Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah islam dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya. [Surah Ali Imraan: Ayat19]

Rakan Iban Muslim

8 Julai 2015

Wangian Nabi Isa a.s Membunuh Orang Kafir dan Dajal


Hadis oleh al-Nawwas ibn Sam’an al-Kilabi;- An-Nuwas ibn Sam’an berkata,
“Pada suatu pagi, Nabi s.a.w. bercerita mengenai Dajjal. Kadangkala Baginda menerangkan seperti ianya tidak penting dan kadangkala mengatakan yang ia amat merbahaya sehingga kami menyangka ia berada dekat pucuk pohon tamar. Apabila kami menemui baginda setelah itu, dengan wajah yang ketakutan Baginda bertanya,
“Mengapa dengan kamu?”
Kami berkata,
“Ya Rasulullah, pagi tadi tuan bercerita mengenai Dajjal, kadang-kadang seperti remeh, kadang-kadang seperti amat merbahaya sehingga kami sangka ia berada di pohon tamar berdekatan.”
Baginda bersabda:
“Bagi kamu, daku bimbangkan hal selain Dajjal. Jika dia muncul ketika aku berada dengan kamu, aku sendiri akan melawannya bagi pihak kamu. Jika dia muncul setelah daku pergi maka setiap kamu hendaklah menghadapinya bagi pihak kamu sendiri dan Allah akan menjaga setiap Muslim bagi pihak ku. Dajjal ialah seorang pemuda, berambut kerinting dan sebelah matanya tersembul. Daku menyamakannya seperti Abdul Uzza ibn Qatan. Sesiapa di kalangan kamu yang hidup untuk menyaksikannya, bacalah ayat permulaan Surah al-Kahfi. Dia akan muncul di antara Sham dan Iraq dan melakukan kemusnahan di kiri dan kanan. Wahai hamba-hamba Allah, berpegang teguhlah kepada kebenaran.”
Kami bertanya,
“Wahai Rasulullah, bagi satu hari yang seperti satu tahun, adakah solat sehari semalam memadai?”
Baginda s.a.w. bersabda:
“Kamu hendaklah melaksanakan solat mengikut masa ketika itu.”
Kami bertanya, “Ya Rasulullah, berapa pantas dia bergerak di bumi?”
Sabda Nabi s.a.w.
“Seperti awan yang dibawa angin. Dia akan mengajak manusia (kepada agama palsu) dan manusia akan terpengaruh dan mengekorinya. Dia akan perintah awan yang akan turunkan hujan dan perintah bumi yang akan menumbuhkan tanaman. Ternakan yang meragut tanaman itu, teteknya akan dipenuhi susu dan tubuhnya akan besar. Kemudian Dajjal akan pergi pula kepada kaum yang lain dan menyeru mereka (kepada agama batilnya) tetapi mereka menolaknya. Dia pun meninggalkan mereka, langsung mereka menderita kebuluran dan tidak berharta. Kemudian dia akan melalui kawasan yang tandus dan berkata, “Keluarkanlah khazanah kamu” dan keluarlah khazanah seperti sekawan lebah. Kemudian dia menyeru seorang remaja dan membelahnya dengan pedang dan meletakkan keratan itu berjauhan lalu menyeru dan remaja itu yang akan datang berlari sambil ketawa. Waktu itu Allah akan menghantar Isa Al-Masih dan Baginda akan turun di menara putih (al-manarrah al-baidha’) di timur Damsyik memakai dua pakaian berwarna kekuningan dengan meletakkan kedua tangan baginda di atas sayap dua 2 Malaikat. Apabila baginda menundukkan kepalanya maka jatuhlah butiran seperti mutiara. Setiap kafir yang terhidu haruman baginda akan mati dan nafas beliau sampai sejauh penglihatannya. Baginda akan mencari Dajjal dan menjumpainya di pintu Ludd, lalu membunuhnya.” Kemudian sekumpulan orang yang diselamatkan Allah SWT akan datang kepada baginda dan beliau menceriakan wajah mereka (dengan berita syurga). Kemudian Allah SWT wahyukan kepada baginda, “Aku telah lepaskan makhluk Ku yang tidak terlawan oleh sesiapa pun. Bawalah hamba-hamba Ku itu ke at-Thur.” Lalu Allah SWT mengeluarkan Yakjuj dan Makjuj, dan mereka akan turun di setiap lembah.”
 
[Riwayat Muslim, Kitab al-Fitan wa Ashrat as-Sa’ah, 8/196-199].