Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a katanya Nabi s.a.w bersabda:”Apabila dikumandangkan azan untuk solat, syaitan lari terkentut-kentut sehingga tidak terdengar olehnya azan. Apabila muazzin berhenti, ia pun kembali. Begitu pula apabila qamat dibacakan, dia pun lari. Dan apabila iqamat telah selesai, dia datang kembali. Dia sentiasa menggoda orang yang sedang solat, dengan berkata kepadanya:”Ingatlah apa yang belum kamu ingat!” Sehingga akhirnya orang itu tidak tahu lagi berapa rakaat dia telah solat.” (al-Bukhari)
Huraian:
Syaitan berada di mana-mana. Oleh kerana itu pohonlah perlindungan dengan berzikir atau membaca ayat-ayat al-Qur’an.
Dalam menghadapi keadaan-keadaan yang membahayakan, mencemaskan atau menakutkan, malah dalam keadaan biasa sekalipun pun, eloklah kita mengamalkan amalan-amalan yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w, Contohnya, dalam waktu kecemasan seperti kebakaran, azan dan takbir amat sesuai dilaungkan di samping ayat-ayat atau zikir-zikir pendek.
Selain itu untuk berlindung daripada syaitan juga kita dikehendaki melaungkan azan dan iqamah ke telinga bayi yang baru lahir.
Sesungguhnya syaitan itu tidak lain melainkan sentiasa ingin menggoda manusia dengan apa cara sekalipun hatta di dalam solat supaya manusia lalai daripada mengingati Allah dan melakukan perkara-perkara yang mendatangkan kebinasaan pada dirinya.
Sebab itulah Rasulullah menyuruh kita mengamalkan berbagai bacaan doa sama ada ketika makan, ingin memasuki tandas, keluar tandas, memasuki rumah memakai pakaian, tidur, membawa kenderaan dan sebagainya.
Maka apabila manusia terlindung dengan doa yang dibacanya itu akan terlepaslah peluang syaitan untuk merosakkan manusia.
Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
IBAN MUSLIM:
Indahnya Islam. Saya amat tertarik dengan adanya pelbagai jenis doa untuk pelbagai jenis situasi. Doa adalah permohonan kita kepada Allat Taala agar segala kerja buat kita di dunia ini mendapat ganjaran yang baik daripada Allah di samping dipermudahkan setiap urusan tersebut.
Masuk tandas ada doanya, keluar tandas ada doanya, naik kenderaan ada doanya, memakai pakaian ada doanya, makan ada doanya, selepas makan ada doanya, tidur ada doanya, bangun tidur ada doanya, melihat cermin ada doanya, dan pelbagai lagi.
Apabila azan dan iqamat dilaungkan dan jika ada manusia yang lari dan merasakan azan ini mengganggu ketenteramannya, maka tergolonglah ia sebagaimana hadis di atas.
Nabi s.a.w pernah memperingatkan kita bahawa selagi kita berpegang teguh pada dua perkara iaitu Al-Quran dan Sunnah (Hadis) selagi itulah kita tidak akan sesat selamanya. Anda tidak percaya pada Al-Quran dan Hadis? Awas! Andalah golongan yang kufur ingkar...
Maka, wajarlah bagi kita untuk beramal dengan doa-doa tersebut sepanjang masa.
Selamat beramal agar selamat di dunia dan akhirat. InsyaAllah.
21 November 2009
SYAITAN BERTEMPIARAN DENGAN AZAN, DOA SENJATA MUKMIN
Labels: Catatan Iban Muslim
Catatan IBAN MUSLIM pada 11/21/2009 09:27:00 PG