Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah islam dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya. [Surah Ali Imraan: Ayat19]

Rakan Iban Muslim

12 April 2010

Aku dibuang di sini...Apa dosaku wahai ibuku...


ANGGOTA polis mengangkat mayat bayi lelaki yang baru dilahirkan yang dibuang dalam tong sampah di Kampung Tanjung, Sungai Choh, Rawang. Mayat bayi yang cukup sifat itu ditemui jam 8 pagi semalam. - Foto Md Fuzi Abd Lateh / Berita Harian Online

Foto: ondscene.blogspot.com

"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)." [Al-Isra: 32]

Apalah dosa bayi ini sehinggakan dirinya tidak diberi peluang untuk hidup di dunia ini. Nyawa ini dibiarkan mati dengan kejam dan dilemparkan di tong sampah tanpa ada perasaan bersalah, apatah lagi berasa berdosa yang amat besar di sisi Allah.

Amaran Allah adalah jelas berkaitan zina dan membunuh, cuma manusia masih berdegil dan dengan sombong melanggari setiap perintah Allah. Bayi ini akan menjadi saksi dan akan menudingkan jarinya kepada siapa yang memperlakukan dirinya sebegini di dunia. Kita merasakan boleh bersembunyi dan lari daripada perbuatan jahat yang dilakukan tanpa mengira dari satu sudut yang lain bahawa setiap gerak geri kita sepanjang masa dipantau dan dicatit satu persatu oleh dua malaikat Raqib dan Atid.

Samalah kita insafi dosa yang dilakukan sebelum kita dijemput ke negeri abadi. Pandanglah wajah-wajah anak-anak kita yang tidak berdosa...di situ tersembunyi satu amanah daripada Tuhan untuk hamba-Nya.

Andai bayi ini mampu bersuara, pasti dia akan berkata, "Ayah...Ibu...Apakah dosaku...Aku tak diperlukan di dunia ini kah...jangan bunuhku wahai ibuku...aku sayang kamu ayah...aku sayang kamu ibu..."