Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah islam dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya. [Surah Ali Imraan: Ayat19]

Rakan Iban Muslim

25 Ogos 2009

PRK Permatang Pasir membuka gelanggang

Pusat-pusat pengundian sudah mula dibuka pagi ini bagi memberi ruang dan peluang kepada seluruh pemilih yang berkelayakan di N11 DUN Permatang Pasir. Semoga keseluruhan proses pengundian berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini. Almaklumlah, akhir-akhir ini demi kuasa manusia sanggup melakukan apa saja tanpa mengira bancian yang bakal dibuat oleh Allah di hari akhir kelak.

Dengan izin Allah, menjelang lewat petang ini kita bakal menyaksikan keputusan pilihan rakyat di DUN berkenaan. Penggal ini sahaja tercatat sejarah yang tersendiri berkaitan kekerapan berlakunya Pilihanraya Kecil (PRK) atas sebab yang pelbagai. Bagi PRK kali ke-8 ini kita bakal menyaksikan keputusan sama ada kedudukan menjadi 7-1 atau 6-2. Sama-samalah kita menanti dengan sabar.

Bagi ingatan kita semua, setiap kerja buat kita di dunia ini merupakan ujian dan bakal dihitung satu persatu tanpa terlepas walau sebesar zarah sekalipun. Maka, setiap keputusan dan pilihan yang kita buat di dalam kerja buat seharian kita perlulah menepati standard mahupun piawai yang telah ditetapkan oleh Tuan Punya Dunia ini.

Memilih jalan yang selain daripada 'dasar' Allah, maka kita akan tergolong daripada golongan yang ingkar. Dan, memilih jalan yang selari dengan 'dasar' Allah, InsyaAllah laju sepantas kilat perjalanan kita di titi sirat.

Tepuk dada tanya iman! Janganlah kita membuat keputusan yang silap di dunia hinggakan kita menyesal tak berkesudahan di akhirat kelak. Benar! Kesudahan kita cuma ada dua sahaja. Sama ada SYURGA atau NERAKA. Jika inginkan syurga, maka kita perlu berakhlak seperti ahli syurga, dan jika inginkan sebaliknya, maka buatlah semahu-mahu nafsu!

Wallahu'alam.

Wassalam.