Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah islam dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya. [Surah Ali Imraan: Ayat19]

Rakan Iban Muslim

10 Mei 2009

Hukuman Rotan Di Sekolah Dikembalikan







Kerajaan Malaysia melalui kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran menyarankan agar hukuman rotan di sekolah-sekolah dikembalikan semula (baca di sini).




Menurut Dr. Mohd. Puad Zarkashi, hukuman tersebut penting untuk digunapakai pada masa ini memandangkan pelbagai masalah disiplin yang berlaku di sekolah. Namun demikian, sekiranya hukuman tersebut diluluskan untuk pelaksanaannya nanti, beliau mengharapkan guru-guru tidak menyalahgunakan hukuman tersebut bagi mengelakkan tindakan saman dan sebagainya dari pihak ibu bapa atau waris pelajar.




Apabila terkenangkan alam persekolahan di sekitar 80-an dulu, sebagai seorang pelajar, kita seboleh-bolehnya mengelakkan diri daripada dirotan kerana murid yang kerap kena rotan adalah kategori murid nakal dan bermasalah. Dalam pada berjaga-jaga tersebut, terkena juga sekali sepanjang persekolahan. Semasa Darjah Satu. Kawan-kawan di dalam kelas buat bising, tiba-tiba muncul Cikgu/Guru Besar di depan pintu dengan rotan yang lebih sedepa panjangnya. Semua diminta untuk menghulurkan tangan tanpa pengecualian untuk dirotan. 'Bebirat' sepanjang lengan. Azab...




Balik ke rumah, punyalah sembunyi tangan yang kena rotan. Mana tidaknya... Kalau abah tahu, abis..ditambah lagi ada...




Daripada contoh pengalaman yang sedikit di atas, zaman persekolahan dulu amat berbeza dengan hari ini. Ibubapa redha dengan setiap tindakan yang dibuat oleh guru kerana itu adalah satu proses pendidikan yang berkesan. Rotan adalah kawalan. Malah ada ibubapa yang menghadiahkan rotan kepada cikgu untuk merotan anaknya jika nakal di sekolah.




Waktu begitu cepat berlalu. Mentaliti ibubapa yang lebih memihak kepada anak-anak yang bermasalah menjadi punca yang utama kepada masalah disiplin pelajar. Cikgu menjadi endah tak endah dalam mendidik di sekolah.




"Kalau aku pukul, mak bapak engkau boleh jadi salahkan aku, lebih teruk saman aku... lantak engkaulah nak jadi apa..."




Jika ayat di atas sudah terbentuk di dalam diri seorang pendidik, maka hancurlah usaha membentuk dan mengawal disiplin pelajar di sekolah. Murid sewenangnya melakukan apa sahaja tanpa tindakan sewajarnya kerana mereka tahu, di belakang mereka ibu dan bapa ada 'back-up'.




Sama-samalah kita renung situasi yang berlaku. Semua pihak perlu memberi kepercayaan kepada para guru dalam membentuk disiplin yang baik di kalangan pelajar. Jika tidak boleh memberi kerjasama kepada para guru dan ada niat untuk menyaman para guru...ajarlah dan didiklah anak anda sendiri. Usah hantar ke sekolah. Kerana andalah yang merosakkan anak anda sendiri...