, Nabi Irahim A. S. bersabda, “Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA LAA ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA LAA HAULA WA LAA QUWWATA ILLA BILLAHIL- ‘ALIYYIL-’AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga”.

Setelah melihat beberapa peristiwa lain yang ajaib, Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).


Tangga Kelapan: Di sinilah disebut “al-Kursi” yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S. A. W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S. A. W. dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.


Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur ‘Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.


Rabbul-Arbab - lalu dapat menyaksikan Allah S. W. T. dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:

Allah S. W. T : Ya Muhammad.

Rasulullah : Labbaika.

Allah S. W. T : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.

Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan ‘Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.

Allah S. W. T : Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah ‘Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.


Selesai munajat, Rasulullah S.A.W. di bawa menemui Nabi Ibrahim A.S. kemudian Nabi Musa A. S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S.A.W. merayu kepada Allah S.W.T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.


Selepas Mikraj
Rasulullah S.A.W. turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah).

Wallahu’alam.

(Sumber : Kitab Jam’ul-Fawaa`id) Dikemaskini daripada -jalanakhirat.wordpress.com-

18 Jun 2010

Catatan Dari Kampung...

Seminggu berada di kampung...coverage internet di kampung kurang memuaskan...lama tak menjengah blog IM...banyak paparan yang ingin dikongsikan, namun masalah ini agak membataskan perjalanan blog IM.

Sekarang sedang menunggu masuk waktu zohor...hari ini solat jumaat di Masjid Bandar Sri Aman...insyaAllah 12.41 tgh hari azan akan dikumandangkan...

Alhamdulillah..peluang ke bandar untuk bersolat jumaat hari ini dapat diambil kesempatan untuk menjengah blog...coverage di bandar memang excellent...di kampung...entah bila akan ke tahap yang memuaskan...

Tak mengapa, ini peluang untuk berehat sepenuhnya...namun rindu dengan rakan di alam maya...

8 Jun 2010

World Cup 2010: Jadual Perlawanan

Jadual Penuh Perlawanan (Klik Di Sini)

Medical Check-Up

Alhamdulillah...
Pagi tadi aku datang semula ke Rumah Sakit Angkatan Tentera, Kepala Batas, Kedah untuk menjalani Medical Check-Up. 8.15 pagi aku sampai untuk memulakan proses pemeriksaan sebagaimana yang diperlukan oleh pihak biasiswa dan universiti.

Melapor diri di Pejabat Dokumen...Seterusnya ke makmal untuk urine test...destinasi seterusnya bilik X-Ray...maka, matilah jutaan sel badan...seterusnya Klinik Pergigian...Selesai di situ, kembali semula ke Pejabat Dokumen...

Di pejabat dokumen, pegawai di situ menjalankan pemeriksaan tekanan darah, ukur ketinggian, ukur berat badan, uji 'kecekapan mata'...seterusnya baharulah diketemukan dengan Doktor...destinasi terakhir...selepas doktor melakukan pemeriksaan ;dan meneliti serta melengkapkan segala dokumen yang ada, baharulah tandatangan diturunkan...selesai...

Syukur alhamdulillah, Allah permudahkan segala proses pemeriksaan dan disahkan dalam keadaan sihat. Proses pemeriksaan keseluruhan mengambil masa kurang lebih 1 jam sahaja. Bayaran RM30 sahaja. (Laporan Pemeriksaan + Filem X-Ray)

Maka, dokumen berkaitan medical check-up telah pun lengkap dan menunggu masa untuk diserahkan ke Bahagian Biasiswa dan Universiti....

Terima kasih kepada pihak Rumah Sakit Angkatan Tentera yang telah memberikan perkhidmatan yang terbaik sepanjang pemeriksaan dijalankan. Semoga Allah memberi balasan yang baik di atas khidmat tersebut.
-Iban Muslim-
11.57 pagi
25 Jamadil Akhir 1431H
8 Jun 2010

7 Jun 2010

Diari Iban Muslim: Hidupku semalam, hari ini, dan esok yang belum pasti...

5 Jun yang lalu telah tamat kursus sebulan yang perlu aku sebagaimana yang telah ditetapkan Bahagian Biasiswa. Alhamdulillah, ditamatkan dengan baik setelah menghadapi satu ujian akhir yang agak mencabar. Apapun, syukur kepada hadrat Illahi di atas kekuatan dan keupayaan yang dikurniakan-Nya buat hamba yang lemah ini.

