"Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayat petunjuk kepadanya nescaya Dia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Dia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah dia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman." [Al-Anaam: Ayat 125]
Alhamdulillah...keberkatan di bulan yang penuh mulia ini, seorang lagi insan terpilih untuk menikmati hidup sebagai seorang Islam. Selesai sahaja menyempurnakan solat zohor di Masjid UKM tengah hari tadi, pegawai masjid mengumumkan bahawa ada seorang hamba Allah menyatakan niatnya untuk memeluk agama Islam. Alhamdulillah...itu perkataan pertama yang terungkap di hati.
Insan bertuah yang dimaksudkan adalah seorang berketurunan cina (berbaju merah hati) yang saya fikir usianya sekitar 70-an. Beliau tertarik dengan Islam ni dek kerana sering memerhatikan gaya hidup umat Islam lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan ini. Setelah sekian lama membuat pemerhatian akhirnya hari ini beliau membulatkan tekad untuk bersama-sama kita dalam Islam.
Sama-samalah kita mendoakan agar beliau teguh dan kuat dalam menempuh kehidupan baharu sebagai seorang Muslim. Semoga beliau terus diberikan petunjuk dan hidayah serta dimudahkan segala urusan, seterusnya menjadi Mukmin yang takwa. InsyaAllah...
"...Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya." [Ali Imraan: Ayat 8]