Arah kiblat yang tepat boleh juga diperolehi apabila berlaku peristiwa 'istiwa utama matahari di Kaabah'. Istiwa utama (istiwa a'dzam) adalah satu keadaan di mana matahari akan berada tepat di titik zenith (ghayah) ketika istiwa. Peristiwa ini akan berlaku dua kali dalam setahun, apabila nilai sudut istiwa matahari (mel syams) bersamaan dengan nilai latitud tempatan. Fenomena ini berlaku bagi negeri-negeri yang nilai latitudnya kurang daripada nilai sudut istiwa maksimum matahari sebanyak 23.5°. Berdasarkan keadaan ini, matahari akan mengalami istiwa utama dengan Kaabah dua kali dalam setahun. Fenomena ini boleh dimanfaatkan untuk menyemak dan menentukan arah kiblat dari tempat-tempat lain di muka bumi. Menurut hisab, peristiwa istiwa matahari di atas Kaabah akan berlaku setiap tahun pada 28 Mei pukul 5.16 petang waktu Malaysia (12.16 tengahari waktu Mekah) dan sekali lagi pada 16 Julai pukul 5.28 petang (12.28 tengahari waktu Mekah). [Sumber:Jakim]
***Sama-sama kita semak semula arah kiblat...ke arah kesempurnaan ibadah...