Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah islam dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya. [Surah Ali Imraan: Ayat19]

Rakan Iban Muslim

6 Julai 2009

Saf bersama kanak-kanak

Sumber Artikel: http://bongkarsauh.blogspot.com/

Bukan sekali saya berhadapan dengan situasi ini. Anak lelaki saya yang berusia 9 tahun yang bersembahyang di sebelah saya di saf pertama atau kedua akan diminta ke belakang. Sebenarnya saf paling belakang bersama kanak-kanak yang lain.
“Putus saf”, itulah kata mereka. Seringkali juga saya meminta anak lelaki saya kekal di tempatnya. Seusai solat, ekor mata orang yang tidak bersetuju dengan tindakan saya akan tajam merenung.
Saya faham dia tidak setuju tetapi dia tidak berani bersuara. Kalau dia bersuara, saya akan jelaskan duduk perkara yang sebenarnya.
Anak-anak memang wajar dibiasakan untuk ke masjid. Mereka perlu difahamkan bahawa masjid bukan untuk ‘orang pencen’. Tetapi masjid kita rata-ratanya tidak mesra kanak-kanak. Bacalah saja pelbagai amaran terhadap kanak-kanak di masjid. Peraturan untuk mereka di masjid kadang-kadang setanding peraturan untuk banduan di penjara.
Membawa anak-anak ke masjid menyamai ajaran nabi. Baginda membawa dua cucunda baginda, Hasan dan Husain ke masjid. Kadang-kadang baginda memanjangkan solat kerana Hasan dan Husain berada di atas belakangnya yang mulia itu.
Memang ada sumber sunnah yang menyebutkan bahawa di masjid nabi, saf kanak-kanak lelaki di belakang saf lelaki dewasa dan saf wanita di belakang saf kanak-kanak lelaki.
Nabi juga mengajarkan supaya orang yang di belakang baginda di dalam solat ialah lelaki yang baligh dan cerdik supaya baginda dapat diingatkan sekiranya terlupa atau digantikan sekiranya perlu.
Namun itu tidak bermakna kanak-kanak boleh dinafikan daripada berada di celah-celah orang dewasa di saf yang hadapan. Lebih-lebih lagi sekiranya mereka datang lebih awal ke masjid.
Masjid adalah rumah Allah, sesiapa sahaja berhak mengunjunginya. Sesiapa yang mengunjunginya dikira tetamu Allah. Layanan Allah kepada hambanya yang mengunjunginya adalah sama rata. Sesiapa yang datang awal dialah yang berhak berada di hadapan walau pun dia adalah kanak-kanak.
Bahkan nabi melarang kita menyuruh orang lain mundur dan kita mengambil tempatnya. Sama halnya, dengan menyuruh kanak-kanak mundur ke belakang dan kita mengambil tempatnya. Itu juga boleh menjadikannya membenci masjid dan orang yang datang ke masjid.
Arahan nabi supaya orang lelaki dewasa berada di belakang baginda dalam saf solat bukan untuk meminggirkan kanak-kanak tetapi untuk menggalakkan orang dewasa supaya datang awal ke masjid dan mengambil saf hadapan.
Nabi tidak pernah meminggirkan kanak-kanak. Baginda bersolat di rumah Abi Talhah dengan Anas dan seorang anak yatim lain di belakang baginda. Ummu Sulaim pula di belakang kedua-dua anak-anak itu. Baginda juga bersolat dengan Ibnu Abbas yang masih anak-anak dan berdiri di sebelah kanannya.
Justeru, kalau nabi tidak meminggirkan kanak-kanak, mengapa orang dewasa hari ini yang ke masjid meminggirkan kanak-kanak? Kanak-kanak diletakkan di belakang sekali, berhampiran pintu keluar. Mereka berada sesama mereka. Bising.
Oh ya, kanak-kanak itu belum berkhatan. Jangan salahkan mereka atau pinggirkan mereka kerana belum berkhatan, tetapi ajarilah mereka cara bersuci dengan betul sekiranya belum berkhatan. Apa masalahnya kalau tidak berkhatan?
Tidak boleh menyentuh mereka dalam solat, batal. Adakah bersentuh dengan anak-anak yang belum berkhatan ketika solat membatalkan solat? Jawabnya, tidak kerana anak-anak itu bukan najis. Menyentuh kanak-kanak belum berkhatan bukan menyentuh najis.
Kita susah hati dengan kanak-kanak bising pada hari Jumaat ketika solat. Bukan salah mereka tetapi salah kita yang sudah tua ini. Kita rasa kita lebih pandai dari kanak-kanak pada hal kita sebenarnya bongkak dengan ketuaan kita.
