Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah islam dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya. [Surah Ali Imraan: Ayat19]

Rakan Iban Muslim

11 Jun 2009

Yang Terindah Hanyalah Sementara

Saudaraku,
Indahnya dunia di pandangan manusia. Oleh yang demikian, kita siang dan malam, hujan mahupun panas bertungkus lumus mengejar apa yang dinamakan sebagai harta dunia. Tidak dinafikan bahawa mencari harta untuk meneruskan kesinambungan kehidupan adalah perlu. Tapi, terdapat manusia yang keterlaluan dalam urusan mencari kekayaan di dunia dengan melupakan halal dan haram.

Saudaraku,
Dalam urusan kerja seharian masing-masing, kita sering leka dan alpa bahawa setiap perbuatan yang kita lakukan tidak terlepas daripada bancian para malaikat yang diamanahkan oleh Allah Taala. Terkadang kita cuba untuk menjadikan matlamat itu sebagai perkara utama. Cara atau kaedah untuk mencapai matlamat menjadi perkara nombor dua. Jika silap percaturan, kita akan terperangkap dan tanpa disedari kita akan menggunakan matlamat untuk menghalalkan cara.

Saudaraku,
Setiap kerja buat kita di dunia perlulah selari dengan kehendak hukum hakam yang telah ditetapkan kepada kita. Itu sebenarnya adalah panduan kita untuk berada di jalan yang betul.

Saudaraku,
Ramai manusia menganggap bahawa halal dan haram itu hanya selesai dengan hanya mengucap syahadah, solat, puasa, zakat, dan haji. Sebenarnya lima perkara itu ada asas kepada kita sebagai seorang muslim. Realitinya, keseluruhan kehidupan kita perlu kepada islam. Kita perlu sesuaikan kerja buat kita agar bertepatan dengan kehendak Islam. Dan, bukannya hanya mengambil bahagian-bahagian tertentu di dalam Islam sahaja untuk disesuaikan dengan kerja buat kita.

Saudaraku,
Dari bagun tidur hinggalah kita tidur semula. Semuanya memerlukan kepatuhan kita kepada Islam. Di pejabat, di padang permainan, di masjid, di pasar, di parlimen, dan di mana-mana sahaja. Semuanya perlukan kepatuhan kepada Islam.

Saudaraku,
Nabi berpesan kepada kita;
"Tidaklah dunia ini dibanding kenikmatan akhirat kecuali seperti salah seorang di antaramu yang mencelupkan jarinya ke dalam air laut, maka lihatlah berapa banyak air yang ada dijarinya."

(HR. Muslim)

Saudaraku,
Dunia yang kita idam-idamkan ini hanyalah sekelumit sahaja kenikmatan yang Allah lepaskan kepada kita. Mungkin tidak sampai 1% daripada nikmat keseluruhannya. Yang selebihnya, InsyaAllah bakal dipertontonkan di akhirat kelak.

Saudaraku,
Baginda s.a.w menggambarkan kepada kita betapa indahnya syurga yang sering kita sebut-sebut di dunia.

"Batu batanya dari emas dan perak, perekat (batu-batu) nya berupa misik harum, kerikilnya berupa permata dn yakut dan tanahnya dai za'faran. Barangsiapa memasukinya akan mendapat kenikmatan dan tidak pernah celaka, kekal tidak mati, pakaiannya tidak akan usang dan selalu awet muda."
(Hadis Shahih Riwayat Ahmad dan Tirmidzi)
Saudaraku,
Berpada-padalah kita mengejar dunia. Akhirat itu lebih nikmat daripada apa yang kita rasai di dunia ini. Dengan syarat kita tergolong dalam golongan yang 'TAKWA' kepada Allah Taala. InsyaAllah.
Wallahualam.