Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah islam dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya. [Surah Ali Imraan: Ayat19]

Rakan Iban Muslim

25 Ogos 2009

Istimewanya Puasa Dalam Islam

Bulan Ramadhan adalah bulan yang sangat tinggi darjat dan besar martabatnya di sisi Allah s.w.t. dan RasulNya, ia juga penghulu segala bulan.

Di antara kelebihan dan keistimewaan bulan Ramadhan itu Allah s.w.t telah menurunkan kitab suciNya (Al-Quran) yang menjadi petunjuk pada manusia. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

"(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan kitab sucinya (Al-Quran) yang menjadi petunjuk bagi sekelian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan yang benar dengan yang salah." Surah Al-Baqarah : 185.

Di pilih di antara malam-malam bulan Ramadhan itu suatu malam Lailatulqadar yang mana ia jauh lebih baik daripada seribu bulan. Seribu bulan itu kira-kira 83 tahun. Menurut ulama Lailatulqadar itu jatuh pada salah satu malam sepuluh yang terakhir daripada bulan Ramadhan.

Sayugia diingatkan bahawa jangan disia-siakan malam-malam di bulan Ramadhan dengan perkara-perkara tidak berfaedah, bahkan hendaklah diisi dengan amal ibadat sebagai saham dan bekalan di dunia dan akhirat.

"Sesiapa berbuka satu hari pada bulan Ramadhan tanpa ada rukhshah (keringanan) dan tidak juga kerana sakit, dia tidak akan dapat melunas (mengganti) puasa yang ditinggalkannya itu, sekalipun dia berpuasa seumur hidup."[Hadis riwayat Tirmidzi, Abu Daud, Nasa'i, Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah]

Berikut disenaraikan beberapa keistimewaan puasa di dalam Islam;

  • Imam Ahmad dan Muhammad bin Nasar al- Baihaqi meriwayatkan daripada Abi Hurairah sabda Nabi s.a.w, “Dikurniakan kepada umatku pada bulan Ramadan lima kelebihan yang tidak dikurniakan mana-mana umat sebelum mereka : bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah dari bau kasturi, malaikat berdoa diampunkan mereka sehingga berbuka, Allah hiasi setiap hari syurganya, kemudian berfirman hampir-hampirlah hamba-Ku yang soleh yang merasai kesukaran tetapi terus menuju kepadamu, diikat padanya syaitan dan diampun bagi mereka pada akhir malam”.
  • Imam Bukhari, Muslim dan Ahmad meriwayatkan hadis daripada Sahal bin Sa’d. Sabda Rasulullah s.a.w: “Sesunggunya dalam syurga terdapat satu pintu yang dikenali dengan ar-Raiyyan di mana yang berhak memasukinya hanya orang yang berpuasa. Apabila selesai masuk nescaya ditutupnya”.
  • Mengikut riwayat an-Nasai sama seperti di atas kecuali ditambah sabda Nabi: Sesiapa yang masuk di dalamnya nescaya dapat meminum siapa yang minum nescaya tidak dahaga selama-lamanya.
  • Mengikut riwayat Imam Ahmad dan an-Nasai daripada Abi Hurairah r.a sabda Rasulullah s.a.w: “Puasa merupakan perisai”. Dan daripada Usman bin Abi al-As, “Puasa merupakan perisai daripada neraka seperti perisai seseorang daripada kamu pada masa peperangan selama mana ia tidak mengoyaknya dengan berdusta atau mengumpat”.
  • Al-Baihaqi meriwayatkan daripada Usman bin Abi al-As, puasa merupakan perisai daripada azab Allah.
  • Imam Ahmad, Muslim dan an-Nasai meriwayatkan daripada Abi Hurairah dan Abi Sa’id Sesungguhnya Allah berfirman: Sesungguhnya puasa bagiku dan Aku yang membalasnya dan sesungguhnya bagi orang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan apabila ia berbuka nescaya bergembira dan apabila bertemu Allah nescaya ia gembira. Demi jiwa Muhammad ditangan-Nya bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi.
  • Ibn Majah dan al-Hakim meriwayatkan daripada Ibn Umar bahawa Nabi s.a.w bersabda: “Sesungguhnya orang yang berpuasa ketika berbuka mempunyai doa yang tidak ditolak”.
  • Al-Dailami meriwayatkan daripada Ibn Umar katanya: “Diam orang puasa merupakan tasbih, tidurnya adalah ibadat, doanya mustajab dan amalannya digandakan”.
  • Ibn Majah meriwayatkan daripada Ibn Jabir, Ahmad, at-Tabarani dan al- Baihaqi daripada Abi Umamah bahawa Nabi bersabda: “Sesungguhnya bagi Allah ketika berbuka puasa mempunyai mereka yang dibebaskan daripada neraka yang demikian itu pada setiap malam”.
  • Al-Baihaqi meriwayatkan daripada Abi Hurairah bahawa Nabi s.a.w bersabda: “Puasa merupakan separuh kesabaran dan atas tiap sesuatu mempunyai zakat dan zakat bagi tubuh badan adalah puasa”.
  • Imam Ahmad, al-Tirmidzi dan al-Baihaqi meriwayatkan daripada Ummi Imarah: “Sesungguhnya orang yang berpuasa apabila makan sentiasalah malaikat berselawat keatasnya sehingga selesai makanannya”.

Sama-samalah kita meneruskan ibadat puasa wajib di bulan Ramadhan yang mulia ini. Semoga puasa kita dan ibadat kita diterima oleh Allah dan terhindar daripada golongan yang hanya mendapat lapar dan dahaga semata-mata.