Masih terdapat rungutan di sana sini berkaitan sekatan bersuara. Jika kita tinjau di negara-negara Eropah, kebebasan bersuara ini sememangnya memberi impak yang mengkagumkan ramai pihak sehinggakan rejim-rejim ganas yang memerintah sesebuah organisasi atau negara boleh ditumbangkan melalui rapat umum, mogok, pungutan suara, demonstrasi jalanan dan pelbagai cara lagi yang dilakukan dalam menyuarakan ketidakpuasan terhadap ketidakbetulan pentadbiran sesuatu organisasi mahupun negara.
Sebagai sebuah negara demokrasi, kita perlu membandingkan tahap kebebasan bersuara ini dengan negara-negara besar seperti di Eropah sana bagi menilai tinggi atau rendah had yang diberikan kepada rakyat untuk menyuarakan pendapat masing-masing. Usahlah kita membandingkan negara berpenduduk kecil seperti Singapura mahupun Brunei.
Kebebasan bersuara ini sememangnya kita tidak nafikan ada baik dan buruknya. Sekiranya kita ingin maju seperti negara-negara Eropah seperti Finland, Britian, mahupun Jerman, kita perlu mengisi ruang-ruang kosong di dalam demokrasi itu sendiri untuk diisi dengan suara-suara yang bermanfaat. Sebagai contoh, kita perlulah memberikan kebebasan yang luas kepada para ilmuan-ilmuan di universiti-universiti untuk berhujah, bersyarah, dan berpidato berkaitan apa jua isu yang terdapat di dalam atau di luar negara untuk dimanfaatkan setiap idea yang dikemukakan bagi tujuan kemajuan negara ini. Seterusnya, para mahasiswa di institut pengajian tinggu juga turut perlu dibuka peluang dan ruang yang lebih luas dalam berpidato untuk mengupas satu persatu isu-isu penting untuk dimanfaatkan oleh pengurusan sesebuah organisasi atau negara. Sekatan terhadap golongan penting ini bisa sahaja menutup bakat dan potensi yang kita miliki yang mana ianya merupakan satu aset yang tidak ternilai harganya.
Kita selaku pejuang dalam mana-mana organisasi tidak perlu menyempitkan ruang pemikiran kita dengan hanya memandang kepada kesan buruk kepada kebebasan bersuara itu sahaja. Kita kadang-kadang begitu menjumudkan pemikiran kita dengan melihat contoh-contoh kebebasan bersuara yang hanya mengancam kedudukan sesuatu pihak, sama ada dari segi kedudukan pangkat,atau kuasa politik. Sekiranya kedengaran suara-suara yang berbau ancaman kepada kedudukan ataupun kekuasaan sesuatu pihak, pihak yang tersebut dengan segeranya membuat sekatan atau tangkapan terhadap tuan empunya suara tersebut. Itu sebgai satu contoh sekatan bersuara.
Kita usah terlalu rakus dengan sekatan-sekatan seumpama itu sekiranya ingin terus maju dalam merealisasikan konsep kebebasan bersuara seperti yang termaktub di dalam kepompong demokrasi itu sendiri.
Disebabkan takut dek ugutan pihak-pihak tertentu dalam menyuarakan pendapat masing-masing, maka lahirlah blog-blog umpama cendawan tumbuh selepas hujan. Itu satu contoh lagi. Melalui blog ini, siapa sahaja boleh meluahkan perasaan dan pendapatnya yang mungkin tidak dapat disuarakan secara bersemuka dengan pihak tertentu kerana takut atau sebagainya. Sebagai contoh, pekerja di sesuatu organisasi merasakan diri tertindas setelah sekian lama tidak menikmati kenaikan gaji umpamanya, diluahkan melalui tulisan di blog-blog. Apabila blog ini dibaca atau dapat dikesan oleh pihak atasan organisasi berkenaan, blog ini akan dianggap sebagai satu ancaman kepada organisasi tersebut. Maka, tindakan, ugutan, dan sekatan akan dilakukan ke atas penulis dan blog tersebut.
Sekiranya situasi sebegini terus berlaku, maka konsep kebebasan bersuara itu dibuka dengan amat terhad. Hanya indah khabar dari rupa.
Hakikat yang perlu kita persetujui bersama hari ini, kebebasan bersuara ini baharu sahaja dibuka sedikit kepada kita semua. Setelah berdekat lamanya pemikiran kita telah dieksploitasi dan diacuankan seakan robot, hari ini kita hanya diberikan sedikit ruang dan peluang untuk bebas bersuara. Namun ruang dan peluang tersebut seringkali dipantau pengisiannya supaya tidak memberikan impak yang buruk kepada pihak tertentu.
Sedarlah bahawa, idea-idea yang terdapat di kotak-kotak pemikiran para ilmuan dan cerdik pandai di dalam negara ini sekiranya tidak dibukakan ruang bersuara, kita akan kerugian idea dan itulah sebenarnya penghalang kepada pertumbuhan kemajuan intelektual.
Kebebasan bersuara sememangnya mudah untuk diucapkan, namun perlaksanaanya tidak semudah yang diungkapkan.