25 Ogos 2009
Datuk Shah Rukh Khan Sukar Berpuasa
MUMBAI: Jadual kerja yang sangat sibuk menjadi sebab beliau sukar untuk berpuasa sepanjang Ramadan.
Namun pelakon terkenal, Shah Rukh Khan berkata beliau masih berpuasa sekurang-kurangnya beberapa hari dalam bulan Ramadan.
Shah Rukh memberitahu satu agensi berita bahawa setiap tahun beliau berazam "untuk berpuasa sekurang-kurangnya tiga hingga empat hari ketika Ramadan."
Bagaimanapun, tuntutan profesionalnya menjadikannya mustahil untuk berpuasa melebihi tempoh itu. Shah Rukh atau SRK berkata beliau sering tidak berpuasa kebelakangan ini kerana mengambil ubat akibat masalah sakit belakang. – Sumber berita: Berita Harian Online
IM: 'Memang layak' Datuk ini mendapat gelaran Datuk. Pasti ada yang berkata dalam hati...memberi gelaran itu bukan hak kita, maka jangan dipertikai... Bagi ana lah, lagi layak gelaran tersebut diberi kepada seluruh tok iman dan tok bilal di seluruh negara kerana mereka tidak jemu-jemu mengajak kita kepada iman dan Islam. Hari-hari berbakti melaungkan azan, mengimarahkan surau mahupun masjid...Apa boleh buat? Dasar dunia memang begitu!
Ana teringat akan hadis ini,
"Sesiapa berbuka satu hari pada bulan Ramadhan tanpa ada rukhshah (keringanan) dan tidak juga kerana sakit, dia tidak akan dapat melunas (mengganti) puasa yang ditinggalkannya itu, sekalipun dia berpuasa seumur hidup."[Hadis riwayat Tirmidzi, Abu Daud, Nasa'i, Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah]
Tepuk dada tanya iman... Dek kerana 'tuntutan profesional', tuntutan Allah diketepikan. Yang pasti, kita semua akan kembali menemui Allah yang menjadikan kita yang kerdil ini.
Allah memberi amaran kepada kita melalui Ayat 28 Surah al-Baqarah seperti berikut;
"Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Dia menghidupkan kamu; setelah itu Dia mematikan kamu, kemudian Dia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan)".
Semoga kita semua sentiasa insaf dan bertaubat dari hari ke hari di atas setiap perlakuan dosa yang mungkin kita lakukan tanpa disengajakan atau tidak disedari. Bagi yang melakukan dosa secara terang-terangan, taubat nasuha adalah jalan yang terbaik baginya. Sesungguhnya pintu taubat itu sentiasa terbuka untuk golongan mukmin sekalian lebih-lebih lagi di bulan yang mulia ini.
Bukanlah nak fokus sangat pada Datuk Shah ni sebenarnya. Tapi, inilah iktibar kepada kita semua. Mungkin ramai yang menjadikannya idola dan meminatinya. Anak kecil 4 tahun 10 bulan boleh 'menahan lapar dan dahaga', ini orang tua ! Datuk lagi tu!
Tak mengapalah, kita tinggalkan kisah Datuk Shah, kita teruskan ibadat kita sempena Bulan Ramadhan Al Mubarak ini. Semoga amal baik kita sentiasa diterima oleh Allah dan mendapat ganjaran pahala dari-Nya. InsyaAllah.
Labels: Catatan Iban Muslim, Isu Semasa
Catatan IBAN MUSLIM pada 8/25/2009 11:05:00 PTG