Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah islam dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya. [Surah Ali Imraan: Ayat19]

Rakan Iban Muslim

20 Julai 2009

Hadis: Isra' dan Mikraj

Gambar: Majid Al-Aqsa. Gambar bi bawah menunjukkan lokasi sebenar Masjid Al-Aqsa ini. Jangan kita tertipu dan keliru.
Dari Anas bin malik r.a, katanya Rasulullah S.A.W bersabda:

"Jibril membawakan kepadaku seekor 'Buraq', iaitu sejenis haiwan berwarna putih, lebih panjang daripada keldai dan lebih pendek daripada baghal. Ia dapat melompat sejauh mata memandang. Haiwan itu lalu kutunggangi sampai ke Baitul Maqdis. Sampai di sana haiwan itu kutambatkan di tambatan yang biasa digunakan para nabi. Kemudian aku masuk ke dalam masjid dan solat di situ dua rakaat. Setelah aku keluar, Jibril datang membawa dua buah bejana, yang satu berisi khamar dan yang satu lagi berisi susu. Aku memilih susu. Kata Jibril, "Anda memilih yang benar." Kemudian kami dibawa ke langit. Lalu Jibril minta supaya dibukakan pintu. Jibril ditanya, "Anda siapa?" Sahut Jibril, "Aku Jibril!" Tanya:"Siapa bersama anda?" Jawab: "Muhammad!" Tanya: "Sudah diutuskah dia (menjadi rasul)?" Jawab:"Ya benar! Dia sudah diutus!" Setelah itu baharulah pintu dibukakan untuk kami. Sekonyong-konyong aku berjumpa dengan Adam. Beliau mengucapkan, "Selamat datang" kepadaku serta mendoakanku semoga beroleh kebaikan. Kemudian kami naik ke langit kedua. Jibril a.s minta dibukakan pula pintu. Lalu dia ditanya: "Siapa Anda?" Jibril menjawab, "Aku Jibril!" Tanya: "Siapa bersama anda?" Jawab: " Muhammad!" Tanya: "Apakah dia sudah diutus?" Jawab: "Ya, dia sudah diutus!" Setelah itu baharulah pintu dibukakan untuk kami. Tiba-tiba aku bertemu dengan dua orang, iaitu 'Isa anak Maryam dan Yahya bin Zakaria 'alaihimas salam. Keduanya mengucapkan 'Selamat datang' kepadaku, serta mendoakan semoga aku beroleh kebaikan. Kemudian aku dibawa lagi naik ke langit ketiga. Jibril a.s minta dibukakan pula pintu. Lalu dia ditanya: "Siapa Anda?" Jibril menjawab, "Aku Jibril!" Tanya: "Siapa bersama anda?" Jawab: " Muhammad!" Tanya: "Apakah dia sudah diutus?" Jawab: "Ya, dia sudah diutus!" Lalu pintu dibukakan bagi kami. Sekonyong-konyong aku bertemu dengan Yusuf a.s, yang kecantikannya seperdua dari seluruh kecantikan yang ada. Dia mengucapkan selamat datang kepadaku, dan mendoakan semoga aku beroleh kebaikan. Sesudah itu kami dibawa naik ke langit keempat. Jibril a.s minta dibukakan pula pintu. Lalu dia ditanya: "Siapa Anda?" Jibril menjawab, "Aku Jibril!" Tanya: "Siapa bersama anda?" Jawab: " Muhammad S.A.W!" Tanya: "Apakah dia sudah diutus?" Jawab: "Ya, dia sudah diutus!" Setelah itu baharulah pintu dibukakan untuk kami. Tiba-tiba aku bertemu dengan Idris a.s. Dia mengucapkan selamat datang kepadaku, serta mendoakan semoga aku beroleh kebaikan. Firman Allah: "Kami naikkan dia (Idris) ke tempat yang tinggi." (Maryam:57). Kemudian kami naik ke langit kelima. Jibril a.s minta dibukakan pula pintu. Lalu dia ditanya: "Siapa Anda?" Jibril menjawab, "Aku Jibril!" Tanya: "Siapa bersama anda?" Jawab: " Muhammad!" Tanya: "Apakah dia sudah diutus?" Jawab: "Ya, dia sudah diutus!" Setelah itu baharulah pintu dibukakan untuk kami. Sekonyong-konyong aku bertemu dengan Harun a.s. Dia mengucapkan selamat datang kepadaku, dan mendoakan semoga aku mendapat kebaikan. Kemudian kami naik ke langit keenam. Jibril a.s minta dibukakan pula pintu. Lalu dia ditanya: "Siapa Anda?" Jibril menjawab, "Aku Jibril!" Tanya: "Siapa bersama anda?" Jawab: " Muhammad!" Tanya: "Apakah dia sudah diutus?" Jawab: "Ya, dia sudah diutus!" Setelah itu baharulah pintu dibukakan untuk kami. Sekonyong-konyong aku bertemu dengan Musa a.s. Dia mengucapkan selamat datang kepadaku, dan mendoakan semoga aku mendapat kebaikan. Kemudian kami naik ke langit ketujuh. Jibril a.s minta dibukakan pula pintu. Lalu dia ditanya: "Siapa Anda?" Jibril menjawab, "Aku Jibril!" Tanya: "Siapa bersama anda?" Jawab: " Muhammad!" Tanya: "Apakah dia sudah diutus?" Jawab: "Ya, dia sudah diutus!" Setelah itu baharulah pintu dibukakan untuk kami. Tiba-tiba aku bertemu dengan Ibrahim a.s sedang bersandar ke Baitul Ma'mur, di mana 70 ribu malaikat setiap hari masuk ke dalamnya dan mereka tidak pernah kembali lagi dari situ. Kemudian Jibril membawaku ke Sidratul Muntaha, mendapatkan sebatang pohon yang daunnya seperti telinga gajah, dan buahnya sebesar kendi. Setiap kali ia tertutup dengan kehendak Allah, ia berubah sehingga tidak satu pun makhluk Allah yang sanggup mengungkapkan keindahannya. Lalu Allah menurunkan wahyu kepadaku, mewajibkan solat 50 kali sehari semalam. Sesudah itu aku turun ke tempat Musa a.s. Musa bertanya, "Apa yang telah diwajibkan Tuhanmu kepada umatmu?" Jawabku, "Solat 50 kali." Kata Musa, " Kembalilah kepada Tuhanmu, mintalah keringanan, kerana umatmu tidak akan sanggup melakukannya. Aku sendiri telah mencuba terhadap Bani Israil. Kata Nabi S.A.W, "Aku kembali kepada Tuhanku, lalu aku memohon. 'Ya Tuhan! Berilah umatku keringanan!" Maka Allah menguranginya lima." Sesudah itu aku kembali kepada Musa. Kataku, "Allah menguranginya lima." Kata Musa, "Umatmu tidak akan sanggup menunaikannya sebanyak itu. Kerana itu kembalilah kepada Tuhanmu dan mintalah keringanan. Kata Nabi S.A.W selanjutnya, "Aku jadi berulang-ulang pulang pergi antara Tuhanku Tabaraka wa Ta'ala dengan Musa, sehingga akhirnya Allah berfirman: "Kesimpulannya ialah solat lima kali sehari semalam. Bagi tiap-tiap satu solat, sama nilainya dengan sepuluh solat; maka jumlah nilainya 50 juga. Dan siapa yang bermaksud hendak berbuat kebajikan, tetapi tidak dilaksanakannya, dituliskan untuknya (pahala) satu kebajikan. Dan siapa bermaksud hendak berbuat kejahatan, tetapi tidak jadi dilaksanakannya, tidak akan ditulis apa-apa baginya. Tetapi jika dilaksanakannya, maka ditulis baginya balasan satu kejahatan. Sesudah itu aku turun kembali ke tempat Musa a.s, lalu keceritakan kepadanya apa yang difirmankan oleh Tuhanku itu. Kata Musa, " Kembalilah kepada Tuhanmu, dan mintalah keringanan." Jawab Rasulullah S.A.W, " Aku telah berulang kali kembali kepada Tuhanku meminta keringanan, sehingga aku malu kepadaNya.
(Shahih Muslim)



