Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah islam dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya. [Surah Ali Imraan: Ayat19]

Rakan Iban Muslim

31 Januari 2010

25 AJARAN SESAT: FATWA JABATAN MUFTI SELANGOR

SHAH ALAM: Sebanyak 25 ajaran telah difatwakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor sebagai ajaran sesat di negeri ini sejak tahun 1990an hingga kini.

Antara ajaran yang telah difatwakan sebagai sesat ialah, Tarekat Naksabandiyah Kadirun Yahya, Ajaran Nordin Puteh, Tarikat Mufarduyah, Ajaran Hj Ghazali Othman, Ajaran Zamree Ab Wahab, Fahaman Syiah, Tarikat Al-Hasaniah, Tarikat Samaniah Ibrahim Bonjol, Ajaran Tijah@Khadijah Ali, Ajaran Islam Lamaah, Ajaran Qadani, Ajaran Ilmu Hakikat Hassan Jonit.

Selain itu, Ajaran Ilmu Ahmad Laksaman, Ajaran Tarikat Zikrullah Hassan Anak Rimau, Ajaran Martabat Tujuh, Golongan Anti Hadis, Ajaran Kahar Ahmad, Aurad Ismailiah, Al-Arqam, Ajaran Syed Mohamad Al Masyhor, Ajaran Sulaiman, Ajaran Qadani dan Ajaran Banuar Roslan turut dikategorikan sebagai ajaran sesat.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata, selain 25 ajaran yang telah disahkan sebagai sesat itu, pihaknya juga sedang menyiasat 35 kes lagi yang dilaporkan sebagai sesat.

"Ini termasuk kes perbomohan, ada juga kes seorang budak dapat melihat alam ghaib dan dapat mengubat orang sakit," katanya dalam satu temubual eksklusif bersama mStar Online.

Beliau menjelaskan, tidak sepertimana yang disangka ramai, pihak jabatan tidak terus menjatuhkan fatwa hanya berdasarkan aduan atau laporan awam melainkan setelah menjalankan siasatan terperinci mengenai kandungan ajaran sesuatu tarikat atau amalan sebelum dibawa kepada Jawatankuasa Fatwa Negeri untuk diputuskan.

"Memang kita memerlukan masa yang panjang kerana kita memerlukan bukti kukuh. Tetapi ada juga ajaran yang tidak dapat difatwakan kerana tidak cukup bukti.

"Untuk memfatwakan seseorang itu salah dan sesat bukan mudah kerana ini soal akidah. Kalau kita silap kita bertanggungjawab ke atas keputusan yang dibuat. Sebab itu kita mengambil masa yang lama untuk putuskan,” katanya.

Beliau menambah, Jais tidak boleh mengambil tindakan terhadap kumpulan yang sedang disiasat sehingga ia difatwakan.

Ditanya sama ada 'freemason' dan 'illimunati' tergolong dalam ajaran sesat, Mohammed Khusrin berkata: "Pada pendapat saya ia bukan ajaran Islam maka ia tidak boleh dikira sebagai ajaran sesat.

Menurut beliau yang ditafsirkan sebagai ajaran sesat ialah ajaran yang telah menyeleweng daripada ajaran Islam.

"Selalunya orang yang menyebarkan ajaran sesat ini mengaku dirinya Islam tetapi dia menyebarkan ajaran yang bertentangan dengan akidah," katanya.

Mengulas lanjut isu berkenaan, beliau berkata, tempoh masa yang agak lama diperlukan untuk menyiasat dan mengumpulkan bukti mengenai sesuatu ajaran sebelum ia dikategorikan sebagai ajaran sesat.

Mengenai garis panduan yang digunakan Jais, Mohammed Khusrin berkata, pihaknya akan mengambil tindakan terhadap ajaran yang didapati bertentangan dengan syarak dan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Kita berpandukan ajaran al-Quran, hadis, Ijmak Ulamak dan fatwa. Contohnya kumpulan tarekat memang sukar untuk dipastikan mereka menyeleweng atau sebaliknya.