Apa salahnya, kita masukkan mereka di celah-celah kita saf orang dewasa. Berkhatan atau tidak berkhatan, jangan ditanya lagi. Tidak batal solat bersentuh dengan anak-anak yang belum berkhatan dalam solat. Berapa kali mahu diulang? Tak percaya juga, cari kitab fiqh dan baca. Kalau tak tahu baca itu salah kita. Mengapa kesalahan kita dibebankan ke atas bahu anak-anak?
Apabila mereka berada bersama kita, di celah-celah kita orang dewasa, sekurang-kurangnya mereka akan lebih berdisiplin dan mungkin tidak akan bising lagi pada hari Jumaat.
Kepada orang Pas, kita tidak perlu tunggu Umno kalah pilihanraya untuk lakukan ini. Kepada orang Umno anda juga tak perlu tunggu kerajaan perpaduan untuk amalkan ini semua. Untuk DAP, MCA dan MIC, sorry anda semua tidak termasuk dalam topik ini.
Sayang, kalau orang politik kita tidak mampu melakukan perubahan sekecil ini.
Ulasan oleh Ustaz Zaharudin:
Menurut Mazhab Syafie bersentuhnya anak yang menanggung najis di dalam lampin atau belum bersunat dengan seseorang dewasa yang sedang solat adalah tidak membatalkan solat.
Keadaan yang seperti ini ada disebutkan oleh Imam An-Nawawi di dalam Rawdah at-Tolobin dengan katanya : " Sekiranya (seseorang yang sedang solat itu bersentuh dengan sesuatu yang suci (pada jasanya seperti kanak-kanak ) tetapi benda yang suci tadi bersentuh pula dengan najis atau menanggung najis maka TIDAK BATAL SOLATNYA" (Rujuk Rawdah at-Tolibin, hlm 123 cet : Dar Ibn Hazm).
Pada hemat saya ini adalah kerana :-
a. Bersentuh itu tidak secara langsung dengan najis yang di tanggunginya. Jika secara langsung batallah solat seseorang tapi tidak wudhunya. Jika tersentuh najis secara langsung, ia hanya perlu membasuh najis itu sehingga bersih, dan tiada wudhu baru diperlukan.
b. Bersentuh secara tidak langsung dengan budak yang menanggung najis seperti memegang tangannya atau ia menyentuh pakaian kita, adalah tiada membawa sebarang masalah kerana kanak-kanak itu bukannya najis bergerak dan tidak pula tubuhnya bertukar menjadi najis hingga tidak boleh disentuh sama sekali, ia hanya menanggung najis sahaja.
Bagaimanapun, solat boleh terbatal sekiranya kita menanggung kanak-kanak ini (ia disebut dalam mazhab Syafie sebagai : "Haamil limuttasil binajastin") sama ada dengan mendukungnya atau ia memanjat belakang kita semasa sujud atau ia duduk di atas riba semasa kita sedang duduk tasyahhud akhir. (Mughni Al-Muhtaj, 1/ 264 cet Dar al-Fikr )
Akan tetapi jika kita menanggung sesuatu najis lalu bertindak membuangnya dengan cepat, solat tidak dikira batal . Ia berdasarkan peristiwa para sahabat bersolat bersama Nabi SAW dan Nabi SAW bersolat dengan memakai selipar, lalu tiba-tiba mereka melihat Nabi SAW (semasa dalam solat) menanggalkan seliparnya, maka seluruh sahabat yang melihat keadaan ini turut menanggalkan selipar mereka (kerana menyangka ia adalah perbuatan yang mesti diikuti), maka apabila telah selesai solat nabi bertanya kepada para sahabat : " Apakah yang menyebabkan kamu menanggalkan selipar-selipar kamu ? : para sahabat menjawab : kerana kami melihat kamu melakukannya : nabi membalas : Telah datang kepadaku Malaikat Jibrail as lalu memberitahuku bahawa di seliparku terdapat kekotoran atau najis (maka aku tanggalkan kerana itu). (Riwayat Abu Daud , no 650 , hlm 92 : Shohih menurut Albani. cet : Bayt Afkar )
Dari hadith di atas jelas kepada kita jika dengan segara membuang penanggungan kita terhadap najis, maka solat tidak terbatal sebagaimana dengan sgeranya Rasulullah membuang seliparnya yang terdapat najis. Justeru, jika anak kecil yang menanggung najis duduk di atas riba kita dan dengan pantas kita mengelak, maka solat tidak batal. (Rujuk Al-Fiqh Al-Manhaji, bab perkara yang membatalkan solat)
Ust Zaharuddin
Sumber:
IM:: Bersama-sama kita menyedari akan kesilapan masyarakat Islam di mana-mana pada hari ini. Bagi yang masih kurang faham, mari kita bertanya dan merujuk kepada yang lebih tahu. Usah kita menjadikan anak-anak kecil yang baharu hendak mengenal selok belok peribadatan di dalam Islam yang luhur ini menjadi mangsa kepada kejahilan kita. InsyaAllah...sama-sama kita memahami isu-isu seperti ini agar tiada siapa yang teraniaya di dalam beribadat kepada-Nya.