Demikianlah salah satu hadis yang menggambarkan perjalanan Nabi S.A.W pada malam Isra' dan Mikraj tersebut. Sama-samalah kita menghayati peristiwa bersejarah dalam Islam ini untuk kita mengaudit diri kita, dan tanyalah diri kita, "Islamik kah hidupku ini?" Seterusnya, "Cukup sempurnakah solat aku selama aku hidup ke dunia ini?" Seterusnya, "Adakah aku merupakan umat Muhammad S.A.W yang sentiasa menjaga solat?" Dan, "Cukupkah 5 waktu sehari semalam solatku?"

Kalau masih rongak di sana dan di sini solat kita, sewajarnya kita malu pada diri, malu pada Allah, malu pada nabi, dan malu kepada seluruh alam ini kerana sesungguhnya kita adalah umat yang lalai mengerjakan perintah Allah.

Bagi umat yang sentiasa memelihara kesempurnaan solat, tahniah diucapkan. Teruskan dengan istiqamah, semoga mendapat ganjaran setimpal dari Allah Azza wa Jalla.

Bagi rakan yang baharu memeluk Islam, pelajarilah cara solat yang betul...Jangan berputus asa, sesungguhnya ada sinar yang menerangi jalan orang-orang yang bertaqwa. InsyaAllah. Wallahualam.