Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah islam dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya. [Surah Ali Imraan: Ayat19]

Rakan Iban Muslim

14 November 2009

Wailun!


"Wailun!"

"Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pengumpat". (Pangkal ayat 1 Surah Al-Humazah)

Menurut Hamka, pengumpat ialah orang yang suka membusuk-busukkan orang lain, dan merasakan bahawa hanya dia sahaja yang benar.

Kerapkali keburukan orang dibicarakannya di belakang orang tersebut, namun apabila berhadapan dengan orang tersebut dia bermulut manis!

"Pencela." (Hujung Ayat 1 Surah Al-Humazah). Hamka menggambarkan bahawa tiap-tiap pekerjaan orang, walau betapa baik hasilnya, namun bagi golongan pencela ini ada saja cacatnya pada pandangan mereka. Malah lebih buruk lagi apabila dia lupa untuk memperhatikan cacat dan cela yang ada pada dirinya sendiri.

Ini hakikat kehidupan hari ini. Satu telunjuk yang menuding terhadap orang lain, tanpa disedari empat yang lain sebenarnya terarah pada dirinya sendiri.

Di rumah, di pejabat, di kedai kopi, atau di mana-mana sahaja terdapat golongan yang Allah Taala labelkan sebagai "Wailun" ini. Sama ada disedari ataupun tidak golongan ini sentiasa ada di sekeliling kita. Sedaya mungkin kita menghindar diri daripada tergolong daripada golongan pengumpat atau pencela ini agar kita tidak menyesal apabila berada di hari penghakiman di hadapan Allah kelak.