"Ini kerana kita terpaksa ikut dan masuk dalam kumpulan itu dan kita lihat serta kaji zikir mereka," katanya.

Tambah beliau, ajaran sesat bukan mudah untuk dikesan dan untuk mengesan ajaran sebegini pegawai-pegawai Jais akan menyamar dengan menjadi sebahagian daripada ahli kumpulan tersebut bagi melihat sendiri ajaran yang dibawa oleh kumpulan berkenaan.

Justeru, bagi membendung masalah tersebut, Mohammed Khusrin berkata, Jawatankuasa Panel Akidah yang dipengerusikan oleh Mufti Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Tamyes Abdul Wahid dan beberapa pakar dalam bidang syariah dan akidah akan menjalankan sesi kaunseling dengan mereka yang disyaki terlibat dalam menyampaikan ajaran sesat di negeri itu.

"Kita akan panggil mereka yang kita disyaki ini dan kita berdialog mengenai ajaran yang mereka bawa.

"Akan datang kita akan panggil Tarekat Nasabandiyah untuk dapat penjelasan dan cuba membetulkan akidah pemimpin kumpulan ini," katanya.

Selain itu, katanya, Jais dengan kerjasama Jabatan Mufti Negeri serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sentiasa mengadakan ceramah dan dialog dengan orang-ramai dari semasa ke semasa.

"Kita akan pergi memberi ceramah dan dialog di daerah dan kawasan yang kita kenalpasti seperti di Gombak, Ampang kerana kawasan ini menjadi tumpuan.

"Kita juga turut mengedarkan risalah dan menyampaikan khutbah Jumaat untuk sedarkan masyarakat tentang bahayanya ajaran sesat ini," kata beliau. -mStar Online/-


IBANMUSLIM:

Ya Allah...Tunjukilah kami jalan yang lurus...Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat...Amin

23 Januari 2010

FATWA HARAM MEROKOK...JUAL ROKOK BILA NAK HARAM?

Yang terbaharu, Negeri Pahang turut mengeluarkan fatwa pengharaman merokok. Manakala beberapa negeri lain sebagaimana link di bawah sudahpun mengeluarkan fatwa yang serupa.
Merokok dah diisytihar sebagai haram (lama dah...), namun bila lagi menjual rokok diharamkan. Sudah pasti pihak tertentu akan garu kepala. Mana tidaknya...cukai rokok ni berjuta-juta...
Kita sentiasa di persimpangan dan perlu membuat pilihan...samada terus cintakan dunia atau sanggup menghadapi seksa akhirat yang amat pedih dan tak terperi sakitnya...


e-Fatwa Negeri Selangor dan (Link ini)




e-Fatwa Negeri Sarawak



e-Fatwa Negeri Perlis


e-Fatwa Negeri Pulau Pinang


e-Fatwa Negeri Melaka


e-Fatwa Negeri Kedah




NADA DERING AZAN HARAM


KAHERAH: Mufti Mesir, Ali Gomaa mahukan masyarakat Islam menjawab azan yang dilaungkan di masjid, bukan apabila ia berdering menerusi telefon bimbit.

Beliau semalam mengeluarkan fatwa mendesak masyarakat Islam berhenti menggunakan bacaan ayat suci al-Quran atau azan sebagai nada dering. Menurutnya, ia tidak sesuai, mengelirukan dan mencemari kata-kata Tuhan.

“Kata-kata Allah itu amat suci. Allah mengarahkan kita menghormati dan mengagungkanNya,” kata Ali.

Menurutnya, penganut Islam diwajibkan bersolat lima kali sehari dan masa itu diumumkan hanya dengan azan dari masjid.

“Azan adalah untuk mengumumkan waktu solat. “Menggunakannya untuk nada dering membawa kepada kekeliruan.” Nada dering Islamik begitu popular di Mesir, Arab Saudi, Tebing Barat dan negara Islam lain.

Sekumpulan ulama Saudi baru-baru ini juga merayu rakyat negara itu supaya tidak menggunakan ayat suci sebagai nada dering.

