Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2009 berlangsung dengan penuh meriah di Kampung Sibau Rimbau, Simunjan yang dihuni oleh majoriti penduduk Iban beragama Islam bermula Ahad lalu hingga sekarang.
Wartawan yang mengadakan kunjungan raya di kampung berkenaan mendapati bahawa sebilangan besar penduduk masih lagi sibuk melayan kunjungan para saudara dan rakan-rakan mereka walaupun perayaan terbabit masuk pada sambutan hari kedua.
Zaidi bin Ibrahim, 36, ketika ditemui di rumahnya menjelaskan bahawa suasana sambutan perayaan Hari Raya tetap meriah di kalangan penduduk Iban beragama Islam di Kampung Sibau Rimbau pada setiap tahun.
“Suasana sambutan perayaan Hari Raya di sini tidak berbeza dengan suasana perayaan Hari Raya di perkampungan Melayu dalam negeri ini dengan adanya aktiviti bermain bunga api, gotong-royong membuat lemang dan sebagainya.
“Sebagai seorang penduduk Iban yang beragama Islam, saya dan ahli keluarga yang lain berasa amat bangga kerana dapat bersama penduduk Islam di negeri ini untuk memeriahkan suasana sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri pada setiap tahun,” katanya.
Saiful bin Ibrahim, 38, pula merasa amat gembira kerana sempat memeriahkan suasana perayaan Hari Raya pada tahun ini bersama anak-anak dan isteri setelah sekian lama bekerja di luar negara.
Menurut beliau adalah tidak mudah bagi penduduk Iban yang bekerja di syarikat perkapalan luar negara untuk pulang ke kampung halaman masing-masing bagi menyambut perayaan penting bersama keluarga.
“Saya berasa amat bersyukur kerana dapat pulang ke kampung (Sibau Rimbau) untuk memeriahkan suasana sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga setelah tiga bulan berada di perantauan untuk mencari rezeki.
“Menerusi perayaan Hari Raya Aidilfitri inilah saya berkesempatan untuk beramah mesra dengan anak-anak dan isteri disamping sahabat handai yang lain sebelum dipanggil semula untuk bekerja di luar negara,” katanya.
Terdapat beberapa buah perkampungan Iban di kawasan Batang Hulu Simunjan yang turut memeriahkan suasana sambutan perayaan raya ini.
Sumber: http://sarawakupdate.com.my