Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) bersedia meneruskan hukuman sebat ke atas seorang model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32, selepas Hari Raya Aidilfitri ini.
Pengarah JAIP Datuk Abdul Manan Abdul Rahman berkata pelaksanaan hukuman itu bagaimanapun bergantung kepada semakan Panel Rayuan Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan yang dijangka selesai selepas hari raya ini.
Beliau berkata keputusan semakan itu akan diumumkan oleh Ketua Hakim Syarie Pahang Datuk Abdul Hamid Abdul Rahman.Pada 20 Julai lepas, Kartika Sari Dewi dijatuhi hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan selepas mengaku salah meminum arak di sebuah hotel di Cherating, 11 Julai 2008.
Dia didakwa mengikut Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan disebat tidak melebihi enam sebatan.
Bagaimanapun pada 24 Ogos lepas hukuman itu ditangguhkan bagi menghormati bulan Ramadan dan keputusan itu dikecam pelbagai pihak.
"Masyarakat tidak memahami antara sebat syarie iaitu lebih kepada mendidik dan sebat sivil yang selalu dihukum ke atas pesalah yang amat menyakitkan dan bagi kes Kartika, dia dihukum dengan hukuman sebat syarie," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Bengkel Rasm Uthmani dan buku Menuju Gerbang Akhirat di Kuantan hari ini. BERNAMA
IM: Oh negaraku yang tercinta...lemahnya kita melaksanakan syariat Allah. Minda kita telah lama terjajah dengan peraturan penjajah... Sebatan syarie kita terbayang sebatan penjajah... Oh...marilah kita terus mempelajari agama...Jangan terhenti setakat ilmu di Sekolah Menengah...Jika tidak...kita akan terus jahil dan jahil dan jahil...Ini baru sebat...belum lagi nak kerat tangan...Negara 'Islam' ini tidak pernah terfikir di akal fikiran berkaitan hukuman menurut Islam selama 52 tahun merdeka!? Siapalah aku ini untuk berkata-kata...Aku hanya seorang mualaf setahun jagung, sedangkan negaraku telah merdeka 52 tahun yang lalu...