Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah islam dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya. [Surah Ali Imraan: Ayat19]

Rakan Iban Muslim

5 Jun 2010

Rachel Corrie Dirampas Oleh Pasukan Pertahanan Israel



KUALA LUMPUR, 5 Jun (Bernama) -- MV Rachel Corrie, kapal terakhir yang membawa bantuan kemanusiaan ke kawasan Gaza yang dikepong Israel, bersama sekumpulan aktivis damai termasuk enam dari Malaysia, telah dirampas oleh Pasukan Pertahanan Israel pada kira-kira 2.45 petang (waktu Malaysia) hari Sabtu, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.
Menurut jurucakap Wisma Putra, kapal itu sedang diiring ke pelabuhan Ashdod di Israel.
Sembilan belas aktivis yang berada dalam kapal itu dilaporkan tidak diapa-apakan, kata jurucakap itu. Dalam kenyataan di sini, Anifah berkata Malaysia mendesak Israel agar menentukan keselamatan kesemua sukarelawan di kapal berkenaan.
"Malaysia juga menuntut Israel tidak mengambil sebarang tindakan tentera yang drastik dan ganas terhadap penumpang Rachel Corrie yang tidak bersenjata itu," katanya.
Anifah berkata kesemua aktivis dalam kapal Rachel Corrie perlu diberi bantuan bagi menjamin keselamatan mereka. Anifah berkata Wisma Putra memantau secara dekat perkembangan oleh kerana adanya enam rakyat Malaysia di kapal berkenaan.
Misi bantuan Gaza itu ditaja oleh Perdana Global Peace Organisation (PGPO), sebuah organisasi bukan kerajaan Malaysia.
Kapal itu dinamakan Rachel Corrie sempena nama seorang wanita Amerika yang terbunuh oleh sebuah jentolak tentera Israel di Semenanjung Gaza pada 2003, ketika memprotes tindakan meroboh sebuah rumah.
Anifah berkata Malaysia turut menggesa Israel menentukan laluan selamat kapal itu ke Gaza untuk menyerahkan kargo bantuan kemanusiaan itu.Dalam hubungan ini, Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa agar turut meminta Israel memberi jaminan demikian.
-- Sumber: BERNAMA