Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah islam dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya. [Surah Ali Imraan: Ayat19]

Rakan Iban Muslim

4 Julai 2009

Saya Bukan Kafir!!!


petikan harian metro (klik di sini), 3 Julai 2009
MUAR: Kelunakan bilal memperdengarkan azan setiap pagi di surau berhampiran rumah selama 20 tahun membuka pintu hati seorang wanita untuk memeluk Islam.
Biarpun tidak mengetahui maksud di sebalik seruan solat itu, Lina Poh Abdullah, 62, sering bangun jam 4 pagi semata-mata untuk mendengar azan sebelum terpaut menjalani kehidupan sebagai orang Islam seperti kebanyakan penduduk di kampungnya.
Akhirnya pada 2006, dia memeluk Islam bersendirian manakala bekas suami dan empat anak masih menganut agama asal.

Bagaimanapun, dia yang baru bernikah dengan lelaki lain hampir dua bulan lalu kesal berikutan dihina, malah dituduh kafir apabila menegur perbuatan sekumpulan remaja supaya tidak melepak dan membuat bising berhampiran rumahnya.

“Saya pantang orang tuduh saya kafir sedangkan mereka tidak tahu banyak pengorbanan terpaksa dilalui orang seperti saya untuk memeluk Islam,” kata Lina yang menjadi mangsa penghinaan ‘kutu tembok’ di sini.

Menurutnya, pengalaman pahit itu bermula sejak 2007 apabila sekumpulan remaja sering mengeluarkan kata-kata yang menyentuh hatinya sebagai seorang Islam selepas tidak berpuas hati dengan tindakannya menegur tabiat buruk mereka.

Paling menyedihkan, dalam kejadian terbaru Jun lalu, beberapa remaja tergamak menyuruhnya keluar Islam.Malah, katanya, dia turut dicerca supaya tidak mengerjakan solat lima waktu selain tidak perlu berulang-alik ke masjid dan surau serta membuka tudung dipakainya sejak memeluk Islam.
“Apa salah saya sehingga sanggup menyuruh berbuat demikian serta menuduh saya kafir selain mengugut membunuh saya.“Saya menangis semalaman kerana tidak tahan diperlakukan sedemikian dan tidak lena tidur.

Saya benar-benar sedih dan kecewa...kerana terlalu sedih, saya buka tudung selama tiga hari, hujung bulan lalu.
“Saya rasa bersalah, tapi kerana terlalu sedih saya ikutkan hati, tetapi memakai semula selepas dinasihatkan seorang kenalan yang bertugas sebagai anggota polis,” kata Lina yang menjaga dua cucunya yang bukan Islam pada hari kerja, manakala hujung minggu pulang ke Pagoh untuk bersama suami.

Lebih mengecewakan, kata wanita itu, anaknya yang bukan Islam turut menjadi mangsa apabila keretanya di depan rumah pernah dicalar beberapa bulan lalu.
Apabila masalah itu diajukan kepada pemimpin masyarakat, dakwa Lina, dia diminta berpindah jika tidak boleh menerima suasana kejiranan di situ.

Katanya, dia terpaksa membuat pengorbanan besar apabila mengambil masa 20 tahun sebelum tercapai impian memeluk Islam.
“Ketika mahu memeluk Islam, anak masih kecil dan saya tidak mahu apabila mereka besar dipersalahkan kerana memaksa mereka menukar agama,” katanya.
Disebabkan bimbang keselamatannya, Lina sudah beberapa kali membuat aduan di Balai Polis Muar dan terbaru pada 22 Jun lalu.

Sementara itu, Mufti Johor, Datuk Mohd Tahrir Shamsuddin, berkata umat Islam perlu sentiasa bersangka baik dengan saudara baru bukan dengan mencaci dan menghina mereka.

Katanya, kehadiran saudara baru perlu diterima secara terbuka dengan sentiasa diberi sokongan sebaik mungkin supaya menjadi mukmin sejati.

“Jurang pemisah atau sempadan antara saudara baru dengan umat Islam asal tidak seharusnya wujud kerana dalam agama akidah yang menyatukan kita. Kehadiran mereka menambah lagi kekukuhan Islam,” katanya.
Ulasan Iban Muslim:
Inilah "outcome" sistem pendidikan yang tertanam di dalam jiwa dan akhlak segelintir remaja di luar sana. Begitu kuat perkaumannya. Dari mana sintimen ini berakar umbi?
Islam adalah agama yang paling benar bagi manusia! Maka, seluruh manusia tanpa mengira kaum dan warna kulit berhak mencari yang benar agar selamat di dunia dan akhirat pada penghakiman Allah.
Di Malaysia, ada segolongan manusia yang begitu kolot pemikirannya dengan menganggap Islam hanya untuk kaum tertentu sahaja (maaf!). Nabi s.a.w tidak pernah memberi pengkhususan bangsa tertentu untuk Islam.
Sama juga di kampung-kampung. Masuk Islam disamakan dengan Masuk Melayu! Pemikiran ini sukar untuk dipulihkan kerana semangat kebangsaan ini sudah lama dikembangkan kepada kita semua. Di bandar juga apa kurangnya!
Saya menegaskan bahawa jangan terbawa semangat perkauman (racist) di dalam Islam!
Perhatikan maksud kalam Allah ini;
Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). [Al-Hujraat:13]
Taubatlah wahai tua muda di luar sana. Sesungguhnya golongan seperti kami ini tidak ramai di Malaysia ini. Bimbinglah kami ke jalan Islam yang sebenar. Kami bersama Islam bukan untuk dicerca dan dihina. Berilah tauladan akhlak yang terbaik kepada kami agar dapat menjadi ikutan kepada kami ke arah menjadi golongan mukmin yang sebenar!