Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah islam dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya. [Surah Ali Imraan: Ayat19]

Rakan Iban Muslim

31 Mac 2009

Apa Dr. M Kata

Malaysiakini - 30 Mac 2009:

"Dr M expects 'firm' leadership from new PM,"

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata:

"Unfortunately as a second man (deputy) he (Datuk Seri Najib Tun Razak) hasn't performed very well. His tendency is just to follow blindly his leader," he said.

"It doesn't speak well of a leader who allows himself to be so overawed by his superior."


Kerusi Parlimen Kepala Batas Pula Bakal Kosong???


Selamat beristirehat Pak Lah!!! Tak kan Pak Lah nak duduk lagi dalam parlimen tanpa apa-apa jawatan. Kan janggal tu... Dulu sebagai Mr. PM, nanti kalau dah serah jawatan tu kepada orang lain, tak terasa hati ke? Ye la...biasanya diaorang akan kata macam-macam kepada 'mantan'. Dan 'mantan' pun akan kata macam-macam kepada yang tolong ganti. Kan susah tu... Pencen 100% lagi bagus. Kosongkan kerusi parlimen dan bagi orang lain ganti. Kalau dah tak jadi PM, sudah mestilah kena duduk kat tempat lain di dalam parlimen. Alamak...susah lah. Ada malu sikit lah...

Jalan yang agak baik...

Berehat lah....Jaga cucu...Yang lebih baik, bersedia untuk hari akhirat...

30 Mac 2009

Murtad (Bahagian 3)

Apabila Islam menghukum bunuh orang-orang yang murtad, maka persoalan sudah pasti akan timbul; tidakkah hukuman bunuh itu terlalu berat untuk dikenakan ke atas orang-orang murtad?

Dengan mengenakan hukuman berat itu, tidakkah bererti tidak ada kebebasan beragama di dalam Islam?

Bagi persoalan pertama kita perlu menginsafi bahawa seseorang yang murtad sebenarnya adalah seseorang yang telah memilih jalan sesat dengan meninggalkan jalan yang benar. Bagi pemerintah Islam yang telah yakin dengan Islam sebagai jalan yang benar, apakah akan rela membiarkan seseorang itu sesat setelah ia berada di atas kebenaran. Membiarkan seseorang itu hanyut di dalam kesesatan dan kebinasaan adalah suatu kesalahan besar. Oleh yang demikian, pemerintah mesti mengembalikan seseorang yang sesat kepada kebenaran yang telahpun ia temui. Jika tidak berjaya dikembalikan orang tersebut kepada kebenaran, maka itu bererti bahawa orang tersebut sebenarnya seorang yang membawa penyakit yang merbahaya. Penyakit itu bukan sahaja akan membinasakan dirinya seorang, malah akan membinasakan orang lain pula, mungkin masyarakat dan negara seluruhnya. Oleh yang demikian, apakah wajar orang tersebut perlu dibiarkan memusnahkan dirinya dan masyarakat juga negara? Atau dicari jalan yang paling ringan untuk mengatasi masalah itu iaitu dengan membunuh orang itu supaya terselamat orang lain dari bahaya yang dibawa olehnya.

Dalam hidup kita sehari-hari, kita selalu melihat ada anggota badan manusia yang berpenyakit dan cacat dipotong oleh doktor kerana telah diyakini jika anggota yang cacat itu tidak dipotong maka akan merebak ke anggota lain yang sihat. Begitu juga kita melihat ada manusia yang dihukum bunuh kerana kesalahan-kesalahan tertentu yang perlu dihukum bunuh yang jika tidak dibunuh maka masyarakat akan terancam. Jika kita telah menerima semuanya itu maka demikian juga dengan masalah menghukum bunuh orang yang murtad itu.

Bagi persoalan kedua bersabit dengan kebebasan beragama, maka perlulah difahami benar-benar terlebih dahulu bahawa yang sebenarnya tidak ada kebebasan mutlak di dalam dunia ini; semuanya terikat. Sekiranya kebebasan tidak terikat atau disekat maka akan hancur leburlah masyarakat seluruhnya. Sebagai contoh, di dalam negara demokrasi setiap rakyat bebas bersuara dan bebas mengeluarkan pendapat. Akan tetapi apakah semua pendapat dapat disuarakan dan apa sahaja jenis pendapat boleh dikeluarkan? Tentu sekali tidak, begitulah juga dengan contoh-contoh yang lain. Begitu juga halnya dengan kebebasan beragama. Ia bukan bererti bebas sebebas-bebasnya dalam beragama sama ada hendak menganut satu agama atau meninggalkan sesuatu agama dengan mudah tanpa sekatan. Kebebasan beragama dalam Islam bererti seseorang itu bebas beragama apa sahaja sebelum ia memeluk agama Islam, dan bebas pula mengamalkan ajaran-ajaran agama yang dianutinya. Ia juga bebasa sama ada hendak memeluk Islam atau tidak. Dalam Islam tidak boleh dipaksa seseorang itu memeluk Islam. Akan tetapi sebelum memeluk Islam hendaklah ia benar-benar faham bahawa apabila telah memeluk agama Islam maka ia tidak boleh keluar dari agama itu. Jika ia keluar maka hukuman telah ditetapkan seperti yang tersebut tadi.

Contoh kebebasan seperti yang disebutkan di atas bolehlah dicontohkan kepada kebebasan warganegara Malaysia, sama ada hendak menyertai perkhidmatan polis atau tentera, bagi orang yang layak dan peluang terbuka untuk berbuat demikian. Menyertai perkhidamatan polis atau tentera adalah bebas. Akan tetapi setelah menerima perkhidmatan itu dengan segala syarat-syaratnya, apakah seseorang itu akan bebas sama ada hendak mengikuti arahan-arahan ataupun meninggalkan perkhidmatan itu dengan sewenang-wenangnya. Kita semua faham bahawa setelah menerima dan memasuki perkhidmatan-perkhidmatan berkenaan undang-undang dan peraturan menjadi pengawal utama yang mengikat kebebasan seseorang. Sesiapa yang melanggar peraturan-peraturan tersebut ia akan dihukum, demikian jugalah dengan kebebasan beragama di dalam Islam.


Sumber: Manusia dan Islam Jld. 2

29 Mac 2009

2 Bukit 1 Batang

Penamaan Calon di 2 Bukit dan Batang Ai (Air) telahpun selesai. 3 Calon di Bukit Gantang, 2 calon di Batang Ai, dan 15 calon di Bukit Selambau.

Di Bukit Gantang dan Batang Ai pertembungan 3 dan 2 pihak tidaklah begitu pelik, namun nak fokus di Bukit Selambau sehingga 15 orang calon. Mungkin tidaklah pelik sangat, tapi mengapa sampai begitu sekali.

Nak pecah undi? Masing-masing ikhlas untuk wakili rakyat? Saja syok-syok? Test market? Test glamour? Untuk parti? Pangkat? Kedudukan?

Walau apapun persoalan yang kita legarkan di benak fikiran yang waras, yang pasti semua hendak menang.

Persoalannya, untuk apa? Adakah untuk diri? Untuk agama? Untuk meneruskan pemerintahan kerajaan yang baik? Untuk mengubah dari yang baik ke tidak baik?

Orang Bukit Selambau!!! Hati-hati memilih pemimpin. Ada sedikit tips;

1. Orang Islam, tetapi apabila diberi amanah dia mengkhianati Islam...Sila tolak!
2. Orang Islam, tetapi tujuannya untuk meruntuhkan Kerajaan sedia ada yang telahpun baik....Sila tolak!
3. Orang Islam, tujuan tegakkan Islam, meneruskan perjuangan Islam, Sila Pangkah (Kalau ada)!!!
4. Orang Belum Islam, tujuannya meneruskan Kerajaan yang sedia ada yang diyakini Kerajaan yang baik, LAYAK PANGKAH!!!
5. Orang Belum Islam, kalau diberi amanah akan memudaratkan Islam, tolak awal2.


Sekadar pandangan dan catatan saya.

