Sulaiman bin Mahran, seorang ulama tabi'in meriwayatkan;
Ada seseorang sedang duduk bersama Nabi Sulaiman a.s. Tiba-tiba ada tetamu masuk, lalu pandangannya terpaku kepada teman Nabi Sulaiman a.s ketika itu. Ketika tetamunya itu keluar, dia bertanya,
"Wahai Nabi Allah, siapakah orang yang datang menemuimu sebentar tadi?"
Beliau menjawab, "Dia adalah malaikat maut."
Dia berkata,"Wahai Nabi Allah, daku melihat dia terus memerhatikanku, jangan-jangan dia hendak mencabut nyawaku."
"Maka, apa rancanganmu?" Soal Nabi Sulaiman a.s
Dia menjawab, "Wahai Nabi Allah, daku mohon agar tuan sudi memerintahkan angin untuk membawaku ke pulau seberang lautan yang paling jauh."
Lalu Allah mewahyukan kepada Nabi Sulaiman a.s untuk melakukannya, lalu baginda memerintahkan angin dan angin pun membawa orang itu ke tempat yang dia kehendaki. Tidak berapa lama dia tiba di tempat yang dihajati, malaikat maut pun sampai langsung mencabut nyawanya.
Kemudian, malaikat maut kembali menemui Nabi Sulaiman a.s. Nabi Sulaiman a.s bertanya,
"Aku perhatikan kamu tadi ada di sini, memerhatikan temanku itu."
Malaikat menjawab, "Ya, aku berasa hairan terhadapnya. Mengapa ia masih bersamamu di sini? Sedangkan diperintahkan mencabut nyawanya di negeri yang jauh dari sini. Ketika aku hendak keluar dari tempatmu di sini, lalu diperintahkan kepadaku, 'Cabutlah nyawanya, kerana ia sudah berada di tempat di mana aku diperintahkan untuk mencabut nyawanya, lalu aku cabut nyawanya.'
[Al-Aqibah fi Zikril Maut, Abdul Haq al-Asyabili]
Benarlah firman Allah:
"KAtakanlah sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu."
[Surah al-Juma'ah:8]