Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah islam dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya. [Surah Ali Imraan: Ayat19]

Rakan Iban Muslim

22 Februari 2009

Terkenang Satu Ketika Dulu

Zaman belajar dulu, kebanyakkan kawan-kawan adalah di kalangan orang Islam. Walaupun pada ketika itu belum lagi Islam, namun berkawan dengan rakan-rakan yang beragama Islam mungkin suatu kebetulan. Sekadar mengenang kembali suatu ketika dulu. Teringat rasa rindu, nak lupakan sayang.

Sekadar nota peringatan pada diri, di mana ia bermula. Antara sedar dan tidak sedar. Mungkin yang bakal dicatat ini perlu kita sama-sama ambil perhatian. Sekali pandang tak penting, dua kali fikir ia amat penting. Oleh itu lebih baik memikir dari merasa atau memandang saja.

Sememangnya pengalaman dulu banyak mendewasakan manusia. Bagi saya, lebih kurang 4 tahun berkawan dengan kawan-kawan Melayu beragama Islam, seingat saya lah, tak pernah mereka mengajak saya kepada Islam. Bukan memburukkan kawan-kawan, cuma koreksi diri. Mungkin mereka tidak berani bercakap berkaitan agama sebab kita di Malaysia dididik untuk tidak menyentuh isu-isu sensitif, antaranya melibatkan agama. Silap tu! Jangan nanti kita di akhirat dipersoalkan tugas kita mengajak kepada kebenaran. Takut nanti kawan-kawan yang tidak sempat Islam menyalahkan kita kerana mereka mati tanpa bersama Islam. Apa lah salahnya kita berbicara berkaitan Islam, cerita janji Allah kepada orang Islam, dan macam-macam kebaikan yang Islam ajar yang boleh dikongsikan dengan mereka yang belum Islam. Bagaimana ya, kita nak dapatkan kekuatan itu.

Tapi kiranya ada kawan-kawan yang terbaca catatan ini, jangan terusik hati kerana walaupun tiada kekuatan untuk membicarakan tentang Islam, namun tauladan yang ditunjukkan banyak membantu ke arah penyesuaian diri pada peringkat awal saya bersama Islam. Secara jujur saya nyatakan di sini bahawa orang belum Islam banyak ditakutkan dengan perkara-perkara remeh temeh seperti, kalau masuk Islam kena sunat, kalau masuk Islam kena tukar nama, kalau masuk Islam banyak pantang larang, dan sebagainya. Sewajarnya perkara-perkara ini tidak usah disebut kerap sangat. Cuba bercerita perkara-perkara indah tentang Islam. Saya pernah terbaca satu tulisan berkaitan pengalaman seorang Saudara Kita, beliau menyebutkan bahawa "Islam itu dihijab oleh orang Islam itu sendiri". Contohnya seperti yang dinyatakan tadi. Ditakut-takutkan dengan perkara yang remeh-temeh. Kesian orang seperti kami ini. Dilahirkan dalam keluarga belum Islam, tiada usaha ajakan kepada Islam, yang ditunjukkan di TV banyak yang tak elok daripada yang elok, lepas itu ditakut-takutkan dengan hal remeh-temeh.

Bukanlah niat hendak menyalahkan mana-mana pihak, namun perkara kebaikan perlu disampaikan. Terima atau tidak bukan kerja kita, tanggungjawab kita adalah menyampaikan perkara baik. "Mengajak maaruf, mencegah mungkar".

Catatan sekadar mengingatkan diri.