26 Mac 2009

Murtad (Bahagian 2)

Demi kemaslahatan dan kepentingan manusia, persoalan menukar agama dari Islam kepada agama lama perlu diberi kawalan yang ketat dan rapi. Orang Islam tidak dibenarkan menukar agamanya sama sekali. Sesiapa yang menukarnya juga, maka menurut undang-undang Islam hukuman yang wajib dijatuhkan ke atas mereka adalah hukuman bunuh.

Rasulullah s.a.w bersabda (terjemahan) :

"Sesiapa (orang Islam) yang menukar agamanya maka bunuhlah ia. "

(Riwayat kebanyakan Ahli Sunan)

Ketika Rasulullah s.a.w menghantar sahabatnya yang bernama Mu'az bin Jabal ke Yaman pada zaman pemerintahannya untuk menjadi hakim di sana; Rasulullah s.a.w mengingatkan Mu'az jika sekiranya kamu dapati ada orang-orang yang murtad maka bunuhlah ia.

Abu Bakar r.a ketika menjadi khalifah, selepas wafatnya Rasulullah s.a.w telah memerangi orang-orang murtad pada zaman tersebut. Semua sahabat baginda tidak membantah, malah turut sama memerangi orang-orang murtad itu, hingga keadaan tenang kembali semula. Ulama Islam seluruhnya berijma' mengatakan bahawa sememangnya hukuman ke atas orang murtad adalah bunuh. Murtad boleh terjadi dengan pengakuan yang jelas dari seseorang, atau dengan perbuatan yang boleh disabitkan sebagai murtad.

Hukuman bunuh untuk orang-orang murtad itu bukanlah boleh dibuat sewenang-wenangnya. Jika berlaku kes murtad, maka pihak yang berkuasa perlu membicarakan kes-kes itu dengan sejelas-jelasnya. Sekiranya di dalam soal jawab akan sebab-sebab mengapa mereka murtad ternyata bahawa mereka telah tersalah faham terhadap Islam atau terpengaruh dengan dakyah jahat musuh-musuh Islam, maka setelah berpuas hati dengan keterangan-keterangan dan jawapan-jawapan yang diberikan kepada mereka, mereka boleh dianggap telah kembali semula kepada Islam dengan bertaubat.


Sumber catatan: Manusia dan Islam Jld. 2

Mari Belajar Bahasa Iban @ Aram Belajar Bahasa Iban

Apa khabar?
Nama berita?

Saya sihat.
Aku gerai.

Sudah makan?
Udah makai?

Belum.
Bedau.

Tinggal di mana?
Diau dini?

Rumah panjang.
Rumah panjai.

Sudah sembahyang kah?
Udah semayang ka?

Sudah.
Udah.

Jom kita minum air sejuk.
Aram tua ngirup ai chelap.

Tak nak lah. Saya nak makan nasi.
Enggai la. Aku ka makai asi.

Di mana?
Dini?

Kedai makan di seberang jalan.
Kedai makai di seberai jalai.

Wanita Hari Ini


Inilah gelagat penyokong-penyokong wanita apabila pemimpin sokongan mereka memenangi "Amanah".

Menjerit, terpekik, terlolong... Inikah sifat sebagai seorang kaum Hawa? Kelembutan kaum hawa tidaklah perlu dikikis dan terus dikikis. Kurang manis kalau begitu. Jika diikut adab sopan, budi bahasa orang Melayu pun, kalau nak ketawa jangan la sampai terbahak-bahak, inikan pulak menjerit-jerit. Kalau hendak zahirkan "kesyukuran", ucapkan rasa syukur tersebut dengan cara seorang wanita. Kalau menguap pun, kita dituntut untuk menutup mulut...takut syaitan masuk.

Anda nilai lah sendiri. Saya hanya menulis dan mencatat. Kalau ini yang terbaik kita corakkan dalam masyarakat hawa di negara kita, anda sokonglah...anda sanjunglah... kalau sebaliknya, anda fikirlah sendiri.

***yang mahal...jambulnya pak...

22 Mac 2009

Murtad (Bahagian 1)

Murtad bermaksud kembali menjadi kafir setelah Islam. Islam adalah agama Allah yang sebenar, agama yang amat sesuai dengan tabiat semula jadi manusia. Orang-orang yang memeluk agama Islam sama ada secara aslinya, beragama Islam atau memeluk agama ini sesudah sebelumnya ia beragama lain ialah orang-orang yang telah mendapat petunjuk daripada Allah. Terjemahan daripada firman Allah yang bermaksud:

"Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi petunjuk kepadanya, nescaya dilapangkan (membukakan hatinya) untuk menerima (memeluk) agama Islam."
(Al-An'am, 6:125)

Orang yang telah mendapat petunjuk Allah ialah orang yang beruntung yang berada di atas kebenaran. Tidak ada yang lebih bertuah kepada seorang manusia selain dari ia berada di atas jalan yang benar yang diredhai Allah. Orang yang beragama Islam adalah orang yang paling bertuah dan beruntung. Oleh yang demikian maka perlulah setiap orang berpegang dengan agama ini sebaik-baiknya. Sebarang usaha untuk meninggalkan agama adalah usaha yang akan menjauhkan manusia dari kebenaran yang akan menyesatkannya dari jalan yang benar.

Untuk menjaga supaya yang benar itu tetap benar dan yang berada di atas petunjuk Allah itu kekal di atas petunjuk tersebut, maka Allah s.w.t telah meletakkan undang-undangnya yang bertujuan untuk menjaga manusia, demi maslahat dan kebahagiaannya di dunia dan di akhirat. Maksud firman Allah:

"...dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari agamanya (agama Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya (selama-lamanya).

(Al-Baqarah, 2:217)

Terjemahan ayat al-Quran di atas merupakan suatu peringatan dan ancaman kepada orang yang murtad, iaitu mereka akan rugi seruginya di dunia dan di akhirat. Malah Allah dengan tegas menyatakan di dalam ayat itu bahawa orang-orang murtad itu tempatnya telah jelas iaitu di dalam neraka dan akan kekal selama-lamanya.

Sumber: Manusia dan Islam Jld 2.
bersambung di bahagian akan datang...

21 Mac 2009

Sukan dan Islam

Hari ini agak keletihan kerana seharian berada di dalam dewan sebagai pemerhati kejohanan sukan sepak takraw pelajar. Sepanjang majlis, sambil memerhati, menonton, dan akhirnya terfikir di dalam diri dan terdetik satu pertanyaan dan pengharapan yang sekelian lama terpendam di lubuk hati.


Bilakah agaknya sukan di Malaysia ini lebih Islamik?


Makna mudah bagi Islamik dalam konteks ini adalah apabila peserta yang terlibat dalam apa jua acara sukan dari peringkat yang paling rendah sehinggalah menyertai apajua pertandingan sukan peringkat tertinggi di dalam dunia ini, di mana rakyat Malaysia yang menyertai acara sukan tersebut (khusus dan utama kepada orang Islam) menutup aurat.

Satu ketika yang belum begitu lama, saya pernah memangku sebentar tugas sebagai Pegawai Sukan. Dalam satu mesyuarat Majlis Sukan, saya telah nekad untuk mencadangkan agar pelajar beragama Islam yang menyertai apa jua acara sukan diwajibkan untuk menutup aurat. Bagi yang non-Muslim saya cadangkan sekadar digalakkan (ikut suka).

Seingat saya, dalam mesyuarat tersebut 99.1% adalah orang Melayu Islam, yang lebihnya saya, Iban Muslim. Pendek kata 100% Islam. Ada di kalangan pegawai sukan tersebut yang menyokong. Tetapi bukan semasa cadangan itu dibuat, cuma membisikkan sokongan kepada saya setelah selesai mesyuarat. Takut kot...bacul!

Episod yang paling menyedihkan, respon daripada pengerusi mesyuarat pada masa itu. Ya...orang besar. Bertaraf pemimpin bagi yang dipimpin. Ada pengaruh dalam majlis tersebut. Saya orang kerdil sahaja. Cadangan saya itu umpama menjolok sarang tebuan!

