Catatan sempena kuliah maghrib bulanan yang disampaikan oleh Ustaz Halim Nasir di Madrasah Darul Abror, Tok Jalai, Jitra. Bertarikh 13 Rabiul Awal 1430H = 10 Mac 2009. Beliau mengupas lanjut kitab karangan tokoh Islam terkemuka Fathi Yakan. Berikut beberapa intisari catatan yang sempat saya tuliskan dalam buku kecil yang sering saya bawa untuk menghadiri majlis-majlis ilmu sebegini. Hanya ini yang mampu saya lakukan untuk lebih memahami Islam kerana tiada kesempatan untuk mengikuti pembelajaran secara formal berkaitan agama Islam. Peluang-peluang sebeginilah yang perlu saya ambil agar Islam terpahat kukuh di dalam diri.
Catatan:
Bab 2: Saya Mestilah Muslim di Sudut Ibadah
Catatan:
Bab 2: Saya Mestilah Muslim di Sudut Ibadah
- Kesan baik ibadah, makhluk-makhluk lain di dunia ini mendapat manfaat hasil daripada penyembahan kita kepada Allah.
- Manusia boleh mengucapkan dengan mudah akan kepatuhannya kepada Allah, tetapi adakah ia diiringi dengan amal-amal yang soleh?
- Ustaz menyatakan bahawa ulama berpesan agar pegang sekuat-kuatnya 2 perkara berikut supaya kita mendapat kebahagian di dunia dan akhirat;
- i. Apabila beramal, mohon Allah terima.
- ii. Jangan malas berdoa! Semua rasul yang diutuskan oleh Allah berdoa kepada Nya.
- Nabi s.a.w sentiasa tegas terhadap kekufuran.
- Ustaz mengulas berkaitan umat Islam di negara ini yang bukan main lagi bersemangat menyambut maulid nabi. Hebat dengan kain rentangnya, hebat dengan laungan selawat, tapi sayang...tudung tak pakai 'proper'! Adakah kita sekadar mengenali nabi pada tarikh lahir, belarak dengan megah, bagi anugerah dan hadiah? Namun, ajarannya kita letak di mana? Akhlaknya? Kita ikut atau tidak? Ustaz membaca dan menterjemahkan maksud ayat Allah, Al-Baqarah:146, Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang Kami berikan Kitab itu mengetahui serta mengenalinya (Nabi Muhammad dan Kebenaranya)sebagaimana mereka mengenali anak-anak mereka sendiri. Dan sesungguhnya sebahagian dari mereka berusaha menyembunyikan kebenaran itu, sedang mereka mengetahui (salahnya perbuatan yang demikian). Menurut ustaz lagi, ini adalah kerana di dalam kitab Taurat dan Injil disebutkan dengan jelas sifat nabi kita Muhammad s.a.w, tetapi mereka sembunyikan kebenaran itu. Ustaz melemparkan persoalan, "Adakah kita hanya menyintai Rasullullah sekadar cinta Abu Talib?" Menurut Ustaz lagi, Hamka menyatakan bahawa cinta Abu Talib itu adalah cinta yang tertolak kerana tetap dia berada di neraka Allah akibat daripada tidak beriman hingga akhir hayatnya!
- Dalam kuliah ini juga, ustaz turut mengupas isu yang sedang hangat diperkatakan sekarang iaitu isu penggunaan perkataan Allah bagi orang Kristain. Ustaz berpendirian bahawa kalau nak guna boleh, tapi jangan menyalahguna. Beliau turut membacakan ayat Allah dan membacakan terjemahannya dari surah Al-'Ankabut:63, Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu:"Siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu Ia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?" Sudah tentu mereka akan menjawab:"Allah". Ucapkanlah (wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak memahami (hakikat tauhid dan pengertian syirik). Dan Ustaz memberi contoh menyalahguna adalah seperti salah satu sayap sebuah parti politik yang mana apabila bermesyuarat, Kitab suci Al-Quran diletakkan di hadapan pengerusi/ketuanya. Yang lebih menyayat hati, ketuanya seorang wanita yang rambutnya menggerebang tidak bertudung!
- Berbalik kepada perbincangan kitab tadi, ustaz menjelaskan di antara akhlak Islam yang memberi manfaat kepada makhluk lain adalah, jangan qada hajat di atas tulang kerana tulang itu makanan bagi jin. banyak lagi contoh yang beliau berikan, seperti jangan qada hajat pada air yang tidak mengalir, dan di pangkal pohon buah yang sedang berbuah lebat.
Begitulah, sekadar catatan yang mampu saya tuliskan dalam buku catatan saya pada majlis tersebut. Wallahualam.