Flu babi atau H1N1 terus meragut nyawa rakyat Malaysia. Sehingga detik ini, sudah 59 mangsa yang meninggal dunia di samping ratusan kes baru dicatatkan (baca di sini). Sebagaimana kebiasaan, pihak bertanggungjawab tidak sudah-sudah menyatakan punca kematian mangsa. Obes, asma, jantung dan sebagainya penyakit berisiko yang lain.
Sebagai rakyat Malaysia, kita sudah lali dengan alasan yang diberikan oleh pihak berkenaan. Tindakan yang betul-betul berkesan belum lagi kelihatan selain daripada pengumuman bilangan kematian, peningkatan kes, dan menyalahkan sejarah kesihatan si mangsa yang menyebabkan kematian tersebut.
Sudah kebuntuan jalan keluarkah pihak yang bertanggungjawab dalam menangani wabak ini? Seolah-olah mereka hanya menjadi pemerhati kepada kematian demi kematian, dan hanya menjadi pakar statistik dalam mengira kes yang berlaku.
Usaha yang mengingatkan orang ramai supaya kerap mencuci tangan, menggunakan penutup hidung, mengurangkan aktiviti sosial di tempat yang sesak, dan seumpamanya boleh dianggap perkara biasa dan siapa-siapa pun boleh membuat pengumuman sedemikian yang mana tidak memerlukan kepakaran pun.
Apakah kita juga terus dengan keadaan santai dan tidak sedikit pun rasa kebimbangan dengan keadaan ini. Sebagai Muslim, kita percaya bahawa wabak seperti ini adalah satu musibah dan bala yang diturunkan akibat daripada berlaku beberapa perlanggaran hukum Tuhan oleh manusia. Jalan kita adalah mengharap kasih Allah. Solat hajatt dan terus bermunajat kepada-Nya agar terhindar dari wabak dan ujian yang besar ini.
Sebagai rakyat pula, kita perlu merenung sejenak kepada apa yang berlaku di dalam negara kita dan tanyakan beberapa persoalan agar kita dapat melihat jawapan kepada turunnya wabak dan bala seperti ini. Adakah kita telah melaksanakan keseluruhan perintah Allah? Adakah berlaku perlanggaran terhadap hukum Allah dalam kehidupan seeharian? Acara/program yang dilaksanakan di dalam negara menepati kehendak hukum Allah? Adakah hukum Allah tertegak di bumi Malaysia?!
Wallahu'alam. Sesungguhnya hanya Allah yang mengetahui hikmah di sebalik setiap yang berlaku.
Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).
15 Ogos 2009
H1N1 Terus Meragut Nyawa
[Al-Baqarah: 214]
Labels: Catatan Iban Muslim
Catatan IBAN MUSLIM pada 8/15/2009 04:21:00 PTG