Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah islam dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya. [Surah Ali Imraan: Ayat19]

Rakan Iban Muslim

26 Ogos 2010

Nuzul Al-Quran dan Lailatul Qadar


Nuzul Al-Quran
Peristiwa nuzul al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi SAW hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini. Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad SAW. Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.
‘Al-Quran’ bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata ‘al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau ‘al-Quran yang mempunyai mukjizat’. Malah inilah sebenarnya kelebihan al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam al-Quran. Firman Allah:
Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan). (Al-An’am:38)
al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia.. Segala isi kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.
Dalam sejarah kehidupan Nabi SAW ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah Al-‘Alaq. maksudnya:
"Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya." (al-‘alaq:1-5)

Hubungan Lailatul Qadar dan Nuzul al-Quran
Lailatul Qadar pula ialah suatu malam pada bulan Ramadhan yang begitu istimewa sekali fadilatnya. Malam al-Qadar adalah suatu malam yang biasanya berlaku pada 10 akhir Ramadhan dan amalan pada malam itu lebih baik baik dari 1000 bulan.
Apakah kaitannya malam al-Qadar dengan nuzul al-Quran? Sebenarnya al-Quran dan malam Lailatulqadar mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain sebagaimana yang diterangkan di dalam kitab Allah dan hadis Rasulullah SAW di antaranya firman Allah SWT
Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! (al-Qadar:1-5)
Mengikut satu pandangan, ayat ini diturunkan berdasarkan satu riwayat dari Ali bin Aurah, pada satu hari Rasulullah SAW telah menyebut 4 orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikit pun tidak derhaka kepada Allah, lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu kepada Rasulullah SAW menyatakan bahawa Allah SWT menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril pun membaca surah al-Qadar dan Jibril berkata kepada Rasulullah ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan ini menjadikan Rasulullah SAW dan para sahabat amat gembira.
Dalam hadis yang lain Aishah juga meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam Lailatul qadar pada malam-malam yang ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan.
Tulisan: Dr. Samsu Adabi Mamat, Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia @ JAKIM

25 Ogos 2010

UMNO-PAS PERLU BERSATU: SERUAN SEHATI DIEDARKAN DI MASJID UKM PAGI INI




Tetamu Senja ~ A. Samad Said

Kita datang ini hanya sebagai tetamu senja
Bila cukup detik kembalilah
Kita kepadanya
Kita datang ini kosong tangan dada
Bila pulang nanti bawa dosa bawa pahala

Pada tetamu yang datang dan
Kenal jalan pulang
Bawalah bakti mesra kepada
Tuhan kepada Insan
Pada tetamu yang datang
Dan lupa jalan pulang
Usahlah derhaka pula
Pada Tuhan kepada insan

Bila kita lihat manusia lupa tempat
Atau segera sesat puja darjat
Puja pangkat
Segera kita insaf kita ini punya kiblat
Segera kita ingat kita ini punya tekad

Bila kita lihat manusia terbiar larat
Hingga mesti merempat ke laut biru
Ke kuning darat
Harus kita lekas sedar penuh pada tugas
Harus kita tegas sembah
Seluruh rasa belas

Kita datang ini satu roh satu jasad
Bila pulang nanti bawa bakti padat berkat
Kita datang ini satu roh satu jasad
Bila pulang nanti bawa bakti padat berkat
~ A. Samad Said

