Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah islam dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya. [Surah Ali Imraan: Ayat19]

Rakan Iban Muslim

9 Mei 2010

5 Yang Kita Sayangi, Mana 1 Yang Utama

Lima perkara yang tetap kita sayangi di dunia ini selagi hayat di kandung badan.

Pertama: Harta (sama ada sedikit, banyak usah cakap la...)
Kedua: Keluarga
Ketiga: Kawan-kawan
Keempat: Pangkat (kecil atau besar...)
Kelima: Agama

Daripada kelima-lima senarai di atas, mari kita semak diri kita. Jika diminta untuk menyenaraikannya mengikut keutamaan, sila senaraikan.

Namun, antara sedar mahupun tidak, daripada lima perkara tersebut, hanya satu yang bakal menjadi penyelamat kepada kita di dunia dan lebih lagi di akhirat.

AGAMA!

Matinya anak Adam, agama lah benteng penyelamat sama ada kita akan di 'posting' kan di Syurga atau Neraka. Tiada pilihan ketiga. Hanya dua pilihan tempat ini sahaja.

Berapa ramai di antara manusia yang sanggup korbankan hartanya di dunia demi untuk agama? Berapa ramai manusia di dunia ini yang sanggup korbankan keluarganya demi untuk agama? Berapa ramai manusia di dunia yang sanggup korbankan kawan-kawan demi untuk agama? Dan, berapa ramai manusia di dunia yang sanggup korbankan pangkatnya demi kerana agama?

Empat persoalan ini sering tidak disedari oleh manusia. Inilah sebenarnya kayu pengukur yang paling asas kepada kita. Sejauh manakah kita cintai Islam sebagai agama? Mulut mudah menuturkan bicara, namun hakikatnya manusia sering terperangkap dengan kayu ukur yang mudah ini.

Sebaliknya, begitu ramai yang telah mengorbankan agamanya hanya kerana harta, keluarga, kawan, dan pangkat.

Jika kita mampu memelihara perkara asas ini sepanjang kehidupan kita yang setiap detik memerlukan kita membuat keputusan, mudah-mudahan kita sentiasa dalam situasi yang positif untuk agama. Agama perlu menjadi asas pertimbangan dalam apa jua keputusan yang kita buat. Sama ada dalam mesyuarat di pejabat, permuafakatan dalam masyarakat, persetujuan dalam keluarga, dan apa jua situasi kehidupan yang kita lalui.

...Sekadar koreksi diri seorang Iban Muslim...