Semalam, 6 hb, memasuki pejabat untuk menjengah kerja-kerja yang telah ditinggalkan sebulan yang lalu. Namun, tiada apa yang perlu diuruskan setakat semalam. Semalam masa banyak dikhaskan untuk urusan permohonan cuti belajar. Isi borang. Taip surat. Jumpa Tuan Pengarah. Alhamdulillah, selesai jua.
Pagi ini, aku bercadang untuk membuat medical check-up. Namun, sesampainya di pusat kesihatan Angkatan Tentera, pegawai di situ menyatakan pemeriksaan hanya dibuat pada Selasa, Rabu, Khamis. Tak apalah, insyaAllah aku akan datang kembali esok pagi. Kenapa ke pusat kesihatan Angkatan Tentera? Kawan-kawan kata di situ urusannya cepat, orang pun tak ramai. Terpanggil nak cuba juga. Dua borang perlu pegawai kesihatan isi dan tandatangan. Satu untuk biasiswa, dan satu lagi untuk universiti. Apapun, aku harap esok dapat diselesaikan...
Awat kalut sangat? Ye la, 9hb aku nak balik kampung halaman di Sri Aman Sarawak. Rindu beb...rindu kat rumah panjang aku...yang paling rindu kat mak ayah, adik beradik, saudara-mara. InsyaAllah 16 hari aku luangkan masa di sana.
Jangan anggap aku ni dah beragama Islam tak boleh balik rumah panjang jumpa mak ayah aku. islam tidak pernah didik aku begitu...Segelintir masyarakat di kampung aku anggap bahawa setelah anak masuk Islam, terus lupakan mereka. Tu sebab mereka amat menentang jika anak mereka nak masuk Islam. Aku tidak!...sejak aku bersama Islam lebih kurang 8 tahun lalu, aku tidak pernah lupa untuk balik kampung. Dek kerana jarak agak jauh untuk aku kerap pulang, namun aku tetap cuba untuk balik sekurang-kurangnya setahun sekali. Alhamdulillah, Allah izinkan...
Setelah habis bercuti di Sarawak nanti, aku ada seminggu lebih lagi untuk masuk pejabat sebelum mendaftar sebagai pelajar. 7 hb Julai, hari pendaftaran... Semoga Allah memberi petunjuk dan hidayah sepanjang aku menempuh alam menara gading untuk kali kedua ini...
Wallahu'alam....

Diari Iban Muslim
24 Jamadil Akhir 1431H
7hb Jun 2010
9.46 pagi

5 Jun 2010

Rachel Corrie Dirampas Oleh Pasukan Pertahanan Israel



KUALA LUMPUR, 5 Jun (Bernama) -- MV Rachel Corrie, kapal terakhir yang membawa bantuan kemanusiaan ke kawasan Gaza yang dikepong Israel, bersama sekumpulan aktivis damai termasuk enam dari Malaysia, telah dirampas oleh Pasukan Pertahanan Israel pada kira-kira 2.45 petang (waktu Malaysia) hari Sabtu, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.
Menurut jurucakap Wisma Putra, kapal itu sedang diiring ke pelabuhan Ashdod di Israel.
Sembilan belas aktivis yang berada dalam kapal itu dilaporkan tidak diapa-apakan, kata jurucakap itu. Dalam kenyataan di sini, Anifah berkata Malaysia mendesak Israel agar menentukan keselamatan kesemua sukarelawan di kapal berkenaan.
"Malaysia juga menuntut Israel tidak mengambil sebarang tindakan tentera yang drastik dan ganas terhadap penumpang Rachel Corrie yang tidak bersenjata itu," katanya.
Anifah berkata kesemua aktivis dalam kapal Rachel Corrie perlu diberi bantuan bagi menjamin keselamatan mereka. Anifah berkata Wisma Putra memantau secara dekat perkembangan oleh kerana adanya enam rakyat Malaysia di kapal berkenaan.
Misi bantuan Gaza itu ditaja oleh Perdana Global Peace Organisation (PGPO), sebuah organisasi bukan kerajaan Malaysia.
Kapal itu dinamakan Rachel Corrie sempena nama seorang wanita Amerika yang terbunuh oleh sebuah jentolak tentera Israel di Semenanjung Gaza pada 2003, ketika memprotes tindakan meroboh sebuah rumah.
Anifah berkata Malaysia turut menggesa Israel menentukan laluan selamat kapal itu ke Gaza untuk menyerahkan kargo bantuan kemanusiaan itu.Dalam hubungan ini, Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa agar turut meminta Israel memberi jaminan demikian.
-- Sumber: BERNAMA