Citation from - http://penyair.wordpress.com/category/a-samad-said/


IM: Pertama kali ku dengari bait-bait puisi ini di corong radio IKIM.fm dalam perjalanan menunaikan solat subuh pagi tadi. Bait-bait indah yang tersirat seribu makna sebagai ingatan sebagai seorang hamba yang bermusafir di atas muka dunia yang sementara sebelum dijemput pulang buat selama-lamanya. Siapapun kita? Tinggi manapun pangkat kita di dunia, berapa banyaknya harta kita?...Yang pasti kita akan pergi jua. Mungkin sebentar lagi, esok, atau hari-hari mendatang. yang pasti semua akan pergi...
Ya Allah, tunjuki ku jalan menuju taqwa-Mu...Terlalu banyak dosa yang aku lakukan ya Allah, ampuniku ya Allah...Aku insan lemah ya Allah, janganlah Engkau menarik iman yang Engkau anugerahkan sebaliknya berikan petunjuk dan hidayah kepadaku, ahli keluargaku, sahabat-sahabatku, guru-guruku, muslimin-muslimat, dan yang paling utama untuk kedua ibu bapaku serta ahli keluargaku yang masih belum merasa nikmat iman dan islam dari-Mu...aku tak berdaya ya Allah, Engkau yg menentukan segalanya...Aku redha dengan ketentuan-Mu...Aku hanya mampu berdoa...berdoa...dan terus berdoa....aku takkan putus asa untuk terus memohon kepada-Mu...Sesungguhnya Engkau Maha Pemurah lagi Maha Mengetahui...

21 Ogos 2010

Seorang Hamba Allah Berketurunan Cina Mengucap Dua Kalimah Syahadah Di Masjid UKM

video

"Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayat petunjuk kepadanya nescaya Dia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Dia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah dia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman." [Al-Anaam: Ayat 125]

Alhamdulillah...keberkatan di bulan yang penuh mulia ini, seorang lagi insan terpilih untuk menikmati hidup sebagai seorang Islam. Selesai sahaja menyempurnakan solat zohor di Masjid UKM tengah hari tadi, pegawai masjid mengumumkan bahawa ada seorang hamba Allah menyatakan niatnya untuk memeluk agama Islam. Alhamdulillah...itu perkataan pertama yang terungkap di hati.

Insan bertuah yang dimaksudkan adalah seorang berketurunan cina (berbaju merah hati) yang saya fikir usianya sekitar 70-an. Beliau tertarik dengan Islam ni dek kerana sering memerhatikan gaya hidup umat Islam lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan ini. Setelah sekian lama membuat pemerhatian akhirnya hari ini beliau membulatkan tekad untuk bersama-sama kita dalam Islam.

Sama-samalah kita mendoakan agar beliau teguh dan kuat dalam menempuh kehidupan baharu sebagai seorang Muslim. Semoga beliau terus diberikan petunjuk dan hidayah serta dimudahkan segala urusan, seterusnya menjadi Mukmin yang takwa. InsyaAllah...

"...Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya." [Ali Imraan: Ayat 8]

15 Ogos 2010

DON'T Break Your Fast With Israeli Dates!


Read more here





Source: Friends of Al Aqsa (http://www.aqsa.org.uk)

Catatan IM:
Saudaraku sekalian, perancangan Yahudi laknatullah ini sememangnya licik. Jangan kita mudah terpedaya, dan haruslah berhati-hati dalam memilih makanan untuk kita berbuka puasa terutama di bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini. Mungkin kita di Malaysia tidak menjumpai paket kurma seperti yang ditunjukkan dlm gambar di atas, tetapi perlu juga berhati-hati. Niat untuk meraih pahala, rupa-rupanya kita berdosa kerana membantu menyumbang kepada ekonomi yahudi yang terkenal dengan kekejaman dan kezalimannya.



10 Ogos 2010

SELAMAT BERPUASA, RAMADHAN MUBARAK


6 Ogos 2010

Berakhirnya Syaaban, Menjelangnya Ramadhan



"Ya Allah, berkatilah aku pada bulan Syaaban dan pertemukanlah aku dengan Ramadhan"




5 Ogos 2010

Di kala bersedih, berdoalah...



"Ya Allah, sesungguhnya aku adalah hambaMu, anak kepada hambaMu, anak kepada hamba perempuanMu, ubun-ubunku di tanganMu, terlaksana ke atasku hukumanMu dan adil kehakimanMu terhadapku, aku memohon kepadaMu dengan setiap nama yang Engkau namakan dengannya diriMu, atau Engkau turunkan di dalam kitabMu, atau Engkau telah mengajarnya kepada seseorang daripada makhlukMu atau yang tersembunyi pada ilmu ghaib di sisiMu, jadikanlah Al-Quran penenang hatiku, cahaya di dadaku, penghapus kedukaanku dan penghilang kesusahanku"

(Dipetik drpd.: doaharian.blogspot.com)



