Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah islam dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya. [Surah Ali Imraan: Ayat19]

Rakan Iban Muslim

15 September 2009

Pecutan Akhirat...

Jika dinisbahkan seorang pelari, menghampiri garisan penamat adalah matlamatnya.

Itu cerita pelari.

Lain pula dengan kita. Bukannya kita yang lari, tetapi Ramadhan itu yang akan berlalu pergi meninggalkan kita. Ramadhan akan datang belum pasti milik kita.

Hari ini hari yang ke-25 berpuasa. Malam ganjil yang dicari-cari hanya tinggal 2 sahaja lagi. 27 dan 29. Kita tidak tahu mana satu yang tersembunyinya Lailatul Qadar yang dijanjikan dengan seribu kebaikan.

Layak atau tidak kita nie untuk dianugerahkannya?... Sama-sama kita berusaha dan terus mengabdikan diri kepada-Nya. Bukan sekadar 'pulun' di malam-malam yang terakhir ini, malah kita cuba untuk istiqamah dalam beribadat sepanjang tahun. Itu yang terbaik bagi yang mendapat petunjuk dan hidayah Allah SWT.

Bukannya mudah untuk kita mendapat sesuatu anugerah kecemerlangan dalam bidang yang kita ceburi di dunia ini. Begitu juga dengan soal akhirat. Lagilah payah... Apa perlu kita buat? Tugas kita adalah berusaha seikhlas-ikhlasnya, sekeras-kerasnya dan istiqamah sepanjang masa. Seterusnya barulah kita bertawakal dan beserah sepenuhnya kepada Allah SWT.

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh, serta tunduk taat menunaikan ibadat kepada Tuhan mereka dengan khusyuk, mereka itulah ahli Syurga, mereka kekal di dalamnya." [Hud:23]

Saya memperingatkan diri sendiri yang begitu lalai dan alpa dalam setiap kerja buat di atas bumi pinjaman daripada Allah ini.

Ya Allah...jadikan daku dan zuriat keturunanku hamba yang bertaqwa kepada-Mu. Amin.