Hari
ini...hari yang ke-21 Ramadan 1436H. Kita sedang berada di sepuluh hari
terakhir Ramadan. Di situ ada janji pasti daripada Allah SWT melalui firman-Nya
yang bermaksud:
"Malam Al-Qadar lebih baik dari seribu bulan"
(Al-Qadr: Ayat 2)
Nabi S.A.W
berpesan agar kita berpuasa dengan penuh keimanan dan 'ihtisab' melalui hadis
berikut:
"Barangsiapa yang berpuasa Ramadan dalam keadaan penuh keimanan dan
"ihtisab" , maka akan diampunkan baginya dosanya yang terdahulu"
( HR. Al-Bukhari).
Dalam kitab
Fath Al-Bari, Imam Al-Hafidz Ibn Hajar memetik takrifan yang diberikan oleh
Imam Al-Khattabi yang menyatakan bahawa 'ihtisab' itu adalah satu keinginan
yang kuat ketika berpuasa untuk memperolehi pahalanya. Manakala, Imam
Nawawi pula memberi takrifan ‘ihtisab’ sebagai ikhlas untuk Allah S.W.T dan
mengkehendaki redha-Nya. (Syarah Sahih Muslim, An-Nawawi, 6/39; ‘Umdatul Qari,
1/226).
Nabi S.A.W
bersungguh-sungguh beribadat pada sepuluh terakhir Ramadan.
"Adalah Nabi S.A.W, beribadat dengan (lebih) bersungguh dan kuat di
sepuluh malam terakhir Ramadan, tidak sebagaimana baginda di malam-malam
yang lain" (HR. Muslim)
Malah, Nabi
S.A.W turut mengejutkan ahli keluarga agar beribadat pada malam-malam istimewa
tersebut. Ini jelas diterangkan dalam hadis berikut:
"Apabila telah masuk 10 terakhir bulan Ramadan, maka Nabi
menghidupkan malam, mengejutkan isterinya dan mengetatkan kainnya (tidak
menyetubuhi isterinya kerana amat sibuk dengan ibadat yang khusus)" (HR.
Al-Bukhari dan Muslim)
Sebagai
hamba yang serba kekurangan, marilah kita sama-sama meningkatkan prestasi
amalan. Biarlah kita dikata sebagai beribadat secara bermusim. Biarlah
dikatakan kita menjadi hamba Ramadan. Itu lebih baik daripada hamba yang tidak
melakukan apa-apa dan tidak mengambil peluang langsung di kesempatan yang ada
dengan keadaan baki usia yang semakin menyusut. Lebih merisaukan sekiranya kita
digolongkan dalam golongan manusia yang celaka sebagaimana maksud hadis
berikut:
"Sesungguhnya Nabi mengucapkan amin sebanyak tiga kali tatkala Jibril
berdoa. Para Sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah! Engkau telah mengucapkan
amin". Beliau menjawab: "Jibril telah mendatangiku, kemudian ia berkata: "Celakalah
orang yang menjumpai Ramadan lalu tidak diampuni". Maka aku menjawab:
"Amin". Ketika aku menaiki tangga mimbar kedua maka ia berkata: "Celakalah
orang yang disebutkan namamu di hadapannya lalu tidak mengucapkan selawat
kepadamu". Maka aku menjawab: "Amin". Ketika aku menaiki anak tangga mimbar
ketiga, ia berkata: "Celakalah orang yang kedua orang tuanya mencapai usia tua
berada di sisinya, lalu mereka tidak memasukkannya ke dalam syurga". Maka aku
jawab: "Amin". (HR. al-Hakim)
SELAMAT
BERIBADAT!