Di Mesir, azan atau ayat al-Quran bukan setakat popular sebagai nada dering.

Ia juga dijadikan skrin saver dan pesanan teks dalam ucapan sempena sambutan hari kebesaran.

Nada itu boleh dimuatturunkan dari Internet, laman web syarikat telefon bimbit dan disiarkan menerusi stesen televisyen.

Majoriti penduduk Mesir berfahaman Sunni dan terdapat hampir 50 juta pengguna telefon bimbit.

Mereka yang mahukan nada dering Islamik, mufti itu mencadangkan mereka menggunakan nasyid. — Reuters


Sumber: myMetro

RAYUAN SUMBANGAN UNTUK SEKOLAH AGAMA RAKYAT


(Sila klik pada imej untuk mendapat paparan yang lebih jelas)



19 Januari 2010

DENGKI YANG BAIK

Maksud sabda Nabi s.a.w:

'Tidak boleh iri hati melainkan kepada dua orang iaitu, orang yang dianugerahkan ilmu pengetahuan tentang al Quran oleh Allah lalu mengamalkan sepanjang siang dan malam dan orang yang diberikan harta oleh Allah lalu menafkahkannya sepanjang siang dan malam'

[Riwayat Bukhari & Muslim]
Alhamdulillah, Allah Taala memberi kesempatan pada malam ini bersama-sama para jemaah di Masjid Al-Muttaqin duduk dalam majlis ilmu yang diumpamakan sebagai taman-taman syurga, menghayati kuliah bulanan yang disampaikan oleh Ustaz Dato' Hj Shamsuri.
Salah satu hadis yang beliau bacakan adalah hadis (maksudnya) yang tertulis di atas. Dari sudut definisinya, DENGKI ini membawa maksud satu perasaan manusia yang berasa tidak senang melihat sesuatu nikmat/kelebihan yang dikecapi/dimiliki oleh manusia yang lain.
Ini adalah realiti yang terjadi pada kehidupan masyarakat pada hari ini. Pelbagai aspek yang boleh menyebabkan manusia tergolong ke dalam golongan hasad dengki ini. Antaranya, harta kekayaan, pangkat, kedudukan, kemahiran yang dimiliki, kecantikan/ketampanan, dan banyak lagi perkara-perkara yang lazimnya bersifat duniawi. Tanpa disedari, sifat ini amatlah tercela di sisi agama Islam. Bertitik tolak daripada perasaan dengki ini, maka akan timbullah pelbagai penyakit lain dalam masyarakat. Natijahnya, kita sesama kita boleh jadi bermasam muka, tidak bertegur sapa, saling benci membenci, akhirnya kita akan menjadi manusia yang rugi di dunia dan terlebih rugi di akhirat kelak. Sebagaimana amaran Nabi s.a.w, jika kita berselisih dengan individu yang lain oleh kerana satu-satu perkara, dan kesan daripada perselisihan itu kita tidak bertegur sapa melebihi 3 hari, maka, kita tergolong daripada golongan yang tercela di akhirat kelak.
Amatlah rugi...
Sebaliknya, beruntunglah orang-orang yang memiliki sifat dengki yang diizinkan oleh Allah melalui sabda Nabi s.a.w di atas. Sifat dengki dalam konteks hadis di atas membawa maksud yang positif. Dengan melihat lebihnya seseorang itu dari segi harta, secara automatiknya timbul rasa keinginan dalam diri kita untuk melakukan lebih banyak kebajikan dari apa yang dia lakukan sekiranya kita diberi keluasan rezeki oleh Allah sebagaimana dia. Ini bermakna kita mempunyai sifat berlumba-lumba dalam melakukan kebajikan. Sifat dengki ini diberi pahala oleh Allah sebagaimana pahala orang yang berharta dan menggunakan hartanya di jalan Allah.
Seterusnya, sama juga dengan manusia yang Allah kurniakan ilmu Al-Quran yang tak ternilai harganya. Dah lah berpengetahuan, orang tersebut juga menyampaikan ilmunya tersebut. Malah, tidak cukup dengan itu, dia amalkan pula isi kandungan yang terkandung dalam Al-Quran tersebut di dalam kehidupan sehariannya. Masya-Allah... Nikmatnya manusia yang mendapat kurnia sebegini. Jika lahir sifat dengki kita dengan niat kita cuba untuk menimba ilmu agar berilmu sebagaimana dia, maka, secara tidak langsung akan lahirlah generasi yang berilmu dan seterusnya tertegaklah Al-Quran sebagai panduan utama dalam kehidupannya.
Ya Allah...jauhilah daku dari sifat dengki yang tercela oleh-Mu, sebaliknya kurniakanlah daku sifat dengki yang diredhai oleh-Mu...Amin...

