Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah islam dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya. [Surah Ali Imraan: Ayat19]

Rakan Iban Muslim

2 Ogos 2009

MB Selangor wajibkan pemaju tunjuk arah kiblat

Menteri besar Selangor hari ini (1 Ogos) mencadangkan agar pihak berkuasa tempatan (PBT) di negerinya memastikan pemaju menetapkan arah kiblat sebagai syarat tambahan bagi kelulusan pelan projek. Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pemaju perlu mendapatkan maklumat awal daripada Jabatan Mufti bagi memastikan kedudukan arah kiblat di kawasan pelan projek yang dibangunkan, lapor Bernama.

"Saya berharap melalui syarat ini semua pihak akan lebih prihatin dengan kedudukan kiblat yang menjadi perkara penting dalam ibadah umat Islam," beliau dipetik berkata ketika merasmikan Konvensyen Falak Selangor 2009 kali kelima di Shah Alam.

Tambahnya, pemaju juga diminta mendirikan replika petunjuk arah kiblat di taman-taman perumahan yang baru dibuka sebagai panduan kepada penduduk setempat.Selain itu, beliau berkata petunjuk arah kiblat yang betul perlu diwujudkan di ruang solat setiap rumah, pejabat, premis perniagaan, hotel dan kawasan rehat di negeri itu.

Abdul Khalid berkata, masjid dan surau yang hendak dibina di negeri itu juga diminta mendapatkan nasihat Jabatan Mufti bagi memastikan kiblat yang betul.

"Terdapat beberapa kes yang arah kiblat di atas pelan tidak tepat dengan kedudukan sebenar di tapak pembinaan, jadi kita tidak mahu surau atau masjid yang dibina dengan nilai jutaan ringgit tetapi tidak tepat kedudukan kiblatnya," katanya. -malaysiakini/-

IM:
Satu langkah yang baik dalam usaha memudahkan umat Islam beribadah kepada Allah. Langkah ini perlu dicontohi dan dipandang serius oleh semua pemaju perumahan di seluruh negara. Malahan, pihak Majlis Daerah, Majlis Perbandaran, Dewan Bandaraya dan seumpamanya perlu memastikan setiap pembangunan sesuatu kawasan dilengkapi kemudahan ibadat umat Islam seperti surau, petunjuk arah kiblat, dan masjid.

Terdapat sesetengah bandar seperti Bandar Sri Aman, Sarawak masih tidak disediakan surau di kawasan bandar tersebut. Sesiapa yang ingin solat terpaksa pergi ke Masjid Jamek bandar berkenaan yang terletak agak jauh dari bandar. Sekurang-kurangnya Majlis Bandar berkenaan sediakan satu ruang solat di stesyen bas kerana di situ adalah tumpuan ramai.

Selain itu, pusat-pusat rekreasi di kebanyakan tempat juga jarang betul adanya surau untuk tujuan bersembahyang. Dengan adanya surau yang disediakan tersebut, mudahlah para pengunjung menunaikan tanggungjawab mereka kepada Allah s.w.t.

Semoga Malaysia yang diura-urakan sebagai negara yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi dapat melihat perkara-perkara sebegini agar keIslaman setiap penduduknya sentiasa terpelihara dengan menunaikan tanggungjawab mereka sebagai umat Islam walau di mana sahaja berada.