2 Ogos 2010

Jitra-Bangi...Rutin Mingguan

Hari ini seharian di dalam bas. Balik ke tempat menimba secebis ilmu duniawi, dengan harapan ianya mendapat redha Illahi.
Alhamdulillah, hingga ke saat ini, perjalanan dalam keadaan selesa dan selamat atas kehendak-Nya jua. Mujur juga coverage hampir sepanjang perjalanan memuaskan dan boleh akses kepada talian internet untuk berkomunikasi.
Ini adalah rutin mingguan baruku yang hampir sebulan. Jitra-Bangi-Jitra. Saban minggu aku akan berulang-alik demi tanggungjawab terhadap pengajian yang sedang aku ikuti sekarang;dan demi tanggungjawab terhadap keluarga. Dua-duanya penting bagi diriku. Semoga Allah permudahkan urusanku. Hanya dengan izin-Nya sahaja aku berdaya melakukan semua ini.
Kesibukan semenjak bergelar pelajar buat kali ke sekian ini memang tidak dapat dinafikan. Terpaksa mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan alam baru yang aku tempuhi sekarang. Agak berbeza daripada 10 tahun yang lalu ketika baru pertama kali menjejakkan kaki ke menara gading (orang kata...). Inilah dunia, berubah...dan terus berubah...Walaubagaimanapun, ini semua bukan alasan untuk terus berjuang. Ramai lagi di luar sana yang terpaksa mengharungi pelbagai ranjau yang lebih mencabar...
Apapun, semoga perjuangan ini dapat diteruskan hingga mencapai cita-cita....doakanku...
Catatan: Buat masa ini etika-Express baharu sahaja melewati persimpangan Bukit Tagar/Batang Berjuntai...InsyaAllah sampai menjelang maghrib...

1 Ogos 2010

Peribadi Pemimpin: Kisah Saidina Umar Al-Khatab r.a

Dari jauh, sayup-sayup kelihatan dua orang manusia sedang bergilir-gilir menunggang seekor unta di tengah-tengah padang pasir yang sangat luas. Arah yang dituju ialah sebuah kota yang baru sahaja dibuka oleh tentera Islam. Pada masa yang sama, di pintu gerbang kota, ribuan manusia sedang menunggu kedatangan seorang pemimpin yang amat disegani. Pada mereka yang belum pernah melihatnya, yang terbayang adalah kedatangan seorang pemimpin dengan bala tentera yang tidak terkira banyaknya. Sebahagian yang lain pula cuba membayangkan kedatangan seorang raja dengan segala kemewahannya. Setiap orang mempunyai andaian yang pelbagai.
Tiba-tiba seorang pemuda berteriak memberitahu ketibaan dua orang lelaki dengan seekor unta. Setiap orang tertanya-tanya: “Siapakan gerangannya, ke manakah tujuannya?”. Semakin hampir, semakin jelas bahawa yang datang itu merupakan orang yang ditunggu-tunggu. Sebahagian orang yang pernah melihatnya berteriak: “Amir al-Mukminin telah tiba”. Mereka yang tidak pernah melihatnya terpinga-pinga. Terbukti, anggapan mereka tentang pemimpin ini jauh meleset. Dengan hanya menaiki seekor unta, berpakaian dengan pakaian yang amat sederhana dengan ditemani oleh seorang lelaki yang kemudiannya diketahui adalah hamba, inilah rupa-rupanya pemimpin yang amat disegani rakan dan digeruni lawan.
Lalu bersegeralah manusia mengerumuni lelaki yang berada di atas unta. Sekali lagi, anggapan mereka meleset juga. Lelaki yang berada di atas unta rupanya adalah seorang hamba, manakala lelaki yang sedang berjalan dan memegang tali unta, itulah pemimpin agung, Amir al-Mukminin Umar al-Khaththab radhiallahu 'anh. Keinsafan kemudiannya menyelubungi mereka apabila mendengar penjelasan si hamba:
Sejak keluar dari kota Madinah, kami bergilir-gilir menaiki unta ini dan apabila hampir sampai ke sini, giliran hamba pula untuk naik dan giliran Amir al-Mukminin untuk berjalan kaki. Walaupun hamba berusaha memberitahu baginda, tidak mengapa untuk baginda terus menaiki unta, namun baginda tetap berdegil untuk mengikut giliran yang sepatutnya. Hamba cuba memberi alasan bahawa adalah lebih mulia dan dipandang tinggi oleh para penduduk kota Baitul Maqdis jika sekiranya khalifah menunggang unta ketika memasuki kota. Namun Amir al-Mukminin telah memberikan pengajaran yang berharga kepada saya dengan berkata:

