Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah islam dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya. [Surah Ali Imraan: Ayat19]

Rakan Iban Muslim

30 Disember 2009

AL-QURAN TERJEMAHAN BAHASA IBAN

Terjemahan pertama al-Quran dalam bahasa Iban akan mula diterbitkan tahun depan bagi membantu golongan penutur bahasa tersebut memahami kitab suci Islam itu.

Projek penerbitan itu dimulakan dengan terjemahan edisi muqaddam, kemudian diikuti teks lengkap al-Quran pada 2011, kata pengerusi kumpulan syarikat PTS.

Ainon Mohd juga berkata terjemahan tersebut akan menjadi naskhah lengkap pertama terjemahan al-Quran dalam bahasa etnik terbesar di Sarawak.

"Terjemahan ini menggunakan bahasa Iban laras halus, sebagaimana yang digunakan oleh penutur aslinya. Belum ada lagi naskhah sedemikian," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

"Justeru, individu keturunan Iban yang berminat mengetahui isi kandungan al-Quran memang mengalami masalah tiada bahan rujukan.

"Bukan semua orang Iban mampu membaca dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris. Lagipun membaca dalam bahasa ibunda lebih mudah difahami," kata bekas pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu lagi.

Tambahnya, sasaran utama penerbitan terjemahan itu antaranya golongan muallaf yang bertutur dalam bahasa tersebut.

"Bahasa Iban adalah bahasa kaum bumiputera yang terbesar di Sarawak, oleh itu kami dapati ada pasaran niche bagi buku-buku dalam bahasa Iban," katanya dalam wawancara melalui emel.

"Golongan yang akan mendapat manfaat paling baik daripada penerbitan buku ini nanti adalah individu keturunan Iban yang sudah memeluk Islam, atau mereka yang mungkin akan memeluk Islam kerana mempunyai rancangan berkahwin dengan pasangan Islam.

"Namun kita yakin, masyarakat Iban yang tidak berminat dengan Islam pun tetap akan mendapat manfaat apabila membacanya kerana mereka akan dapat memahami dengan betul perbezaan-perbezaan pelbagai aliran agama di Malaysia ini. Sumber: malaysiakini/-

IBAN MUSLIM:
Alhamdulillah...akulah orang yang paling gembira dengan berita ini...semoga kaumku mendapat hidayah dengan penerangan yang jelas berkaitan al-Quran...