" Dari Abu Abdul Rahman, Abdullah bin Mas'ud r.a, katanya Rasulullah SAW telah menceritakan kepada kami, sedangkan baginda seorang yang benar dan dibenarkan kata-katanya, sabdanya : ' Sesungguhnya seseorang kamu dikumpulkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari berupa setitik air mani, kemudian menjadi segumpal darah selama itu pula, kemudian seketul daging seperti yang demikian itu juga, iaitu 40 hari. Kemudian diutuskan kepadanya malaikat, lalu ditiupkan roh kepadanya dan diperintahkan menulis empat pekara : rezekinya, ajalnya, amalannya, celaka dan bahagianya. Maka demi Allah yang tiada Tuhan selain daripadaNya, sesungguhnya seseorang kamu itu tetap akan beramal dengan amalan ahli syurga sehinggalah di antaranya dengan syurga itu jaraknya cuma sehasta sahaja. Tiba-tiba dia telah didahului oleh tulisannya ( suratan takdir ) sehingga dia beramal dengan amalan ahli neraka, maka masuklah ia ke dalam neraka. Dan sesungguhnya seseorang kamu tetap akan beramal dengan amalan ahli neraka sehinggalah di antara dirinya dengan neraka cuma sehasta saja. Tiba-tiba dia telah didahului oleh tulisannya sehingga dia beramal dengan amalan ahli syurga, maka akhirnya masuklah dia ke dalam syurga itu. "
Berdasarkan hadis di atas, marilah kita sama-sama membanci diri kita, di mana letaknya amalan kita. Dan, sewajarnya ucapan syukur itu adalah yang terbaik bagi diri kita kerana telah dikurniakan iman dan Islam oleh Tuan Empunya Dunia.
Dalam pada itu, janganlah kita mencerca dan menghina saudara-saudara kita di luar sana yang masih belum dicampakkan iman padanya. Mungkin esok atau mungkin juga lusa Allah akan mencampakkan iman buat mereka. Mungkin mereka lebih baik amalannya daripada kita yang telah lama menjadi ahli Islam apabila mereka menjadi ahli Islam kelak. Tugas kita adalah meneruskan usaha dakwah. Paling tidakpun sama-sama kita mendoakan agar mereka dibukakan pintu hati untuk menerima hidayah daripada Allah. InsyaAllah.
Dan...kita teruskan amalan baik kita bersama Islam. Ini adalah kerana keIslaman seseorang hamba itu dinilai dengan kesudahan hidupnya di dunia. Mati bersama iman atau sebaliknya. Usah kita terlalu berasa selesa dengan usia keIslaman kita, sebaliknya kita perlu terus membajainya agar terus subur dan menghasilkan bekalan yang mencukupi untuk kita bawa ke akhirat nanti.