“Kita adalah suatu kaum yang telah dimuliakan oleh Allah dengan Islam. Jika sekiranya kita mencari kemuliaan (dan ketinggian di sisi manusia) selain daripada Islam, maka kita akan dihinakan oleh Allah.”

Demikianlah kebenarannya, bilamana kita sebagai individu muslim mula meninggalkan Islam dan mencari kemuliaan-kemuliaan lain, maka apa peliknya Allah Subhanahu wa Ta'ala menghinakan kita sebagaimana yang berlaku pada ketika ini.

Perjalanan Seorang Muslim


Satu ketika dalam perjalanan, Rasullulah shallallahu 'alaihi wasallam bersama sahabat baginda berhenti di bawah sebatang pokok. Dalam perteduhan tersebut, baginda memberi perumpamaan bahawa bandingan di antara manusia dan dunia adalah seolah seorang musafir yang berjalan di padang pasir dan dalam perjalanannya dia melalui sebatang pokok. Oleh kerana terlalu letih dia berhenti di bawah pokok tersebut untuk berteduh. Bila cukup sudah rehatnya, dia meneruskan perjalanan menuju ke tempat yang hendak dia tujui.

Baginda menyambung dengan mengatakan bahawa inilah gambaran perjalanan seorang manusia di dunia. Manusia dilahirkan ke dunia ini dari perut ibunya dan dia hidup hanya untuk sementara waktu. Sama ada dia suka atau tidak dia pasti akan menemui mati. Ini sebagaimana seorang musafir yang berteduh di bawah sebatang pokok yang akan meneruskan perjalanannya kerana tempat perteduhan itu bukanlah destinasi utamanya. Destinasi utama masih jauh. Sama ada dia suka ataupun tidak, dia perlu meneruskan perjalanan sehinggalah sampai ke destinasi utamanya.

Menyedari bahawa hidup kita di dunia ini hanya untuk sementara waktu, manusia memerlukan petunjuk yang boleh membimbingnya ke jalan yang boleh membawa kepada destinasi terakhir yang baik (husnul khatimah).

Ini kerana, seorang manusia yang datang ke bumi Allah, kalau sekiranya dia bukan seorang Islam, dia akan mencari petunjuk-petunjuk yang lain yang berlandaskan hawa nafsu dan tarikan syaitan. Tetapi bila mana seseorang itu dilahirkan sebagai seorang Muslim, dia mempunyai petunjuk yang akan membawa dirinya ke jalan yang lurus dan destinasi yang sebenar. Bagi insan seperti saya, yang mana dilahirkan dalam keluarga bukan Islam, hanya mengharapkan doa-doa kaum muslimin agar orang-orang yang belum Islam diberikan hidayah daripada-Nya. Beruntunglah kalian yang dilahirkan ke dunia dan terus menikmati label Islam, tidak banyak ranjau yang perlu ditempuhi. bagi yang lahir daripada keluarga belum Islam, bukan satu yang mudah untuk diketemukan dengan sinar hidayah. Syukurilah...

Persepsi ini akan membawakan kita kepada satu sahaja petunjuk kepada individu Muslim yakni al-Quran dan as-Sunnah kerana terbukti dengan keimanan dan realiti bahawa hanya petunjuk ini yang mampu memimpin diri kita.

Mengimani perkara ini, seseorang individu yang mengaku dirinya muslim tidak dapat lari daripada hakikat petunjuk ini. Namun begitu, terdapat juga umat Islam yang mengaku dirinya dipandu oleh al-Quran dan as-Sunnah tetapi hakikat sebenarnya al-Quran dan as-Sunnahlah yang dipandu oleh nafsunya.

Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata. [Al-Baqarah: Ayat 208]