Selamat Menyambut Ramadhan al-Mubarak buat semua. Beberapa detik sahaja lagi kita bakal melangkah ke hari baru dan bulan baru, dan sebaik sahaja selesai solat Isya' pada malam nanti seluruh umat Islam akan berbondong-bondong mengerjakan solat sunat Terawih di masjid-masjid atau surau-surau atau di mana sahaja.
Sesuatu yang bakal mengkagumkan kita sebagai muslim apabila tibanya bulan yang mulia ini di mana muslimin muslimat, kecil besar, tua muda semuanya berlumba-lumba mencari pahala besar yang dijanjikan oleh Allah sempena bulan ibadat ini. Namun, terdapat juga segelintir manusia yang tetap seperti dahulu, Ramadhan tidak membawa sebarang erti bagi dirinya dan menganggap Ramadhan seperti bulan-bulan lain. Sesungguhnya golongan ini adalah golongan yang rugi. Semoga kita semua dijauhkan dari golongan seperti itu dan semoga kita semua diberi hidayah petunjuk oleh Allah Taala.
Permulaannya rahmat, pertengahannya keampunan, dan penghujungnya pembebasan dari api neraka. Itulah istimewanya Ramadhan.
Seharusnya, dengan bonus usia yang dikurniakan oleh Allah kepada kita dapat dimanfaatkan sebaiknya agar kita tidak terlepas daripada pahala berlipat ganda yang bakal kita tuai di hari akhirat kelak.
Sedaya upaya mungkin, sama-sama kita cuba untuk mengkhatamkan bacaan al-Quran sempena bulan turunnya al-Quran ini. Kita berharap agar Ramadhan yang datang kepada kita mampu memberi impak yang positif kepada kita sehingga bulan ini mampu memadamkan dosa-dosa lalu yang kita lakukan. Umpama makbulnya doa Nabi Yusuf a.s putera Nabi Allah Yakub a.s terhadap kesilapan yang dilakukan oleh 11 adik beradiknya yang lain.
Menunaikan amalan sunat di bulan Ramadhan juga diberikan ganjaran mengerjakan sebagaimana mengerjakan pahala fardhu, manakala mengerjakan amalan yang fardhu kita diberikan pahala sebanyak 70 kali ganda. Begitu istimewanya bulan ini kepada kita selaku umat Islam. Pintu sudah dibuka, terpulanglah kepada kita ingin memasukinya ataupun tidak.
Semoga kita semua melangkahkan kaki kita dengan penuh bersemangat di bulan Ramadhan ini agar kita dapat mendapat saham akhirat yang tidak ternilai harganya.
SELAMAT BERPUASA DAN BERIBADAT kepada muslimin dan muslimat sekalian.
21 Ogos 2009
Selamat Menyambut Ramadhan 1430H
Labels: Catatan Iban Muslim, Iban Muslim
Catatan IBAN MUSLIM pada 8/21/2009 05:51:00 PTG