Dia kata, "Kita jangan lupa, di luar sana banyak pertubuhan-pertubuhan (baca NGO) yang mengintai-ngintai. Ini isu sensitif. Sukar dilaksanakan. Susah. Payah."... dan pelbagai 1001 alasan lagi yang diberi sebagai tanda tidak setuju. Disokong pula dengan seorang pegawai dari HQ yang menceritakan pengalamannya memimpin pasukan bolasepak peringkat ini dan ini. Semuanya ke arah tidak setuju dengan cadangan tadi.

Lantas, di tengah-tengah kepanasan isu tersebut, saya cuba menjelaskan kaedah. Kaedahnya adalah, kita cuma letakkan di dalam syarat-syarat pertandingan. Yang muslim wajib tutup aurat, dan yang non-muslim cuma digalakkan (tak wajib, cuma sopan). Saya menjelaskan lagi bahawa perkara ini adalah bertujuan agar pelajar tersebut kita didik untuk bersukan cara Islam. Yang nampak jelas adalah soal aurat! Itu tujuan saya. Lagipun saya katakan bahawa kami di zon utara (Perlis, Kedah, Pulau Pinang) sudah mencuba untuk menguatkuasakan kewajiban menutup aurat bagi pelajar Muslim dalam pertandingan bola sepak di peringkat zon utara. Ternyata berhasil. Malah yang non-muslim turut menutup aurat mereka. Kan cantik kalau begitu!

Namun, cadangan tersebut tidak diambil peduli hinggalah hari ini. Walaupun usul saya itu boleh dikatakan tidak berjaya, namun jauh di sudut hati kecil ini mengatakan bahawa..." Ya Allah, aku sudah mencuba untuk menegakkan satu daripada beribu kewajipan di dalam agamamu, namun aku tidak berdaya. Aku tewas dengan manusia yang lebih takutkan manusia daripadaMu..."

Oleh kerana tidak pernah ditegaskan penguatkuasaan menutup aurat ini, maka perkara mendedahkan aurat semasa bersukan ini sudah menjadi kebiasaan di mana-mana. Malah, kalau hendak menjadi pengadil bola sepak yang berlesen, anda mesti memakai seluar pendek dan tidak boleh berseluar panjang atau menggunakan seluar yang menutup sehingga di bawah paras lutut. Ramai yang redha. Kalau tak percaya, perhatikanlah seluar yang pengadil bola sepak pakai di tengah padang.

Inilah rencah kehidupan yang perlu kita lalui. Walaupun sakit mata memandang, namun tanyalah diri kita; siapa kita yang mampu mengubah semua ini?

18 Mac 2009

Murtad atau tak jadi masuk Islam?

Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang dalam: penghakimannya sebelum ini mengarahkan Maipp membatalkan Sijil Memeluk Islam Siti Fatimah Tan dan menolak permohonan responden (plaintif) supaya mahkamah memerintahkan Jabatan Pendaftaran Negara memadamkan perkataan Islam pada kad pengenalannya dengan alasan ia bukan berada di bawah bidang kuasa mahkamah serta responden dinasihatkan mengurus sendiri hal tersebut.

Ini kerana walaupun sudah memeluk agama Islam, tetapi Fatimah tidak pernah melakukan ibadat atau amalan yang menggambarkannya sebagai seorang Islam seperti pengakuannya dalam perbicaraan sebelum ini berdasarkan kepada Seksyen 61 (3) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Tatacara Mal Negeri Pulau Pinang).

Berdasarkan kepada keterangannya, jelas Siti Fatimah Tan tidak pernah mengamalkan ajaran Islam setelah memeluk agama Islam seperti dikehendaki oleh Seksyen 61 (3) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Tatacara Mal Negeri Pulau Pinang) yang menyebut: “Bagaimanapun seseorang itu belum lagi menjadi orang Islam kalau belum diterima sebagai orang Islam dari segi amalannya”.

Ia juga adalah selaras dengan Seksyen 108 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Pulau Pinang) yang menyebut “orang yang memeluk Islam menjadi seorang Islam sebaik sahaja dia habis mengucap dua kalimah syahadah dengan syarat beban kehendak Seksyen 107 enakmen yang sama dipenuhi. Orang itu kemudian akan disebut sebagai mualaf.

Seksyen 107 (1) (a) dan (b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004 menyebut seseorang itu mesti mengucap dua kalimah syahadah dalam bahasa Arab secara jelas serta semasa mengucap hendaklah dalam keadaan sedar bahawa kalimah itu bermakna aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan aku naik saksi bahawa Muhammad itu pesuruh Allah.

Sumber: Sinar Harian-18 Mac 2009



Ulasan Saudarabaharu

Saya akui saya jahil bab-bab perundangan dan juga seorang insan yang bukan arif dalam agama Islam, namun izinkan saya memberikan beberapa ulasan "logik akal" dengan menggunakan anugerah akal yang dikurniakan oleh Allah.

Jika kita teliti, Seksyen 61 (3) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Tatacara Mal Negeri Pulau Pinang) yang menyebut: “Bagaimanapun seseorang itu belum lagi menjadi orang Islam kalau belum diterima sebagai orang Islam dari segi amalannya”. Persoalan yang berlegar di dalam kepala otak saya : adakah Enakmen ini hanya digunapakai untuk para mualaf sahaja? Kalau digunapakai untuk keseluruhan orang Islam, pernah atau tidak satu kajian berkaitan pematuhan umat Islam kepada pengamalan agama Islam sepertimana yang termaktub di dalam perundangan tersebut di negara ini, khususkan lagi di negeri di mana enakmen ini dikuatkuasakan?

Bukannya apa, cumanya pada pendapat peribadi saya yang dangkal ini, selepas ini berduyun-duyunlah para mualaf yang merasakan agama Islam ini tidak sesuai untuk kehidupan mereka untuk keluar semula ke alam jahiliah. Pada saya, ini bukan perkara yang boleh "try and error". Soal kita dengan Tuhan!

Selama mana seseorang mualaf itu mengucapkan dua kalimah syahadah sehinggalah hari ini, apa yang pihak berwajib telah lakukan untuk mendekati mereka? Apa aktiviti pemantapan akidah yang telah diusahakan untuk golongan seperti kami? Pernah atau tidak lawatan ziarah mendekati golongan ini? Setakt mana bimbingan amalan Islam telah diberikan kepada para mualaf sehinggakan mereka boleh membawa diri mereka bersama Islam?

Maka, tidak hairanlah kita selepas ini pihak berwajib tidak menang tangan untuk menangani kes mualaf keluar Islam kerana percubaan Fatimah Tan Abdullah ini telah BERJAYA!

Mengikut pengalaman peribadi saya sebagai seorang mualaf, proses pengeluaran sijil pengIslaman sehinggalah mendapatkan kad pengenalan ini adalah satu proses yang panjang. Tetapi mudah! Selesai sahaja mengucap dua kalimah syahadah, maka layaklah seseorang itu menerima sijil pengIslaman. Sepatutnya sijil pengIslaman ini hanya boleh dikeluarkan selepas melepasi tapisan penghayatan dan pengamalan Islam, sebagai contoh, selepas menghadiri kursus pemantapan akidah, atau apa sahaja program-program seperti program induksi yang memberikan didikan amalan dan kefahaman berkaitan Islam itu sendiri.

Akibat daripada terlalu mudah sijil ini dikeluarkanlah kes ini berlaku hari ini. Kalau ditanya kepada saya di mana salahnya, atau siapa yang bersalah? Saya akan menyalahkan pihak berwajib serta masyarakat sekeliling yang tidak membimbing golonga seperti kami untuk bersama-sama Islam!

Apa-apapun, yang empunya diri akan mendapat balasan setimpal dari "Tuan Punya Dunia" yakni Allah! Manusia ini ada dua pilihan sahaja. Syurga atau Neraka! Wallahualam.


17 Mac 2009

Nak Bersanding Pun Ada Tol?

