Imam Ahmad mengkategorikan zuhud kepada 3 bentuk iaitu:
Yang Pertama:
Meninggalkan sesuatu yang HARAM, dan ini adalah zuhud orang awam.
Yang Kedua:
Meninggalkan berlebihan terhadap yang HALAL, ini adalah zuhud golongan yang khusus.
Yang Ketiga:
Meninggalkan segala sesuatu yang menghalangnya daripada mengingati Allah, dan ini adalah zuhud orang arif.
Mencintai dunia secara keterlaluan dan penuh kerakusan adalah sesuatu yang tercela pada pandangan Islam. Ini adalah satu penyakit yang amat merbahaya dalam masyarakat hari ini. Cinta dunia dan kerakusan tersebut merupakan ibu kepada segala penyakit sosial yang semakin menjadi-jadi. Pandangan manusia yang berlebih-lebihan fokus kepada harta dan pangkat menjauhkan mereka daripada rahmat Allah.
Dengan yang demikian, segala perilaku yang dipertontonkan seharian tidak menggambarkan seseorang itu terhadap acuan Islam yang sebenar.
Lebih menyedihkan lagi, rentetan daripada itu, berleluasanya masalah perzinaan, perjudian, ketagihan arak, riba, rasuah dan segala macam masalah dunia hari ini. Puncanya adalah jauhnya kita daripada hidayah dan petunjuk daripada Allah. Betapa gagalnya kita menongkah arus dunia yang penuh dengan ujian ini.
Manusia yang jauh daripada sifat zuhud itu begitu mudah terjerumus ke lembah kehinaan dan dengan mudah terpengaruh dengan pujuk rayu ke arah perkara yang terlarang di sisi agama.
Bagi golongan manusia yang gagal dengan rayuan harta dan pangkat ini, mereka dengan mudahnya mengenepikan tegahan-tegahan agama demi memuaskan kata nafsu.
Sehinggakan Rasulullah s.a.w mengingatkan kita bahawa,
"Tidaklah dua serigala lapar yang dikirimkan pada kambing melebihi bahayanya daripada kerakusan seseorang terhadap harta dan kedudukan." (Riwayat al-Tirmizi)
Moga-moga kehidupan kita seharian tidak lari daripada acuan Islam. Dan, pembawaan yang kita kendong seharian selari dengan tuntutan Islam yang sebenar. Kita sebagai khalifah Allah di atas muka bumi ini perlulah menjadi role model kepada golongan yang belum mendapat petunjuk Allah agar mereka rasa terpanggil untuk bersama-sama di atas jalan Allah yang lurus lagi benar ini.
17 Julai 2009
3 Bentuk Zuhud
Labels: Catatan Iban Muslim
Catatan IBAN MUSLIM pada 7/17/2009 06:58:00 PTG