15 Januari 2010

PANDUAN SOLAT SUNAT GERHANA BULAN/MATAHARI


HUKUM SOLAT GERHANA

Sunat Muakkad مؤكدة
CARA-CARA SOLAT
Dua (2) rakaat seperti sembahyang sunat yang lain. Cuma bezanya sebagaimana yang masyhur ia mempunyai 2 kali ruku’ dan 2 kali qiam di dalam satu rakaat. Ianya sunat ditunaikan secara berjemaah di Masjid/Surau dan boleh juga secara bersendirian.

CARA-CARA PELAKSANAANNYA
Solat gerhana matahari dan bulan ini boleh dilakukan dengan 3 cara :
Bagi gerhana matahari, bacaan dalam solat dibaca dengan diperlahankan suara ; adapun bagi gerhana bulan bacaan hendaklah dibaca dengan diangkat suara seperti mana-mana solat malam.
Cara Pertama : Cara yang paling ringkas. Iaitu hendaklah ditunaikan dengan dua rakaat sepertimana solat sunat zuhur atau mana-mana solat sunat.

Cara Kedua : Disebut dengan “ أدنى الكمال ” iaitu hendaklah ditunaikan dengan dua rakaat, dengan dua kali qiam dan dua ruku’ pada tiap-tiap satu rakaat, disertai dengan bacaan al-Fatihah dan surah dalam tiap-tiap qiam itu.

Bagi kita di Malaysia ini, cara yang kedua inilah yang paling mudah dilaksanakan. Selepa takbir, dibaca doa iftitah dan al-Fatihah. Selepas selesai al-Fatihah, dibaca surah (mana-mana surah yang mampu). Kemudian ruku’ dan bangkit semula (qiam kedua). Di dalam qiam kedua ini dibaca al-Fatihah dan juga surah. Kemudian ruku’ semula (dipanggil ruku’ kedua).

Apabila bangkit I’tidal, terus sujud sebanyak dua kali. Apabila selesai sahaja dari sujud kedua dan bangkit barulah selesai rakaat yang pertama. Begitulah caranya bagi rakaat yang kedua.

Cara Ketiga : Cara yang paling sempurna. Caranya adalah seperti juga yang kedua akan tetapi dalam rakaat yang pertama dan qiam yang pertama hendaklah dibaca surah al-Baqarah ataupun mana-mana surah yang sama panjang dengannya. Di dalam rakaat yang pertama juga tetapi qiam yang kedua dibaca surah ali-Imran. Dalam rakaat yang kedua qiam yang pertama hendaklah dibaca surah al-Nisa’, dan dalam qiam yang kedua pada rakaat kedua dibaca surah al-Maaidah.

Kemudian hendaklah bertasbih dalam ruku’ yang pertama dengan kadar bacaan 100 ayat, dalam ruku’ yang kedua 80 ayat, ruku’ ketiga 70 ayat dan ruku’ yang keempat 50 ayat.

WAKTUNYA
Waktu bagi solat gerhana matahari dan bulan ialah bermula dari ketika berlakunya gerhana sehinggalah selesai.
TEMPAT SOLAT
Solat gerhana sunat dilakukan di masjid atau surau atau mana-mana tempat yang biasa dilakukan solat berjemaah.