Catatan ini adalah kesinambungan catatan bertajuk "Bersanding...Acuan Mana?". Catatan ini hanya sempat saya masukkan ke dalam blog ini setelah sampai ke Jitra. Kepenatan mengharungi perjalanan menyelusuri lebuhraya utara selatan masih lagi terasa. Bukannya free, kena bayar tol!

Zaman ini kebanyakkannya memerlukan duit. Tiada fulus, jangan cakap! Bahasa kasarnya begitulah.

Baiklah. Kembali kepada perbicaraan topik di atas. Menjelang jam 3 petang 16 Mac 2009, di saat hujan renyai-renyai yang masih belum berhenti dari awal subuh tadi, kedengaran keriuhan bunyi-bunyian kompang yang menandakan pasukan rombongan pengantin lelaki tiba di rumah pengantin perempuan. Sambil mendukung putera bongsu, saya tidak ketinggalan merakamkan beberapa kepingan foto sepanjang majlis tersebut dengan menggunakan telefon bimbit. Setibanya pengantin lelaki di hadapan laman rumah, kelihatan para kanak-kanak, muda-mudi, dan tidak ketinggalan 'orang lama' bersusun-susun dan berasak-asak di hadapan pintu sambil menadah tangan kepada pengantin yang baharu hendak memasuki rumah pengantin untuk tujuan bersanding. Mujurlah pemuda yang menjadi pengapit beliau sudah bersedia dengan sampul "cash n go". Satu persatu beliau hulurkan kepada tol-tol yang lebih banyaknya daripada tol yang dilalui semasa perjalanan dari utara ke selatan, cuma nilainya mungkin berbeza.

Selesai melayan gerombolan tol yang pertama di halaman rumah, ingatkan pengantin beserta rombongan boleh menarik nafas lega, tetapi sangkaan itu meleset sama sekali. Di pintu masuk kelihatan keadaan yang sama. Susur nak memasuki rumah sudah dipenuhi oleh kanak-kanak, pemuda-pemudi, serta 'orang-orang lama' yang sedia beratur menunggu giliran mendapat 'hak' masing-masing. Fuhh...mujur sampul merah itu ada lagi. Kalau tidak, malu pun dapat... Sekatan kedua diterobos dengan bergayanya.

Pengantin perempuan yang telah disolek rapi sudah siap siaga di atas pelamin yang dihias indah. Sabar sahaja lah wahai pengantin lelaki. Tu... bersusun lagi orang-orang tol di hadapan pelamin. Semuanya itu perlu ongkos. Ingat senang nak duduk sebelah pasangan? Bayar dulu! Mujurlah pemuda pengapit itu sabar melayan kerenah juru tol yang ramai itu. Yang dah dapat di halaman rumah tadi pun jadi juru tol di depan pelamin. Kena bayar lebih lah si pengantin ni. Sayangkan bini, hulur-hulurkan lah kan...?

Tiga lapisan tol yang tidak kurang 20 orang setiapnya selesai diharungi. Saya kira, tidak kurang 20 minit untuk sampai ke tempat duduk pelamin dari halaman rumah, yang biasanya boleh dilalui beberapa saat sahaja.

Selesai sahaja halangan-halangan tersebut, baharulah sesi persandingan dapat dimulakan. Kedua mempelai dipertontonkan kepada hadiran yang hadir. Senyum simpul, jeling-menjeling. Juru gambar yang ditempah khas dan juru gambar yang tiada permit seperti saya tidak ketinggalan untuk merakamkan beberapa posisi sepanjang majlis tersebut.


Ulasan pencatat


Saya memikirkan tol-tol di dalam majlis persandingan ini tidak lebih daripada satu agenda yang diadakan khas untuk keseronokan dan memeriahkan majlis tersebut. Tetapi kita kena memikirkan sekiranya perkara ini terus-terusan diamalkan ia akan menjadi satu budaya! Sebagaimana majlis bersanding itu sendiri. Dulunya mungkin majlis bersanding itu untuk seronok-seronok dan memeriahkan majlis. Tetapi hari ini ia seakan-akan menjadi upacara wajib. Usah kita sebut pasal majlis artis-artis, yang bukan artis pun bukan main sakan lagi bersanding. Tol untuk bersedekah saya fikir tidak salah, tetapi bertempat ke sedekah kita itu? Nak sedekah biar bertempat kepada yang layak. Kalau kamu mampu tiada masalahlah. Persoalan yang ingin saya bawakan di sini adalah sekiranya pengantin bajet rendah... Di mana dia nak dapatkan bayaran tol ini. Bukan apa, takut dibudayakan.

Tol itu satu bab. 'Menepung tawar'? Yang ini dari mana datangnya pula? Uhh...sesungguhnya aku lemah. Aku tidak berdaya. Wahai orang-orang yang berdaya...kalau ini tidak salah, maka diamlah...kalau ini salah dan boleh memudaratkan, maka bersuaralah!


15 Mac 2009

Siapa Layak Terima Zakat?

At-Taubah ayat 60:

"Sesungguhnya zakat-zakat itu, hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, pengurus-pengurus zakat, para muallaf yang dibujuk hatinya, untuk (memerdekakan) budak, orang-orang yang berhutang, untuk jalan Allah dan orang-orang yang sedang dalam perjalanan, sebagai sesuatu ketetapan yang diwajibkan Allah; dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana"

Ada 8 asnaf zakat iaitu:
1. Fakir
2. Miskin
3. Amil
4. Muallaf
5. Riqab
6. Gharim
7. Fisabillilah
8. Ibnu Sabil

Zakat akan diagihkan kepada beberapa asnaf. Asnaf-asnaf tersebut ialah:

o ASNAF FAKIR - Fakir ialah orang Islam yang tidak mempunyai harta hasil usaha (pekerjaan) yang halal dan layak dengannya untuk memenuhi keperluan dirinya dan tanggungannya termasuklah makanan, pakaian, tempat tinggal dan keperluan-keperluan lain.

o ASNAF MISKIN - Miskin ialah orang Islam yang mempunyai harta dan hasil usaha (pekerjaan) yang halal dan layak dengannya tetapi masih tidak mencukupi untuk menanggung keperluan dirinya dan tanggungannya.

o ASNAF AMIL - Orang yang dilantik / ditauliahkan oleh Sultan atau Naibnya untuk penyelenggaraan hal-hal zakat.

o ASNAF MUALLAF - Orang yang baru memeluk Islam iaitu "orang yang dijinakkan hatinya" dengan diberi bantuan supaya mereka teguh mencintai Islam.

o ASNAF RIQAB - Iaitu hamba mukatab yang ingin memerdekakan dirinya.

o ASNAF GHARIMIN - Orang Islam yang berhutang untuk memenuhi keperluan asasi bagi permasalahan diri atau keluarga tanggungannya atau orang yang berhutang untuk menyelesaikan masalah masyarakat dan memerlukan :
i. Orang yang berhutang itu tidak mampu menjelaskan hutangnya.
ii. Hutang itu hendaklah dalam perkara taat yang diharuskan syarak.
iii. Hutang telah sampai tempoh untuk dijelaskan.

o ASNAF FISABILILLAH - Fisabililah ialah tiap-tiap perbuatan / perkara yang menjurus kepada keperluan dan masalah untukmenegakkan syiar Islam.

o ASNAF IBNI SABIL - Orang Islam yang kehabisan perbelanjaan dalam perjalanan atau orang yang hendak memulakan perjalanan sedangkan ia tidak mempunyai belanja dengan syarat:
i. Ia mengembara dari negeri tempat tinggalnya.
ii. Pengembaraan diharuskan oleh syarak.

Mualaf penerima zakat (asnaf zakat)

SOALAN:

Mualaf disebut sebagai asnaf zakat. Persoalannya, berapa lamakah mereka dikira sebagai asnaf dan apakah bentuk-bentuk bantuan yang disediakan kepada mualaf?

