Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah islam dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya. [Surah Ali Imraan: Ayat19]

Rakan Iban Muslim

27 Februari 2009

Akhlak Muslim

Berikut beberapa catatan ringkas hasil kuliah maghrib oleh al fadhil Ustaz Zolkharnain Abidin pada 25 Februari 2009 yang baru lalu di Masjid Al Muttaqin Taman Mahsuri, Jitra.

Akhlak Islam Yang Positif

1. Islam menganjurkan seluruh penganutnya menjadi hamba yang kuat serta sanggup menghadapi apa jua cabaran. Sehubungan itu, orang Islam perlu mempunyai satu cita-cita yang tinggi di mana cita-cita tersebut hanya boleh dicapai serta dinikmati dengan adanya satu usaha yang sekuat-kuatnya. Dalam konteks Islam, cita-cita yang tertinggi adalah memasuki Syurga Allah di akhirat kelak. Oleh yang demikian, untuk melayakkan hamba ini memasuki syurga tersebut, segala kerja buat di atas muka bumi ini perlulah seiring dan menepati kehendak peraturan Allah yakni Quran dan Sunnah Baginda S.A.W. Nabi sendiri berpesan agar kita sentiasa memohon pada Allah agar dikurniakan nikmat syurga yang tertinggi.

2. Akhlak Islam yang positif hendaklah cekal dan tidak mudah mengalah pada keadaan. Sebagai contoh yang paling mudah adalah seperti perjuangan dan usaha gigih nabi Allah Ibrahim a.s memerangi sembahan patung-patung berhala oleh umat di zaman tersebut.

3. Akhlak yang baik bukan kita gambarkan kepada umum hanya semata-mat berkurung di dalam masjid di atas tikar sembahyang, tetapi kita perlu berhubung dengan dunia luar yakni mengetahui apa yang berlaku serta mengambil bahagian dengan menerapkan nilai-nilai Islam yang positif dalam menghadapi situasi semasa yang pelbagai pada hari ini.

4. Seterusnya, hamba Allah yang dikurniakan oleh Nya dengan ilmu yang bermanfaat perlulah menyebarkan ilmu tersebut sebagai panduan dan amalan dalam usaha mencapai cita-cita yang disebutkan tadi yakni syurga. Seseorang Muslim tidak boleh membiarkan dirinya menjadi baik seorang sahaja, sedangkan disekelilingnya maksiat bermaharajalela.

Akhlak Islam Yang Syumul

1. Akhlak Islam perlu disesuaikan dengan segala aspek kehidupan dan bukannya untuk hal-hal tertentu sahaja malah boleh digunakan sebagai agen penyelesaian segala permasalahan kehidupan. Nabi berpesan, "Manusia dikurniakan Jasad, maka hiasilah jasad tersebut dengan akhlak Islam".

2. Akhlak yang berkaitan akal. Akal dikatakan berakhlak sekiranya akal tersebut digunakan untuk merenung serta berfikir akan kebesaran Allah, dan akal tersebut dikatakan tiada akhlak sekiranya digunakan untuk mempertikaikan zat Allah. Mohon disimpangkan.

3. Berkaitan perkara (2) di bawah tajuk Akhlak Islam Yang Syumul, orang cerdik mempergunakan kecerdikannya mentafsirkan Quran dan walaupun betul, dia dikira salah dan Allah sediakan tempatnya di neraka. Na'uzubillah, mohon disimpangkan jua. Tafsiran Quran hanya layak kita rujuk adalah yang ditafsirkan oleh Nabi s.a.w, para sahabat, tabiin, dan para ulama yang menepati syarat yang melayakkan seseorang ulama tersebut mentafsirkan ayat-ayat Allah. Sehubungan dengan ini, pernah satu ketika seorang pemimpin negara mencadangkan agar Quran ditafsirkan semula agar bersesuaian dengan zaman ini. Ini suatu yang melampau selaku umat akhir zaman yang serba kekurangan dan disaluti dosa setiap detik dan ketika.

4. Berjayalah orang yang mensucikan jiwanya dan rugilah orang yang mengotorkan jiwanya.

5. Tiada satu ruang pun dalam kehidupan manusia boleh lari dari akhlak Islam.


Sekadar itu yang sempat saya catatkan pada majlis ilmu tersebut. Yang baik semuanya dari Allah dan milik Allah, silap salah atas kelemahan dan kelalaian saya sendiri.