Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah islam dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya. [Surah Ali Imraan: Ayat19]

Rakan Iban Muslim

2 September 2009

TUN LAH: Pengerusi IKIM yang baru

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi hari ini secara rasmi mengambil alih tugas sebagai Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) daripada penyandangnya Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.

Majlis penerimaan tugas itu disempurnakan dengan keduadua tokoh itu menandatangani dokumen penyerahan tugas di pejabat pengerusi di bangunan IKIM di sini.

Bercakap kepada Bernama selepas majlis penyerahan tugas itu, Abdullah berkata beliau kini bersedia bagi menempuhi pelbagai tugas penting dalam usaha meningkatkan kefahaman umat Islam dan juga bukan Islam terhadap agama Islam.

"Agama adalah penting. Kalau Islam, agama Islam itu penting, dan isu-isu agama di negara kita ini memang sensitif dan ini perlu diuruskan dengan sebaik-baiknya kerana kita tidak mahu masalah kecil menjadi besar akan bertambah rumit.

"Kita mahu masalah-masalah itu diselesaikan dengan sebaik-baiknya dan dapat difahami oleh semua pihak yang terlibat," katanya.

Dalam pada itu, beliau akan meneliti setiap langkah dan kejayaan yang telah ditunjukkan oleh IKIM ketika di bawah kepimpinanan Ahmad Sarji bagi tujuan penambahbaikan.

"Selain daripada itu nanti mungkin ada juga beberapa langkah baru yang Insyallah akan saya perkenalkan untuk dilaksanakan di IKIM," katanya.

Abdullah, yang merupakan lulusan Sarjana Muda Sastera dalam bidang Pengajian Islam dari Universiti Malaya, berkata beliau akan terus berpegang kepada prinsipnya dalam melaksanakan setiap tugas di institut itu nanti.

"Setiap kejayaan yang telah pun diperolehi mestilah ditambah nilai lagi supaya kejayaan itu meningkat dan saya juga berpegang kepada apa yang saya selalu bercakap dulu cemerlang, gemilang dan terbilang," katanya.

Abdullah merupakan Pengerusi IKIM yang kedua selepas Ahmad Sarji yang telah memegang jawatan itu sejak penubuhan IKIM 17 tahun lalu. Pelantikan Abdullah sebagai Pengerusi IKIM berkuatkuasa semalam. BERNAMA