Jawapan:
Mualaf merupakan asnaf yang muqaddam (utama) dalam agihan harta zakat. Allah SWT meletakkan asnaf mualaf sebagai utama, memandangkan golongan ini masih lemah imannya dan perlu dilunakkan hati mereka kepada Islam.

Dalam konteks amalan di Selangor, seseorang itu masih dianggap mualaf sehingga usia keIslamannya memasuki lima tahun. Selepas dari itu, mereka dianggap sama tarafnya seperti muslim yang lain.

Banyak bantuan yang boleh disalurkan kepada mereka, sama ada sara diri, bantuan pendidikan, perkahwinan, modal perniagaan, dan sebagainya. Seperkara yang wajar diingatkan, seorang mualaf itu masih berhak menerima zakat biar pun dia seorang yang tidak miskin.

Ini kerana, dia menerima zakat atau asnaf mualaf yang bertujuan untuk mengukuhkan keimanannya, sedangkan fakir miskin dibantu adalah demi keperluan hidupnya.

-Lembaga Zakat Selangor, Majlis Agama Islam Selangor.-

Petikan daripada Utusan Malaysia, 13 Mac 2009.

14 Mac 2009

Budaya bersanding...Acuan mana?

Hari ini saya masih berada di Negeri Johor Darul Ta'zim, setelah mengharungi perjalanan yang agak jauh sebagai musafir. Sampai di Mersing awal pagi 13 Mac 2009, sebelum subuh. Uhh... 9 jam 30 minit dari Jitra pada kelajuan mengikut had laju kebangsaan. Kelajuan pun ikut 'kebangsaan' ya... Harapnya bukan "perkauman". Alhamdulillah diberi kekuatan oleh Nya untuk drive dan sampai dengan selamat. Balik ke sini untuk menghadiri majlis pernikahan adik ipar yang berlangsung selepas waktu zohor tadi. Kendurinya insyaAllah besoknya.

Tetapi motif utama catatan ini bukanlah sangat hendak menceritakan perjalanan ini, tetapi saya ingin muhasabah diri dan sesiapa yang terbaca catatan ini terhadap beberapa perkara yang pada pemerhatian dan pemikiran saya ianya adalah perkara yang penting untuk difikirkan dan seterusnya diambil perhatian wajar dan drastik oleh pihak yang berwajar.

Pertama
Sesampainya di rumah pada awal pagi yang hening itu, tersedia di dalam rumah pelamin yang telahpun dihiasi indah. Ini bermakna dalam majlis ini nanti pastilah akan ada sesi persandingan! Seminggu atau dua minggu yang lepas, malah sebelum-sebelum ini para ustaz memperkatakan dengan tegas berkaitan isu persandingan di dalam majlis kenduri perkahwinan masyarakat Islam khususnya di dalam masyarakat kita pada hari ini. Syarak amatlah melarang budaya bersanding ini kerana ia adalah amalan penganut agama Hindu. Ini adalah perkara besar yang ingin saya "highlight' dalam catatan kali ini di samping beberapa isu yang lain yang bakal saya catatkan nanti. Siapa sebenarnya yang perlu membasmi gejala ini daripada terus dihayat oleh masyarakat Islam di Malaysia?

Pendapat yang cetek daripada saya berkaitan isu ini adalah dengan menggunakan mimbar Jumaat untuk membenteras secara habis-habisan budaya ini. Melalui majlis-majlis ilmu di masjid-masjid atau surau-surau bukannya tidak boleh, tetapi berapa kerat sangatlah masyarakat hari ini memautkan hati masing-masing dengan masjid mahupun surau. Solat Jumaat secara majoriti masyarakat Islam akan berduyun-duyun berkunjung ke Masjid. Dengan kesempatan tersebut, para tok khatib 'brain-wash' jemaah yang datang berkaitan isu sebegini. Perlu dilakukan seluruh negara. Itu yang saya fikirkan.


Kedua

Di dalam agenda untuk besok hari akan ada satu sesi lagi selepas sesi bersanding iaitu sesi 'makan beradad' atau 'makan bedamai'. Itu istilah yang orang sini gunakan untuk acara makan di mana kedua-dua mempelai akan saling makan sebelah-menyebelahi dan suap-menyuapi di antara satu sama lain. Kes ini nampak biasa tetapi risikonya saya fikirkan menyamai kes Pertama yang saya bawakan di atas. Di Kedah, tempat saya bermastautin sekarang, alhamdulillah budaya bersanding sudah tidak dilakukan lagi. Sekiranya ada pun sesetengah golongan yang boleh dikategorikan sebagai 'totok'. Golongan sukar berubah! Namun, makan beradap ini masih ada lagi. Menurut Ustaz Ahmad Yahya (Mudir Madrasah Taklimiah, Tok Keling), makan beradap ini sama seperti majlis bersanding. Dipertontonkan kepada khalayak di mana kedua-dua pengantin duduk bersandingan sambil menikmati juadah yang disediakan, dan yang membezakannya adalah konsepnya! Semasa bersanding pengantin duduk di atas pelamin sambil berbalas senyuman, jeling-menjeling, sambil itu jurukamera akan mengambil pelbagai posisi gambar, dan disaksikan oleh hadirin yang hadir. Dan semasa majlis bersanding ini, sesi 'menepung tawar' turut diadakan.

Manakala semasa 'makan beradap', pengantin akan duduk samping-menyamping sambil makan pelbagai makanan yang sedap. Walaupun ada juga ahli keluarga makan bersama-sama, namun pengantinnya tetap duduk serupa bersanding! Raja Sehari ini ketika makan pun dipertontonkan kepada khalayak pada hari itu.


Ulasan

Budaya ini masih menebal pada hari ini. Mungkin pihak berwajib masih belum berkesempatan menangani perkara ini. Saya memikirkan bahawa kedua-dua konsep di dalam majlis perkahwinan ini diberikan perhatian oleh kita semua agar kecantikan, kemolekan, keindahan, dan berbagai-bagai lagi keunikan di dalam agama Islam ini tidak dicemari oleh budaya yang kita celup daripada amalan agama luar dari Islam itu sendiri. Saya mungkin agak baharu sebagai ahli Islam, namun kecintaan saya pada agama ini mendorong saya mencatat apa sahaja yang termampu sebagai satu usaha ke arah menjadi "orang kaya" di akhirat kelak. Bukanlah niat untuk menjadi duri dalam daging, tetapi "yang benar tetap benar, dan yang salah tetap salah". Ini tidak perlu kroni. Ini tidak perlu 'kabel'. Yang benar perlu ditegakkan, yang salah perlu diperbetulkan!

3 Jenis Hakim

Dari Buraidah, Nabi s.a.w bersabda:

"Hakim ada tiga golongan; satu yang akan masuk syurga, dan dua lagi akan masuk neraka. Yang akan masuk syurga ialah seorang yang mengetahui apa yang benar dan memberi keputusan mengikutnya (kebenaran itu); akan tetapi, seorang yang tahu apa yang benar tetapi melakukan kezaliman di dalam keputusannya akan masuk neraka; dan seorang yang memberi keputusan antara orang-orang sedangkan ia jahil akan masuk neraka."

[Sunan Abu Daud - Kitab al-Aqdiyyah]

Di saat dan tika pelbagai keadaan yang tidak menentu di zaman ini, sama-samalah kita muhasabah diri dan merenung sedalam-dalam untaian hadis dari junjungan tercinta Nabi Muhammad s.a.w ini agar setiap pengadilan yang kita putuskan menepati ciri seperti jenis hakim yang pertama. Jangan hanya kerana kepentingan duniawi, ada pihak yang merana; yang tanpa kita sedari keputusan yang tidak adil kita telah buat akan menyebabkan kita bersama-sama hakim yang kedua dan ketiga.

12 Mac 2009

Apa Ertinya Saya Menganut ISLAM?

