Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah islam dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya. [Surah Ali Imraan: Ayat19]

Rakan Iban Muslim

31 Januari 2010

25 AJARAN SESAT: FATWA JABATAN MUFTI SELANGOR

SHAH ALAM: Sebanyak 25 ajaran telah difatwakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor sebagai ajaran sesat di negeri ini sejak tahun 1990an hingga kini.

Antara ajaran yang telah difatwakan sebagai sesat ialah, Tarekat Naksabandiyah Kadirun Yahya, Ajaran Nordin Puteh, Tarikat Mufarduyah, Ajaran Hj Ghazali Othman, Ajaran Zamree Ab Wahab, Fahaman Syiah, Tarikat Al-Hasaniah, Tarikat Samaniah Ibrahim Bonjol, Ajaran Tijah@Khadijah Ali, Ajaran Islam Lamaah, Ajaran Qadani, Ajaran Ilmu Hakikat Hassan Jonit.

Selain itu, Ajaran Ilmu Ahmad Laksaman, Ajaran Tarikat Zikrullah Hassan Anak Rimau, Ajaran Martabat Tujuh, Golongan Anti Hadis, Ajaran Kahar Ahmad, Aurad Ismailiah, Al-Arqam, Ajaran Syed Mohamad Al Masyhor, Ajaran Sulaiman, Ajaran Qadani dan Ajaran Banuar Roslan turut dikategorikan sebagai ajaran sesat.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata, selain 25 ajaran yang telah disahkan sebagai sesat itu, pihaknya juga sedang menyiasat 35 kes lagi yang dilaporkan sebagai sesat.

"Ini termasuk kes perbomohan, ada juga kes seorang budak dapat melihat alam ghaib dan dapat mengubat orang sakit," katanya dalam satu temubual eksklusif bersama mStar Online.

Beliau menjelaskan, tidak sepertimana yang disangka ramai, pihak jabatan tidak terus menjatuhkan fatwa hanya berdasarkan aduan atau laporan awam melainkan setelah menjalankan siasatan terperinci mengenai kandungan ajaran sesuatu tarikat atau amalan sebelum dibawa kepada Jawatankuasa Fatwa Negeri untuk diputuskan.

"Memang kita memerlukan masa yang panjang kerana kita memerlukan bukti kukuh. Tetapi ada juga ajaran yang tidak dapat difatwakan kerana tidak cukup bukti.

"Untuk memfatwakan seseorang itu salah dan sesat bukan mudah kerana ini soal akidah. Kalau kita silap kita bertanggungjawab ke atas keputusan yang dibuat. Sebab itu kita mengambil masa yang lama untuk putuskan,” katanya.

Beliau menambah, Jais tidak boleh mengambil tindakan terhadap kumpulan yang sedang disiasat sehingga ia difatwakan.

Ditanya sama ada 'freemason' dan 'illimunati' tergolong dalam ajaran sesat, Mohammed Khusrin berkata: "Pada pendapat saya ia bukan ajaran Islam maka ia tidak boleh dikira sebagai ajaran sesat.

Menurut beliau yang ditafsirkan sebagai ajaran sesat ialah ajaran yang telah menyeleweng daripada ajaran Islam.

"Selalunya orang yang menyebarkan ajaran sesat ini mengaku dirinya Islam tetapi dia menyebarkan ajaran yang bertentangan dengan akidah," katanya.

Mengulas lanjut isu berkenaan, beliau berkata, tempoh masa yang agak lama diperlukan untuk menyiasat dan mengumpulkan bukti mengenai sesuatu ajaran sebelum ia dikategorikan sebagai ajaran sesat.

Mengenai garis panduan yang digunakan Jais, Mohammed Khusrin berkata, pihaknya akan mengambil tindakan terhadap ajaran yang didapati bertentangan dengan syarak dan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Kita berpandukan ajaran al-Quran, hadis, Ijmak Ulamak dan fatwa. Contohnya kumpulan tarekat memang sukar untuk dipastikan mereka menyeleweng atau sebaliknya.

"Ini kerana kita terpaksa ikut dan masuk dalam kumpulan itu dan kita lihat serta kaji zikir mereka," katanya.

Tambah beliau, ajaran sesat bukan mudah untuk dikesan dan untuk mengesan ajaran sebegini pegawai-pegawai Jais akan menyamar dengan menjadi sebahagian daripada ahli kumpulan tersebut bagi melihat sendiri ajaran yang dibawa oleh kumpulan berkenaan.

Justeru, bagi membendung masalah tersebut, Mohammed Khusrin berkata, Jawatankuasa Panel Akidah yang dipengerusikan oleh Mufti Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Tamyes Abdul Wahid dan beberapa pakar dalam bidang syariah dan akidah akan menjalankan sesi kaunseling dengan mereka yang disyaki terlibat dalam menyampaikan ajaran sesat di negeri itu.

"Kita akan panggil mereka yang kita disyaki ini dan kita berdialog mengenai ajaran yang mereka bawa.

"Akan datang kita akan panggil Tarekat Nasabandiyah untuk dapat penjelasan dan cuba membetulkan akidah pemimpin kumpulan ini," katanya.

Selain itu, katanya, Jais dengan kerjasama Jabatan Mufti Negeri serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sentiasa mengadakan ceramah dan dialog dengan orang-ramai dari semasa ke semasa.

"Kita akan pergi memberi ceramah dan dialog di daerah dan kawasan yang kita kenalpasti seperti di Gombak, Ampang kerana kawasan ini menjadi tumpuan.

"Kita juga turut mengedarkan risalah dan menyampaikan khutbah Jumaat untuk sedarkan masyarakat tentang bahayanya ajaran sesat ini," kata beliau. -mStar Online/-


IBANMUSLIM:

Ya Allah...Tunjukilah kami jalan yang lurus...Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat...Amin

0 Pandangan: