Sesungguhnya hanya iblis dan syaitan yang memusuhi dan dimusuhi oleh makhluk bergelar manusia. Kita yang dikategorikan oleh Allah sebagai manusia sewajarnya memiliki perasaan kasih sayang dan lemah lembut di antara satu sama lain. Hatta kita disakiti. Sudah pastilah sifat sabar sebagai seorang manusia amat diperlukan semasa berhadapan dengan pelbagai kerenah dan mehnah makhluk bernama manusia.
Permusuhan yang wujud sesama manusia sejak berkurun lama merupakan salah satu daripada jutaan ujian yang Allah Taala turunkan kepada manusia agar dapat dinilai tahap kesabaran. Sabar berkait rapat dengan iman. Sehinggakan kita sering berkata bahawa sabar itu separuh daripada iman. Kurang sabar, terjejas markah iman kita. Sekiranya tidak sabar langsung, bermasalah iman kita. Ini yang boleh menyebabkan manusia hilang pertimbangan diri dalam menangani rencah kehidupan manusia yang berbagai-bagai.
Al-Miqdad bin Amru al-Kindi, salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w. yang ikut serta dalam peperangan Badar telah meriwayatkan bahawa beliau telah memberitahu Rasulullah s.a.w.;
“ Wahai Rasulullah s.a.w.! Hamba telah bertembung dengan seorang kafir lalu hamba pun bertempur. Tiba-tiba dia sempat menetak sebelah tangan hamba lalu putuslah tangan hamba itu. Kemudian si kafir itu menyelamatkan dirinya di sebalik sebatang pokok sambil berkata: Aku masuk Islam kerana Allah SWT. Adakah boleh hamba membunuhnya setelah dia berkata demikian?"
Maka Rasulullah s.a.w. menjawab: “Jangan kamu bunuh dia”.
Al-Miqdad pun bertanya lagi: "Ya Rasulullah, dia menetak putus sebelah tangan hamba kemudian baru dia mengaku masuk Islam. Bolehkah hamba membunuhnya?"
Rasulullah s.a.w. pun menjawab: “ Jangan kamu bunuh sebab kalau kamu bunuh dia maka taraf dia sama dengan taraf kamu sebelum kamu cuba membunuhnya tadi dan kamu pula mendapat taraf yang sama dengan dia sebelum dia mengucap dua kalimah syahadah itu."
(Al-Bukhari, Juz IX, halaman 3-4)
Berkisarkan hadis di atas, jelas sekali pertimbangan wajar perlu kita lakukan setiap masa agar Islam dapat berkembang dengan lebih rancak dan dapat menarik manusia yang belum Islam ke dalam kelompok orang beriman. Kalaulah nabi membenci kaum musyrik, sudah pastilah Islam tidak akan berkembang seperti yang kita kecapi pada hari ini.
Rentetan itu, kita sebagai umat akhir zaman yang semakin merudum prestasi keimanan, perlu sedaya upaya berusaha bersatu padu meningkatkan keimanan kita, ahli keluarga serta masyarakat sekeliling agar Islam terus dikecapi generasi seterusnya. Perbetulkan akidah pegangan kita agar tidak lari daripada tuntutan al-Quran dan as-sunnah.
Berkeluarga perlulah cara Islam. Menuntut ilmu perlu cara Islam. Bersahabat, perlu ikut cara Islam. Bernegara juga perlu ikut cara Islam. Selain daripada cara Islam, kita tergolong daripada golongan yang mengikut hawa nafsu.