Catatan sempena kuliah maghrib bulanan yang disampaikan oleh Ustaz Halim Nasir di Madrasah Darul Abror, Tok Jalai, Jitra. Bertarikh 13 Rabiul Awal 1430H = 10 Mac 2009. Beliau mengupas lanjut kitab karangan tokoh Islam terkemuka Fathi Yakan. Berikut beberapa intisari catatan yang sempat saya tuliskan dalam buku kecil yang sering saya bawa untuk menghadiri majlis-majlis ilmu sebegini. Hanya ini yang mampu saya lakukan untuk lebih memahami Islam kerana tiada kesempatan untuk mengikuti pembelajaran secara formal berkaitan agama Islam. Peluang-peluang sebeginilah yang perlu saya ambil agar Islam terpahat kukuh di dalam diri.

Catatan:

Bab 2: Saya Mestilah Muslim di Sudut Ibadah
  • Kesan baik ibadah, makhluk-makhluk lain di dunia ini mendapat manfaat hasil daripada penyembahan kita kepada Allah.
  • Manusia boleh mengucapkan dengan mudah akan kepatuhannya kepada Allah, tetapi adakah ia diiringi dengan amal-amal yang soleh?
  • Ustaz menyatakan bahawa ulama berpesan agar pegang sekuat-kuatnya 2 perkara berikut supaya kita mendapat kebahagian di dunia dan akhirat;
  • i. Apabila beramal, mohon Allah terima.
  • ii. Jangan malas berdoa! Semua rasul yang diutuskan oleh Allah berdoa kepada Nya.
  • Nabi s.a.w sentiasa tegas terhadap kekufuran.
  • Ustaz mengulas berkaitan umat Islam di negara ini yang bukan main lagi bersemangat menyambut maulid nabi. Hebat dengan kain rentangnya, hebat dengan laungan selawat, tapi sayang...tudung tak pakai 'proper'! Adakah kita sekadar mengenali nabi pada tarikh lahir, belarak dengan megah, bagi anugerah dan hadiah? Namun, ajarannya kita letak di mana? Akhlaknya? Kita ikut atau tidak? Ustaz membaca dan menterjemahkan maksud ayat Allah, Al-Baqarah:146, Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang Kami berikan Kitab itu mengetahui serta mengenalinya (Nabi Muhammad dan Kebenaranya)sebagaimana mereka mengenali anak-anak mereka sendiri. Dan sesungguhnya sebahagian dari mereka berusaha menyembunyikan kebenaran itu, sedang mereka mengetahui (salahnya perbuatan yang demikian). Menurut ustaz lagi, ini adalah kerana di dalam kitab Taurat dan Injil disebutkan dengan jelas sifat nabi kita Muhammad s.a.w, tetapi mereka sembunyikan kebenaran itu. Ustaz melemparkan persoalan, "Adakah kita hanya menyintai Rasullullah sekadar cinta Abu Talib?" Menurut Ustaz lagi, Hamka menyatakan bahawa cinta Abu Talib itu adalah cinta yang tertolak kerana tetap dia berada di neraka Allah akibat daripada tidak beriman hingga akhir hayatnya!
  • Dalam kuliah ini juga, ustaz turut mengupas isu yang sedang hangat diperkatakan sekarang iaitu isu penggunaan perkataan Allah bagi orang Kristain. Ustaz berpendirian bahawa kalau nak guna boleh, tapi jangan menyalahguna. Beliau turut membacakan ayat Allah dan membacakan terjemahannya dari surah Al-'Ankabut:63, Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu:"Siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu Ia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?" Sudah tentu mereka akan menjawab:"Allah". Ucapkanlah (wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak memahami (hakikat tauhid dan pengertian syirik). Dan Ustaz memberi contoh menyalahguna adalah seperti salah satu sayap sebuah parti politik yang mana apabila bermesyuarat, Kitab suci Al-Quran diletakkan di hadapan pengerusi/ketuanya. Yang lebih menyayat hati, ketuanya seorang wanita yang rambutnya menggerebang tidak bertudung!
  • Berbalik kepada perbincangan kitab tadi, ustaz menjelaskan di antara akhlak Islam yang memberi manfaat kepada makhluk lain adalah, jangan qada hajat di atas tulang kerana tulang itu makanan bagi jin. banyak lagi contoh yang beliau berikan, seperti jangan qada hajat pada air yang tidak mengalir, dan di pangkal pohon buah yang sedang berbuah lebat.

Begitulah, sekadar catatan yang mampu saya tuliskan dalam buku catatan saya pada majlis tersebut. Wallahualam.

11 Mac 2009

Jamak dan Qasar

Catatan Sempena Kuliah Subuh yang disampaikan oleh Ustaz Mutalib Maarof di Madrasah An-Nandhoh, Kubang Semang, Pulau Pinang. (8 Mac 2009, Ahad)- Kitab Sairus Salikin.

Catatan:
  • Solat secara jamak dan qasar bagi dua waktu solat (Zohor dan Asar, Maghrib dan Isya’) adalah fardhu dalam keadaan musafir dengan syarat musafir tersebut atas tujuan yang baik (bukan tujuan maksiat) dan jarak perjalanan yang ditempuhi adalah melebihi 2 marhalah (melebihi 91 km). Maknanya di sini, seseorang yang bermusafir boleh solat Zohor dan Asar atau Maghrib dan Isya' pada satu waktu. Jika solat secara jamak takhdim, maka solat tersebut perlulah dikerjakan pada waktu zohor (untuk solat zohor dan asar), dan pada waktu maghrib (untuk solat maghrib dan isya').
  • Erti yang mudah kita fahami bagi istilah 'jamak' adalah melakukan dua waktu solat dalam satu waktu. Contohnya seperti yang telah diterangkan di atas. Manakala istilah 'qasar' adalah kita memendekkan bilangan rakaat solat daripada empat rakaat kepada dua rakaat. Qasar hanya boleh dilakukan bagi solat zohor, solat asar, dan solat isya' sahaja.
  • Syarat boleh Jamak ini juga sekiranya musafir itu selama 3 hari tidak termasuk perjalanan pergi dan balik. Sekiranya seseorang itu sudah tahu akan tinggal selama seminggu (lebih 3 hari) di sesuatu tempat, maka dia hanya boleh mengerjakan solat secara jamak semasa dalam perjalanan, dan setelah sampai di tempat yang dituju dia tidak boleh mengerjakan solat secara jamak.
  • Ini merupakan satu kemudahan yang diberikan oleh syarak kepada orang yang bermusafir.
  • Solat secara jamak ini boleh dikerjakan sama ada secara jamak takhdim ataupun secara jamak takhir.
  • Seseorang yang bermusafir itu boleh mengerjakan solat secara jamak dan qasar setelah keluar dari rumahnya(keluar dari kawasan kampung/perumahan), walaupun belum cukup 2 marhalah perjalanan. Dengan syarat, perjalanan yang bakal dituju melebihi 2 marhalah. Sebagai contoh, perjalanan yang baru ditempuhi oleh seseorang yang bermusafir hanya baru 10 km, dia boleh berhenti di mana-mana masjid atau surau untuk bersolat secara jamak dan qasar walaupun belum mencukupi 2 marhalah perjalanan.
  • Sekiranya setelah selesai solat, tiba-tiba ada masalah yang memerlukan seseorang itu patah balik ke rumahnya, maka tidak perlu dia untuk solat semula (Contoh: Jika sudah mengerjakan solat secara jamak takhdim pada waktu zohor, maka dia tidak perlu solat semula untuk Solat Asar).
  • Bagi perjalanan yang melebihi 3 marhalah (136.5 km) seseorang yang bermusafir itu amat-amatlah dituntut mengerjakan solat secara jamak dan qasar. Pahala yang Allah Taala sediakan lebih besar jika dibandingkan dengan solat secara tamam (biasa).
  • Syarat penting bagi Solat secara Jamak Takhdim
    i. Solat tuan punya waktu dahulu. Contohnya, pada waktu maghrib, perlu solat maghrib dan disusuli solat isya’.
    - bagi solat maghrib, boleh mengikut imam biasa (imam yang bermukim), selepas itu tambah 2 rakaat untuk solat isya’.
    ii. Ada diniatkan jamak dengan solat yang berikutnya. Boleh diniatkan dalam hati di mana-mana bahagian solat, yang penting sebelum memberikan salam.
    iii. Solat yang kedua perlulah terus dilakukan selepas memberikan salam pada solat yang pertama.
    iv. Kekal dalam musafir.
  • Menurut ustaz, kita boleh mengerjakan solat secara jamak di kampung sendiri/tempat lahir kita (rumah ibu bapa) sekiranya kita tidak tinggal di situ dan sampai bila-bila tidak ada rancangan atau biat untuk menetap di situ suatu hari nanti. Ini khusus bagi kita yang bekerja di luar/merantau yang balik ke kampung pada waktu-waktu tertentu sahaja. Ustaz menerangkan dengan memberikan contoh, sekiranya di dalam perancangan hidupnya apabila sudah pencen seseorang itu ingin kembali ke kampung, maka solat jamak ini tidak boleh dikerjakannya di kampung.
  • Bagi solat secara jamak takhir, kita perlu berniat untuk mengerjakan solat secara jamak takhir pada waktu maghrib atau zohor.
  • Kekal dalam keadaan musafir semasa mengerjakan solat tersebut. Bagi solat secara jamak takhir, Ustaz menasihatkan agar jangan berniat terlalu awal, dan boleh berniat di akhir waktu. Ini adalah kerana, sekiranya kita berniat terlalu awal, dan tiba-tiba sampai di rumah sebelum habis waktu zohor atau maghrib, dan kita sampai di rumah dalam keadaan masih kekal dengan niat jamak takhir, agama amat melarang. Caranya adalah, sekiranya sampai awal, perlu solat sebelum sampai di rumah secara jamak takhdim. Ini dibolehkan oleh syarak.
  • Bagi solat secara jamak takhir, persoalan timbul, "Solat mana yang ingin dikerjakan dahulu?". Banyak pendapat para ulama. Menurut ustaz, boleh mana-mana waktu didahulukan. Terpulang. Dalam solat jamak takhir ini tidak disyaratkan tertib seperti mana solat secara jamak takhdim. Dan juga tidak disyaratkan berturut-turut dan boleh ada senggang waktu, berbeza dengan solat secara jamak takhdim.
  • Bagi solat secara jamak takhir ini juga, selepas memberikan salam bagi solat yang pertama, kita boleh berwirid walaupun panjang. Jamak Takhir tidak sama dengan jamak takhdim tadi. Jarak atau sela masa solat yang pertama dengan solat yang kedua boleh dalam sela masa yang lama dan yang penting kekal dalam musafir dan kekal dalam waktu solat tersebut (waktu asar atau isya’).
    - Sebagai contoh, sekiranya kita terleka dan terus memandu kereta sampai di rumah dalam keadaan belum solat walhal sudah berniat untuk solat secara jamak takhir, kita boleh kerjakan solat asar dan isya’ seperti biasa, dan solat zohor dan maghrib niat qada’. Kita perlu bertaubat kerana dalam kes ini kita dikira berdosa.

