Sempena Malam Isra' dan Mikraj ini, saya ingin bawakan beberapa peristiwa yang diperlihatkan kepada Nabi Muhammad S.A.W semasa Isra' dan Mikraj. Ini tidak lain dan tidak bukan, sekadar untuk mengingatkan diri saya yang lalai dalam mengharungi kehidupan sebagai seorang muslim.
1. Adanya sekelompok kaum yang menanam benih pada suatu hari, kemudian tumbuh subur dan diketamnya buahnya pada hari itu juga. Dan setiap kali habis diketam, langsung berbuah kembali, lalu diketamnya lagi. Begitulah keadaanya berulang-ulang.
Inilah gambaran bagi mereka para mujahid yang berjuang membela dan menegakkan agama Allah Ta'ala, kebaikan mereka dilipatgandakan sehingga 700 kali nilai kebajikan/pahala. Ini termasuklah mereka yang sanggup menginfakan (sedekah/derma) harta mereka untuk agama Allah yakni Islam.
2. Ada pula kaum yang kepalanya dipukul dengan batu hingga pecah dan tiap-tiap selesai dipecah kemudian tercantum kembali, lalu dipecah lagi dan tercantum kembali secara berulang-ulang dengan tiada hentinya.
Itulah gambaran manusia yang otaknya merasa keberatan untuk menunaikan solat fardhu.
3. Ada juga kaum yang hanya ada secawat kain untuk menutup alat pengeluarannya yang hadapan dan secawat kain untuk menutup alat pengeluarannya yang belakang. Mereka saling berkeliaran seperti unta dan kambing yang sedang digembalakan. yang mereka makan adalah tanaman berduri serta pahit rasanya seperti bara api neraka jahanam dan batu-batunya yang panas.
Itulah mereka yang tidak mengeluarkan zakat hartanya.
4. Kemudian, Nabi S.A.W diperlihatkan dengan kaum yang di hadapan mereka disediakan daging yang masak dan nyaman yang terletak di dalam periuk, dan ada pula daging yang mentah lagi busuk dalam periuk yang lain. Tetapi kaum itu tetap memilih daging mentah lagi busuk dan meninggalkan daging yang masak yang baik lagi nyaman tersebut.
Itulah gambaran bagi kaum lelaki yang mempunyai isteri yang halal lagi baik-baik, tetapi masih juga mendatangi wanita lain. Ia pun bermalam dengan wanita itu sampai pagi. Demikian pula wanita yang meninggalkan suaminya yang halal dan baik, lalu mendatangi lelaki hidung belang (haram). Dia pun bermalam (ditiduri) lelaki tersebut sampai pagi (zina).
5. Perjalanan Nabi S.A.W diteruskan sehinggalah berjumpa dengan sebatang kayu yang melintang di tengah jalan. Tidak sehelai kain untuk suatu benda apa pun yang melaluinya, melainkan pasti terkoyak kerananya. Maka bertanyalah Nabi Muhammad S.A.W kepada Malaikat Jibril, " Apakah gerangan ini wahai Jibril?" Jibril menjawab, " Ini adalah perumpamaan sekelompok dari umatmu yang suka duduk-duduk di jalan lalu mengadakan gangguan kepada orang yang lalu lalang."
6. Kemudian dijumpai Nabi S.A.W seorang lelaki yang mengumpul seberkas kayu dan ia sudah tidak berdaya untuk memikulnya, tetapi masih juga ditambahnya kayu-kayu lain ke atas dirinya.
Ini adalah gambaran manusia yang menanggung amanat dari manusia yang mana ia sudah tidak mampu menunaikannya, tetapi ia masih juga sanggup menanggung amanah/tanggungjawab/tugas tersebut.
7. Ada pula kaum yang digunting lidah dan bibirnya dengan gunting dari besi. Tiap-tiap selesai digunting, tumbuh lagi. Begitulah dilakukan secara terus menerus.
Itulah tukang-tukang penyebar fitnah.
8. Kemudian Nabi S.A.W datang ke suatu lubang yang kecil dan dari dalamnya keluar seekor lembu yang sangat besar. Lembu itu ingin kembali masuk ke lubang tempat ia keluar tadi,tetapi tidak dapat. Nabi S.A.W bertanya, "Apakah ini wahai Jibril?" Jibril menjawab, " Ini adalah perumpamaan dari umatmu yang mengucapkan perkataan yang bukabukan, kemudian ia menyesal atas pembicaraannya itu, tetapi ia tidak dapat lagi menariknya."
9. Dan dilihat oleh Nabi Muhammad S.A.W suatu kaum yang perutnya buncit sebesar rumah, setiap hendak bangun mereka jatuh tersungkur.
Itu adalah orang-orang yang suka makan riba, mereka tidak berdiri melainkan seperti berdirinya orang gila.
10. Ada juga Nabi S.A.W melihat beberapa kaum yang mulut seperti muncung unta. Mulutnya ternganga lebar lalu dimasuki bulatan-bulatan api, kemudian api tersebut keluar semula dari duburnya.
Mereka itu adalah orang yang memakan harta anak-anak yatim secara aniaya. Sebenarnya mereka itu memasukkan api ke dalam mulutnya dan kelak akan masuk ke dalam neraka.
11. Seterusnya, diperlihatkan juga orang yang tenggelam timbul dalam lautan darah bercampur nanah dan dilemparkan dengan batu.
Ini adalah gambaran manusia yang sentiasa mengambil riba.
12. Turut dilihat oleh Nabi Muhammad S.A.W, wanita menangis meminta pertolongan sambil menyiat-nyiat (menghiris) kulitnya tetapi tiada yang sanggup membantu.
Ini satu gambaran balasan wanita yang berhias bukan kerana suaminya.
13. Seterusnya, Nabi S.A.W melihat sekelompok wanita tergantung pada rambutnya, otaknya menggelegak dalam periuk.
Ini gambaran balasan bagi wanita yang tidak menutup auratnya (rambut).
14. Diperlihatkan juga lelaki dan wanita yang ditarik kemaluannya ke depan dan ke belakang serta dilontar mukanya ke api neraka. Kemudian ditarik dan dipukul hingga keluar api dari badannya.
Ini adalah gambaran balasan yang bakal diterima oleh orang yang membesarkan diri dan takabur kepada orang ramai.
15. Nabi S.A.W juga melihat wanita tergantung rambutnya di pohon Zakkum, api neraka membakarnya lalu kering kecut dagingnya terbakar.
Balasan bagi wanita yang minum ubat untuk membunuh janin.
16. Seterusnya, diperlihatkan juga wanita dibelenggu dengan api neraka, mulutnya terbuka luas, keluar api dari perutnya.
Ini adalah balasan wanita yang menjadi penyanyi tidak sempat bertaubat.
17. Seterusnya, Nabi S.A.W melihat wanita berkepala seperti babi, badannya seperti kaldai dan menerima berbagai balasan.
Ini hukuman bagi wanita yang suka membuat fitnah, bermusuh dengan jiran dan membuat dusta.
Pelbagai peristiwa yang dilihat dengan jasab dan mata Nabi S.A.W sepanjang perjalanan Isra' dan Mikraj tersebut. Bukan dalam bentuk mimpi atau perantaraan malaikat. Tetapi Baginda nabi Muhammad S.A.W ditemani malaikat Jibril sepanjang peristiwa ini kecuali semasa bertemu langsung dengan Allah untuk menerima perintah Solat yang kita sebagai umat Islam kerjakan hingga hari ini. Asalnya Allah perintahkan solat sebanya 50 kali sehari semalam sehinggalah akhirnya menjadi 5 kali. Walaupun begitu 5 waktu solat tersebut menyamai nilai solat 50 kali tersebut.
Pada peringkat awal saya memeluk agama Islam ini, saya mendengar ceramah berkaitan Isra' dan Mikraj ini yang dianjurkan oleh Unit Ukhuwah Bahagian Dakwah Majlis Agama Islam Negeri Johor. Sungguh terkesan di hati. Sedarilah bahawa setiap perlakuan kita di dunia ini pasti akan menerima balasan (baik atau buruk) yang setimpal, adil, dan sewajarnya daripada Allah Taala Yang Maha Perkasa.
Maka, "Berhati-hatilah Hidup Di Dunia".
19 Julai 2009
Isra' dan Mikraj
Labels: Catatan Iban Muslim, Ilmu, Isra' dan Mikraj
Catatan IBAN MUSLIM pada 7/19/2009 11:03:00 PTG