Alangkah indahnya dunia ini seandainya keseluruhan kandungan Al-Quran itu dapat diterjemahkan sepenuhnya sebagai satu undang-undang yang dikuatkuasakan.
Dengan ini, masalah manusia diselesaikan dengan manual yang betul. Manual yang diciptakan oleh Pencipta manusia dan seluruh isi alam ini.
Lahirnya masalah dari hari ke hari kekadang membuatkan manusia kelam-kabut mencari di mana punca dan cara penyelesaian yang releven. Mungkin dek kerana kedegilan kita yang enggan menerima Al-Quran sebagai sistem perundangan yang digunapakai untuk mentadbir kehidupan, maka sampai kiamatlah masalah itu tidak akan selesai. Di akhirat, kita akan diherdik di atas keengganan kita menerima sistem Islam yang syumul sebagai panduan hidup.
Dari hari ke hari timbul pelbagai masalah atau gejala mungkar yang meloyakan. Buang bayi, gugur bayi, dera kanak-kanak, zina, bersekedudukan, rasuah, penipuan, dan banyak lagi.
Mengapa kita pening memikirkan di mana punca semuanya ini. Sebab utamanya adalah kerana kita enggan menerima Islam sebagai sistem perundangan. Islam bolah membuatkan kita tertib. Islam membimbing kita ke jalan yang selamat. Islam membuatkan kita berfikir dua tiga kali sebelum melakukan sesuatu, apatah lagi yang berhubungkait dengan kemungkaran. Islamlah penyelesai segala masalah. Dengan syarat! Diamalkan secara total! Bukan ambik separuh, buang separuh. Sesuaikan diri kita dengan hukum Islam, dan bukannya kita sesuaikan hukum Islam dengan kehendak nafsu kita.
Timbul pula soal masjid!
Apa peranan masjid? Bukankah di zaman Rasulullah s.a.w masjid menjadi pusat segala aktiviti Islam termasuklah dijadikan pusat dakwah, pusat ilmu, tempat perbincangan untuk menyelesaikan pelbagai masalah, sehinggalah dijadikan puasat pentadbiran kerajaan Islam yang dipimpin Baginda pada ketika itu.
Islam itu mencakupi keseluruhan ruang lingkup kehidupan. Nikah kahwin, jual beli, bermasyarakat, pendidikan, sehinggalah politik.
Politik? Ya. Mentadbir urus kerajaan Islam di Madinah pada ketika itu sebagai contoh. Bukankah itu politik? Semua ini pengurusannya berpusat di Masjid.
Cukuplah kita seorang yang jahil. Jangan kita menjahilkan masyarakat Islam keseluruhannya. Jangan kerana kepentingan tertentu, kenyataan yang dikeluarkan mengelirukan masyarakat umum. Lagi-lagi rakan-rakan saya yang baharu sahaja berjinak-jinak dengan Islam.
Tugas kita sebagai umat Islam adalah bersatu untuk menterjemahkan dan memartabatkan Islam sebagai undang-undang yang digunapakai dalam sistem pemerintahan kerajaan. Janganlah jadikan Islam ini sebagai agama kematian dan agama untuk urusan tertentu sahaja. Apabila mati baharu nak kalut bacakan Yaasin sepanjang hari. Apabila mati, baharulah kalut nak cari di mana orang agama untuk uruskan pengebumian.
Sedarlah wahai diriku yang jahil ini...Di akhirat nanti setiap inci pergerakkan kita di dunia pasti dipersoalkan. Bersedialah wahai diriku...
Nota: Tulisan ini sekadar untuk memperingati diriku yang lalai...Tiada tujuan yang lain...Untuk diriku...
24 April 2010
TERJEMAHKAN AL-QURAN SEBAGAI SISTEM PERUNDANGAN, BUKAN SEKADAR UNTUK MATI
Labels: Catatan Iban Muslim
Catatan IBAN MUSLIM pada 4/24/2010 07:41:00 PG