    Sekadar itu yang saya catatkan sepanjang kuliah subuh berkenaan. Wallahualam.


5 Mac 2009

Akar Menjunam Ke Bumi, Cabang Munjulang Ke Langit

Catatan yang sempat dicatat sepanjang kuliah dhuha oleh Ustaz Ahmad Yahya di Masjid Pelubang, Jitra 27 Februari 2009 (Jumaat) yang lalu dalam huraian beliau berdasarkan Tafsir Nurul Ihsan (Surah Ibrahim: 24-27) dan Perisai Bagi Mukhallaf;

1. Kalimah yang terbaik di atas muka bumi ini adalah kalimah syahadah "Laa Illaha illallah". Diumpamakan seperti sepohon pokok yang baik, di mana akarnya menjunam masuk ke bumi, dan cabang-cabangnya menjulang ke langit.

2. Kalimat tauhid ini terdiri daripada 2 unsur iaitu,

i. La illaha - dengan bersungguh-sungguh menafikan
ii. illallah - memperkukuhkan "la illaha" tadi bahawa hanya Allah sahaja yang layak disembah. Tiada tuhan lain selain Nya!

  • Gabungan unsur positif dan negatif ini menurut beliau apabila digabungkan akan menghasilkan sesuatu (tenaga) yang kukuh. Umpama dalam medan magnet, gabungan unsur positif dan negatif akan menghasilkan satu tenaga yang boleh menggerakkan sesuatu motor untuk dimanfaatkan di dalam kehidupan seharian manusia.
  • Beliau turut mengumpamakan bahawa contoh pohon yang serbaguna adalah pokok kelapa, di mana batangnya boleh dibuat titi, lantai rumah kalau dibelah, buahnya muda atau tua ada manfaat masing-masing, hingga lah ke daun dan lidinya.
  • Begitulah keadaannya jika iman terpasak kukuh di dalam diri manusia. Walau apa jua rintangan yang datang, pasti kita dapat bertahan kerana seluruh jiwa dan jasad kita mantap dan sentiasa segar dengan iman Islam.

3. Pada zaman ini, adalah sesuatu yang boleh dianggap pelik apabila manusia yang cerdik pandai dengan ada sijil, diploma, ijazah, sarjana, PHD, dan pelbagai anugerah serta pengiktirafan yang diperolehi terhadap kepandaiannya tetapi masih menyembah berhala-berhala yang tidak mungkin dapat memberi apa-apa manfaat kepada penyembahnya.

4. Menurut beliau lagi, seseorang yang berjuang Islam tidak perlu untuk bercakap banyak. Dengan memberi contoh kepada Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat yang modal perjuangannya cuma 6 perkara iaitu iman-Islam, dosa-pahala, dan syurga-neraka. Inilah yang sering diulang-ulang dalam mana-mana majlis yang dihadirinya dan menjadi kekuatan dalam perjuangan menegakkan Islam di atas muka bumi.

Sekadar itu yang sempat saya catatkan sepanjang majlis ilmu tersebut sebagai refresh keimanan dalam diri. Wallahualam.

3 Mac 2009

Air Mata Demokrasi

Sahaja catatan ini dibuat bagi mengambil bahagian dan rasa terpanggil dalam isu yang berlaku di Negeri Perak.

Apa lagi yang dimahukan oleh pihak kerajaan "baharu"? Kenapa perlu takut sekiranya merasakan diri sebagai pemerintah di Negeri berkenaan. Bersidanglah kerana tanggungjawab anda kepada rakyat adalah untuk bersidang bagi membincangkan bagaimana menguruskan keperluan rakyat. Speaker DUN yang masih sah mengajak kepada sidang kenapa polis dan FRU anda wakilkan untuk rakyat.

Hanya kerana tuan speaker daripada pihak yang bertentangan dengan tuan-tuan, semuanya dikatakan tidak sah. Beginilah keadaannya, umpama tuan-tuan sahaja yang betul. Orang lain tidak betul. Maka, ada betulnya saranan Presiden PAS agar konsep negara tanpa pembangkang di negara ini. Kerananya, pembangkang sentiasa berada di pihak yang negatif pada pandangan Kerajaan Malaysia. Dengan negara tanpa pembangkang, harapan perpaduan semakin utuh bagi membina sebuah negara yang mantap.

Ataukah mungkin kerajaan sekarang ini terlalu rapuh? Tambah pula beberapa ADUN yang digantung dan perasaan takut ditumbangkan menyebabkan jalan ini yang dipilih. Ada cadangan bubar DUN, silalah. Kalau tidak, masalah ini akan terus berlarutan entah sampai bila.

Apa erti demokrasi sebenarnya sekiranya perkara yang sebegini berlaku di negara ini. Wajarkah saya katakan bahawa demokrasi dalam tangisan. Tiada ertinya lagi. Tersemban menyembah bumi. Saya katakan begitu kerana suatu sidang yang sah menurut ahli akademik yang arif dalam bidang politik tetapi masih ada pihak yang menafikannya.

Inilah air mata demokrasi!

2 Mac 2009

Apa itu ISLAM? Peringatan untuk saudara baharu seperti aku. Yang lama mungkin tau dah. Kalau lupa, mari baca sama-sama kami.

