Isunya, membacakan ayat al-Quran atau membacakan terjemahan al-Quran oleh ORANG BELUM ISLAM.
Sehari dua ini panas juga isu ini. Dipanaskan lagi oleh kerana kempen parti-parti politik. Secara amnya, al-Quran ini diturunkan untuk menjadi panduan kehidupan oleh seluruh umat manusia tanpa mengira bangsa dan warna kulit. Kitab suci ini diturunkan bukan untuk bangsa Arab sahaja walaupun Nabi junjungan kita yang tercinta Muhammad s.a.w yang menyampaikannya setelah menerimanya daripada Allah melalui perantara Malaikat Jibril adalah daripada bangsa Arab. Itu jelas. Ini konteks yang menyeluruh.
Dalam konteks negara kita, menjadi kelaziman turun temurun bahawa bangsa Melayu adalah Islam dan Islam sinonim dengan bangsa Melayu. Tetapi ingat! Hari ini, bukan semua Melayu itu Islam. Tetapi, majoritinya Islam. Itu kita kena faham. Hakikat perkara tersebut kita kena terima.
Malah, mentaliti Orang Belum Islam di negara ini sudah lama tertanam dengam kenyataan ini, "memeluk atau menganuti agama Islam dikatakan Masuk Melayu". Kenapa? Mentaliti ini juga perlu diubah. Bangsa dan Agama dua perkara yang jauh berbeza. Bagai langit dengan bumi. Kita ambil contoh di negara China. Rakyatnya yang beragama Islam melebihi jumlah penduduk Malaysia secara keseluruhannya. Dan sekiranya kita pergi berjumpa dengan komuniti Islam di sana, kita akan disebut oleh mereka sebagai mualaf. Kenapa? Sebab persekitaran di satu-satu tempat.
Maka, sebagai satu usaha mendekatkan Orang Belum Islam ini kepada Islam atau dengan kata lain kita sebut sebagai satu usaha dakwah, apalah salahnya kita tidak terlalu eksrim dengan isu Orang Belum Islam ini membacakan terjemahan al-Quran dan sebagainya. Mereka cuma membacakan terjemahan sahaja, bukan mentafsirkannya. Juga, dua perkara yang amat berbeza. Itupun kita kena faham. Usahlah kita cuba untuk memonopoli Islam itu sendiri. Kita kena berkongsi keindahan Islam termasuk apa yang terkandung di dalam kitab suci yakni al-Quran itu sendiri. Sekiranya kita awal-awal lagi sudah begitu berkeras dengan perkara yang sebegini, adalah menjadi satu tugas sukar kepada usaha dakwah yang bukan semua orang boleh lakukan pada zaman ini. Jangan kita menjadikannya sebagai batu penghalang kepada dakwah tersebut.
Kita sebagai seorang Muslim sepatutnya berasa malu kepada Orang Belum Islam yang merujuk al-Quran dalam satu-satu tindakan yang mereka buat. Kita yang muslim ini pun jarang-jarang, kadang-kadang, atau tidak pernah langsung melihat al-quran dalam setiap tindak tanduk yang kita lakukan. Apatah lagi dalam konsep bernegara. Sedarlah wahai saudaraku muslimin dan muslimat sekalian. Apa usaha dakwah yang telah kita buat kepada saudara-saudara kita yang belum Islam itu. Semuanya itu bakal disoal kepada kita di hari akhirat nanti. Malah, Orang Belum Islam itu bisa sahaja akan menyalahkan kita kerana kita tidak pernah bercerita tentang Islam kepada mereka, malah menyulitkan usaha mereka untuk mendekati Islam.
Usahlah kita bercerita terhadap usaha dakwah kepada Orang Belum Islam tersebut. Memadailah kita lihat orang yang sejak azali ataupun yang sedia lahir dalam Islam itu sendiri. Adakah sempurna segala amalan yang dikerjakan mengikut acuan Islam? Pernah atau tidak kita menegur muda mudi kita yang berpeleseran di sana-sini tanpa segan silu melakukan maksiat tanpa tindakan yang dilakukan. Apa usaha yang telah dibuat oleh pihak berkuasa di dalam negara? Mengapa muda-mudi jadi begitu? Jawapannya mudah. Sekiranya aktiviti yang dianjurkan untuk mereka ke arah maksiat, maka mereka cenderung ke arah tersebut. Jika rancangan televisyen yang dihidangkan menghala kepada maksiat, maka maksiat juga ikutan yang mereka ikut. Siapa yang bersalah? Tuan-tuan sendiri boleh menjawab persoalan tersebut.
Secara tegas saya katakan di sini bahawa isu laporan polis yang dibuat dua tiga hari yang lepas adalah semata-mata atas kepentingan POLITIK pihak tersebut sahaja. Mana cemarnya? Bukan dia pijak al-Quran, bukannya dia memaki hamun hukum al-Quran... Sepatutnya, umat Islam yang tidak memakai tudung itu lebih patut dilaporkan kepada polis kerana menghina al Quran. Di dalam al-Quran jelas menguatkuasakan perintah menutup aurat. Oleh yang demikian, sebarang pelanggaran hukum yang terdapat di dalam al-Quran adalah bersamaan dengan menghina al-Quran. Laporkanlah. Kenapa Tidak? Itupun, tuan-tuan ada jawapannya.
Maka, di akhir tulisan ini, saya ingin menyeru bijak pandai yang arif lagi tahu supaya perkara yang remeh dan berkepentingan sebegini tidak perlu timbul dalam masyarakat kita pada hari ini. Ini semua merupakan satu usaha yang menjauhkan Orang Belum Islam itu sendiri daripada Islam. Dan...Ingat! Orang Belum Islam itu pada bila-bila masa akan mendapat hidayah dari Tuan Punya Agama yakni Allah. Sebaik sahaja dia memeluk Islam, mungkin dia lebih baik dari kita! Fikir-fikirkanlah, jangan hanya menuduh di sana-sini dan jangan asyik buang masa membuat laporan polis!
Oleh: Saudarabaharu