5 Jun yang lalu telah tamat kursus sebulan yang perlu aku sebagaimana yang telah ditetapkan Bahagian Biasiswa. Alhamdulillah, ditamatkan dengan baik setelah menghadapi satu ujian akhir yang agak mencabar. Apapun, syukur kepada hadrat Illahi di atas kekuatan dan keupayaan yang dikurniakan-Nya buat hamba yang lemah ini.
Semalam, 6 hb, memasuki pejabat untuk menjengah kerja-kerja yang telah ditinggalkan sebulan yang lalu. Namun, tiada apa yang perlu diuruskan setakat semalam. Semalam masa banyak dikhaskan untuk urusan permohonan cuti belajar. Isi borang. Taip surat. Jumpa Tuan Pengarah. Alhamdulillah, selesai jua. Pagi ini, aku bercadang untuk membuat medical check-up. Namun, sesampainya di pusat kesihatan Angkatan Tentera, pegawai di situ menyatakan pemeriksaan hanya dibuat pada Selasa, Rabu, Khamis. Tak apalah, insyaAllah aku akan datang kembali esok pagi. Kenapa ke pusat kesihatan Angkatan Tentera? Kawan-kawan kata di situ urusannya cepat, orang pun tak ramai. Terpanggil nak cuba juga. Dua borang perlu pegawai kesihatan isi dan tandatangan. Satu untuk biasiswa, dan satu lagi untuk universiti. Apapun, aku harap esok dapat diselesaikan... Awat kalut sangat? Ye la, 9hb aku nak balik kampung halaman di Sri Aman Sarawak. Rindu beb...rindu kat rumah panjang aku...yang paling rindu kat mak ayah, adik beradik, saudara-mara. InsyaAllah 16 hari aku luangkan masa di sana. Jangan anggap aku ni dah beragama Islam tak boleh balik rumah panjang jumpa mak ayah aku. islam tidak pernah didik aku begitu...Segelintir masyarakat di kampung aku anggap bahawa setelah anak masuk Islam, terus lupakan mereka. Tu sebab mereka amat menentang jika anak mereka nak masuk Islam. Aku tidak!...sejak aku bersama Islam lebih kurang 8 tahun lalu, aku tidak pernah lupa untuk balik kampung. Dek kerana jarak agak jauh untuk aku kerap pulang, namun aku tetap cuba untuk balik sekurang-kurangnya setahun sekali. Alhamdulillah, Allah izinkan... Setelah habis bercuti di Sarawak nanti, aku ada seminggu lebih lagi untuk masuk pejabat sebelum mendaftar sebagai pelajar. 7 hb Julai, hari pendaftaran... Semoga Allah memberi petunjuk dan hidayah sepanjang aku menempuh alam menara gading untuk kali kedua ini...Wallahu'alam....
Diari Iban Muslim
24 Jamadil Akhir 1431H
7hb Jun 2010
9.46 pagi