Dari Umar Ibnul-Khattab r.a, katanya : Sedang kami duduk di dalam majlis bersama Rasulullah SAW pada suatu hari, tiba-tiba muncul di dalam majlis itu seorang laki-laki yang berpakaian serba putih, berambut terlalu hitam, tiada kesan bahawa ia seorang musafir, dan tiada antara kami yang mengenalinya, lalu duduk ia bersama Rasulullah SAW, dan ditemukan kedua lututnya dengan kedua lutut Rasulullah SAW serta diletakkan kedua tapak tangannya ke atas kedua peha Rasulullah SAW, lalu berkata :

Sipemuda : Khabarkan aku tentang Islam ?

Rasulullah : Islam, iaitu hendaklah mengucap syahadat - bahawa tiada Tuhan melainkan Allah Ta'ala dan bahawasanya Muhammad itu Rasulullah, dan hendaklah bersembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa pada bulan Ramadhan dan menunaikan haji ke Baitullah apabila berdaya ke sana.

Sipemuda : Benar katamu.

( Berkata Umar r.a : Kami merasa hairan kepada tingkah laku sipemuda itu, dia yang bertanya dan dia pula yang mengiyakannya )

Sipemuda : Khabarkanlah kepada ku tentang Iman ?

Rasulullah : Hendaklah engkau beriman kepada Allah, Malaikat-MalaikatNya, Kitab-KitabNya, Rasul-RasulNya, Hari Akhirat dan hendaklah engkau beriman kepada takdir Allah yang baikNya atau yang burukNya.

Sipemuda : Benar katamu ! Khabarkanlah kepadaku tentang Ihsan ?

Rasulullah : Hendaklah engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya. Sekiranya engkau tidak dapat melihatNya sesungguhnya Allah sentiasa dapat melihat engkau.

Sipemuda : Khabarkan padaku tentang hari kiamat ?

Rasulullah : Tiadalah orang yang ditanya itu lebih mengetahui dari orang yang bertanya.

Sipemuda : Khabarkan padaku tentang tanda-tandanya ?

Rasulullah : Apabila hamba perempuan melahirkan tuannya sendiri ; Apabila engkau melihat orang yang berkaki ayam, tidak berpakaian, pengembala kambing ( berbangga ) membina bangunan yang tinggi-tinggi.

( Kemudian beredar keluar sipemuda itu dari majlis tersebut )

Rasulullah : Tahukan anda wahai Umar siapakah pemuda yang menyoal ku tadi ?

Umar Al-Khattab : Allah dan RasulNya jua yang mengetahui.

Rasulullah : Itulah Jibril a.s yang telah mendatangi aku untuk mengajarkan kamu pelajaran agama kamu (yakni Islam).


*******
Catatan:
********
Hadis empat puluh adalah koleksi hadis-hadis yang disusun oleh Imam Nawawi di dalam kitab karangannya yang bernama
Matan Arba'in. Terdapat sebanyak empat puluh dua buah hadis sabda junjungan Nabi Muhammad SAW yang membicarakan mengenai akidah dan tauhid di dalam Islam.

Keputusan PMR 1995!!!

Keputusan PMR 1995,

6779 pelajar gagal dalam Pendidikan Islam

616 gagal dalam aspek mengucap dua kalimah syahadah

1553 gagal dalam aspek Rukun Islam

1901 gagal dalam aspek Rukun Iman


Kebetulan pada tahun 1995 ini saya di antara pelajar yang menduduki peperiksaan yang sama. Bezanya pada waktu itu, sama tak ambil mata pelajaran Pendidikan Islam kerana saya Islam 7 tahun selepas itu. Sekarang ini, pelajar-pelajar yang gagal tersebut seusia saya. Mungkin juga ada yang sudah menjadi bapa orang macam saya. Harap-harap mereka dah lulus perkara-perkara di atas. Kalau tidak, susah kita!

Statistik Orang Terpilih Sebagai Umat Islam

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Unit Ukhuwah Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Johor (sekarang Majlis Agama Islam Negeri Johor), peningkatan dari tahun ke tahun dari segi rakyat Malaysia yang memeluk agama Islam. Berikut adalah angka yang dicatatkan dari tahun 2000 hingga tahun 2002 di Daerah Johor Bahru sahaja;

  • Tahun 2000 : 348 Orang
  • Tahun 2001 : 406 Orang
  • Tahun 2002 : 456 Orang
Bagi Tahun 2002, saya salah seorang daripada 456 orang seperti yang dicatatkan. Sesetengah daripada saudara kita berasa kecil hati kalau dilabelkan oleh masyarakat sebagai mualaf atau saudara baharu walaupun sudah lama bersama Islam. Bagi saya, labellah apa sahaja. Gelaran bukan ukuran dan tidak boleh dijadikan timbang tara, tetapi yang paling penting adalah pengamalan dan sejauh mana kesuburan Islam dalam diri.

Bagi rakan-rakan yang segolongan dengan saya, teruskan menimba ilmu berkaitan Islam. Jika tidak dapat secara formal, carilah ruang dan peluang melalui program-program yang dianjurkan di surau-surau atau masjid-masjid. Jangan merasa rendah diri, tak tahu...tanya. Semoga kita berada di landasan Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. Kita usaha, insyaAllah Allah memberi jalan petunjuk dan memudahkan usaha kita.

1 Mac 2009

Perompak perak!!!?

Emas adalah sejenis galian yang berharga dan mempunyai nilai di dunia. Lantaran daripada itu ianya acapkali menjadi barangan yang sentiasa menjadi impian manusia. Lihat sahaja di sekeliling kita, para wanita masing-masing berlumba-lumba untuk memilikinya. Sehinggakan keinginan untuk memiliki, memakai, dan mempelbagaikan koleksi barangan emas ini dipentaskan melalui filem "Anak Mami". Barangan kemas penuh lengan. Kerana emas jugalah perompak tidak pernah serik untuk membawa karung ke kedai-kedai emas untuk memungut emas-emas secara haram. Dalam acara sukan juga emas sering menjadi rebutan. Jarang sekali atlit yang menjadikan gangsa menjadi sasaran.

Tetapi, tanpa kita sedar atau tidak, kebelakangan ini bukan emas yang menjadi idaman. Bukan emas menjadi sasaran. Bukan emas yang menjadi barangan rompakan. Tetapi...PERAK! Sememangnya lelaki dibenarkan untuk memakai perak dan bukannya emas. Tapi rompakan perak memang licik sekali. Sekali pandang perompaknya cerdik pandai. Dua kali pandang umpama macam arkitek sebuah bangunan tinggi. Kalau lama kita pandang, dia sudah tiada idea. Dah rompak perak itu, nak uruskannya tak boleh. Nak jual lagi tak boleh. Perak itu seakan-akan dimiliki dua orang tuan. Perak kena leburkan semula agar diolah mengikut acuan yang cantik dan menjadikannya bernilai. Dua opsyen! Sama ada pulangkan semula perak itu pada tuannya yang asal, atau minta tuan-tuan perak pilih nak perak yang mana.

Kalau bahasa utara 'perak' lain pula maknanya. Maknanya lebih kurang 'ulu sangat'. Tak reti... Saya fikir, Bahasa Melayu ini kaya rupanya. Pelbagai makna. Boleh diolah, salah sebut jadi lain. Memang patutlah Matematik dan Sains itu diajar dalam Bahasa Melayu semula. Takut juga... Takut murid-murid jadi 'perak' jika terus diajar dengan bahasa bekas penjajah.

Kalau dapat disimpulkan catatan ringkas ini bahawa perompak perak itu 'perak', bermakna dia ulu sangat. Mampukah dia mengurus emas jika perak pun dia 'perak'. Pemilik-pemilik perak tidak 'perak'. Yang 'perak' adalah perompak perak!

Apa jua yang kita cakapkan, apa jua yang kita leterkan, hakikatnya perak sudahpun dirompak oleh PEROMPAK!!!