Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah islam dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya. [Surah Ali Imraan: Ayat19]

Rakan Iban Muslim

14 Januari 2010

Gerhana Matahari Separa Jumaat Ini (29 Muharam 1431H / 15 Januari 2010)

KUALA LUMPUR: Fenomena gerhana matahari separa dijangka berlaku Jumaat ini, bermula 3.01 petang sehingga 5.38 petang dengan fasa pertamanya berlaku pada 3.01 petang dan mencapai tahap gerhana maksimum jam 4.26 petang.
Sempena fenomena itu, umat Islam digalakkan menunaikan solat sunat kusuf atau solat sunat gerhana matahari dan disertai dengan khutbah khas gerhana, menurut kenyataan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di sini, hari ini.
Jakim juga melalui Cawangan Falak akan mengadakan solat sunat kusuf di masjid utama negara iaitu Masjid Negara, Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Masjid Putra, Putrajaya pada jam 3.45 petang.
Selain itu, katanya aktiviti cerapan juga akan diadakan di keempat-empat masjid dengan kerjasama seperti Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem), Institut Tanah dan Ukur Negara (Instun), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Jabatan Mufti Selangor dan Institut Latihan Islam Malaysia (IIim), Bangi, Selangor.
Jakim menjadikan Masjid Putra, Putrajaya sebagai lokasi utama bagi menunaikan solat sunat kusuf, aktiviti cerapan dan pameran. Selain itu, katanya orang ramai juga dijemput mendengar ceramah berhubung fenomena itu yang akan diadakan di Masjid Putra, Putrajaya bermula jam 2.45 petang iaitu sebelum solat sunat kusuf disempurnakan.

Ceramah yang akan mengupas tajuk Fenomena Gerhana Matahari itu akan disampaikan oleh Dr Azhari Mohamed dari Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia. Jakim juga menyeru semua masjid dan surau di negara ini agar dapat mengambil kesempatan ini untuk mengadakan solat sunat kusuf. - Bernama