Tanpa kita sedari, kadang-kadang tindak-tanduk kita menggambarkan diri kita sebagai seseorang yang bersifat riak, ujub, sombong. Sifat ini sememangnya amat dilarang oleh Islam. Ini adalah kerana sifat ini boleh membuatkan manusia lupa diri.
Di antara punca sifat-sifat tersebut terbit di dalam diri seseorang manusia adalah kerana kelebihan yang ada padanya. Sebagai contoh; memiliki kepetahan berhujah atau berucap, memiliki suara yang merdu, mempunyai harta kekayaan yang melimpah-limpah, memiliki kereta hebat, memiliki isteri/suami yang segak/cantik, memiliki rumah yang besar, memegang tampuk kekuasaan/kerajaan, dan pelbagai macam lagi kehebatan-kehebatan duniawi.
Di sebalik kehebatan-kehebatan tersebut, manusia seolah-olah bertambah sombong sehinggakan lupa bahawa setiap yang dimilikinya itu adalah datangnya daripada kurniaan Allah yakni Tuan Empunya Dunia. Nikmat-nikmat tersebut adalah satu ujian buat manusia sepanjang meniti sebuah perjalanan kehidupan yang sementara di muka bumi ini.
Apabila difikirkan dengan lebih mendalam, baharulah kita tersedar bahawa itu semua tidak lebih daripada pinjaman sementara yang diberikan oleh Allah melalui jutaan khazanah yang tidak bisa untuk kita singkap satu persatu.
Apa yang ada pada kita? Tiada. Kita makhluk yang daif. Sekiranya bekalan udara yang sentiasa mengalir secara percuma ini dihentikan perkhidmatannya oleh Allah, maka sedarlah kita bahawa kita adalah insan yang lemah.
Oleh yang demikian, setiap langkah yang kita atur di atas muka bumi Allah ini perlulah dibuat semakan dari semasa ke semasa agar sifat-sifat sombong mahupun riak tidak terpapar pada karektor kita sebagai seorang hamba kepada Yang Maha Pencipta.
Dengan yang demikian, mudah-mudahan senarai semak yang kita buat terhadap diri kita tersebut dapat menjadi penawar kepada penyakit sombong, riak, mahupun ujub yang jika kita perhatikan pada hari ini, ianya umpama satu virus yang terus menyerang makhluk bernama manusia.