Jam 6.20 pagi tadi tatkala aku masih berada di masjid baru sahaja selesai menunaikan solat subuh, telefon bimbit terasa bergetar (vibrate) di dalam poket. Terdetik di hati...betul ke apa yang aku rasa? Setelah aku melihat nombor tersebut, jawapan hampir pasti. Selesai sahaja Ust. Ahmad Abdullah yang mengimami solat subuh pagi tadi membaca doa, tanpa sempat mendengar kuliah subuh tersebut, aku bergegas keluar masjid dan memanggil ke nombor tersebut.
"Dom, ini' dik bendar (nenek nazak)...", suara mak kesedihan.
Betul tekaan aku tadi.
Selepas menghadiri kuliah dhuha di Masjid Pelubang yang disampaikan oleh Ust. Ahmad Yahya, satu mesej masuk dalam peti mesej.
..."Ini' kitai udah nadai (nenek kita dah tiada)"...
Adik di UiTM Shah Alam menghantar mesej tersebut.
Aku terdiam seketika. Wajah nenek terbayang-bayang.
Setelah itu, aku berkata pada diriku..."ajal maut sudah ditentukan". Mungkin itu yang terbaik untuknya. Kenapa? Sudah hampir setahun setengah nenek terlantar di pembaringan disebabkan serangan strok pada Jun 2008 lalu. Beliau lumpuh separuh badan. Ketika aku balik Jun lalu, beliau masih boleh bangun sendiri dan berbual panjang bersamaku. Hari ini dia pergi buat selama-lamanya.
Apa yang membuatkan aku termenung, terdiam, dan pelbagai lagi perasaan di dalam diri tatkala mendapat berita ini adalah...nenek aku pergi tanpa sempat beriman kepada Allah.
Bukan kerana dia murtad atau keluar daripada Islam...Tetapi kerana sejak lahir tidak beragama Islam dan lebih kepada kepercayaan nenek moyang.
Ampunilah aku ya Allah, sesungguhnya aku tidak berdaya untuk berdakwah kepada ahli keluargaku...
Dan, apabila merenung sebahagian daripada kandungan ayat ke-16 dalam Surah Al-Hajj yang berbunyi, "...sesungguhnya Allah memberi hidayat petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya..", aku sedar bahawa manusia tiada daya upaya melainkan mengharap rahmat daripada Allah Taala semata-mata. Kita hanya mampu berusaha untuk berdakwah, selebihnya adalah ketentuan daripada-Nya.