Acapkali terfikir dibenak fikiran bagaimanakah cara yang patut aku lakukan untuk mengIslamkan Mak, Abah, Adik-beradik yang masih belum lagi mengecapi nikmat iman dan Islam. Aku sedar, hidayah itu hak mutlak Allah. Sebagai makhlukNya aku hanya mampu berusaha segiat yang terdaya. Kelu lidah untuk mengajak mereka kepada iman. Ya Allah, berilah kekuatan kepada hambamu yang lemah ini. Tiada daya upayaku selain mengharapkan Mu ya Allah.
Apabila terkenangkan mereka yang jauh di seberang sana...terkenangkan agama mereka...macam-macam penaakulan yang dibuat, tak kan aku nak biarkan mereka terus begitu. Memanglah kalau aku balik ke kampung menziarah mereka dengan membawa isteri dan anak-anak, mereka faham aku orang Islam. Mereka semakin faham bahawa sebagai seorang Islam aku perlu bersembahyang, makan yang halal, kaedah penyediaan makanan pun perlu halal. Mereka tahu semua itu. Dari aspek itu aku syukur. Aku tidak perlu risau pasal itu. Berbeza dengan 7 tahun yang lalu, aku terpaksa solat sembunyi-sembunyi. Sekarang tidak, malah kalau kami sekeluarga balik ke kampung, mak akan panggil untuk menyucikan perkakasan masakan yang ada sebelum memasak.
Tapi...bukan itu yang ingin diluahkan. Perkara pokok di sini adalah, bagaimana aku nak menanamkan benih-benih keimanan di dalam diri mereka hingga mereka tergolong di dalam golongan orang yang Taqwa. Aku kebingungan sebenarnya bila persoalan ini melintas di fikiran. Jauh di sudut hati untuk membiarkan mereka terus berada di jalan itu. Beruntungnya saudara-saudara sekelian di luar sana yang mempunyai mak ayah, adik-beradik yang sudah Islam. Bersyukurnya. Jagalah mereka saudaraku sekelian. Kaya manapun kita, iman itu tidak boleh dijual beli. Mungkin persoalan yang sepertimana yang aku fikirkan tidak memberati kepala tuan-tuan semua. Cuma nak maintain aja.
Aku renung...aku fikir...aku bayangkan...aku andaikan...akhirnya kadang-kadang sebak di dada. Di mana mereka di akhirat nanti? Bukan aku bagus. Namun aku yakin dengan janji Allah. Moga Allah menempatkan semua yang beriman di tempat yang dijanjikan dan diimpikan serta dicitakan semua orang yang beriman. Namun, jika tidak sekelumit iman di hati...Ya Allah berikan hidayah kepada ahli keluargaku yang belum mendapat hidayah daripadaMu dan kekalkan hidayah yang engkau berikan kepada seluruh umat Islam.
Inilah persoalan yang belum ada noktahnya dalam hidupku. Aku Fikir, Aku Risau, Aku Tiada Daya Upaya...dan Hanya Mampu Berdoa
19 Februari 2009
Ku Pohon HidayahMu
Catatan IBAN MUSLIM pada 2/19/2009 10:08:00 PTG