ATURAN SOLAT GERHANA
1. Disunatkan mandi sebelum solat.
2. Bilal Menyeru :
( الصِّلاَةُ جَامِعَةً )
3. Berdiri lurus mengadap kiblat.
4. Berniat mengerjakan solat gerhana.

(1) Lafaz niat untuk gerhana bulan
أُصَلِّى سُنَّةَ الخُسُوفِ رَكْعَتَينِ للهِ تَعَالَى
“ Sahaja aku solat sunat gerhana bulan dua rakaat makmum kerana Allah Ta’ala”.

(2) Lafaz niat untuk gerhana matahari
أُصَلِّى سُنَّةَ الْكُسُوفِ رَكْعَتَينِ للهِ تَعَالَى
“ Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat makmum kerana Allah Ta’ala”.

5. Takbiratul Ihram. Doa Iftitah, Isti’azah (أَعُوْذُ بِالله مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ) , Bacaan Al-Fatihah dan Surah.
6. Ruku’ serta tasbihnya dan qiam semula.
7. Baca al-Fatihah dan Surah.
8. Ruku’, I’tidal kemudian sujud 2 kali (seperti biasa).
9. Kemudian qiam semula untuk mengerjakan rakaat kedua.
10. Baca al-Fatihah dan Surah.
11. Ruku’ berserta tasbihnya dan qiam semula.
12. Baca al-Fatihah lagi dan Surah.
13. Kemudian ruku’ I’tidal dan sujud 2 kali, baca tasyahhud akhir dan salam.
14. Selepas itu dibacakan khutbah khas sempena gerhana. Dua kali khutbah (seperti khutbah Hari Raya).

INGATAN :
1. Makmum yang tertinggal ruku’ yang pertama samada dalam rakaat pertama atau rakaat kedua, adalah dikira tidak mendapat rakaat itu dan dia hendaklah menyempurnakan rakaat yang luput itu selepas Imam memberi salam.
2. Maklumat lanjut sila ruju’ kitab Sabilal Muhtadin, karangan Sheikh Mohd Arshad bin Abdullah Al-Banjari, (Juz. 2 Hal. 58-60).
3. Sembahyang sunat gerhana matahari, segala bacaannya dilakukan dengan suara perlahan (khafiyy) , manakala bagi sembahyang sunat gerhana bulan, segala bacaannya dilakukan dengan suara yang nyaring (jahar).

Sumber: Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu.
Link lain yg berkaitan: Fakulti Tamadun Islam, UTM

14 Januari 2010

Gerhana Matahari Separa Jumaat Ini (29 Muharam 1431H / 15 Januari 2010)

KUALA LUMPUR: Fenomena gerhana matahari separa dijangka berlaku Jumaat ini, bermula 3.01 petang sehingga 5.38 petang dengan fasa pertamanya berlaku pada 3.01 petang dan mencapai tahap gerhana maksimum jam 4.26 petang.
Sempena fenomena itu, umat Islam digalakkan menunaikan solat sunat kusuf atau solat sunat gerhana matahari dan disertai dengan khutbah khas gerhana, menurut kenyataan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di sini, hari ini.
Jakim juga melalui Cawangan Falak akan mengadakan solat sunat kusuf di masjid utama negara iaitu Masjid Negara, Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Masjid Putra, Putrajaya pada jam 3.45 petang.
Selain itu, katanya aktiviti cerapan juga akan diadakan di keempat-empat masjid dengan kerjasama seperti Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem), Institut Tanah dan Ukur Negara (Instun), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Jabatan Mufti Selangor dan Institut Latihan Islam Malaysia (IIim), Bangi, Selangor.
Jakim menjadikan Masjid Putra, Putrajaya sebagai lokasi utama bagi menunaikan solat sunat kusuf, aktiviti cerapan dan pameran. Selain itu, katanya orang ramai juga dijemput mendengar ceramah berhubung fenomena itu yang akan diadakan di Masjid Putra, Putrajaya bermula jam 2.45 petang iaitu sebelum solat sunat kusuf disempurnakan.

Ceramah yang akan mengupas tajuk Fenomena Gerhana Matahari itu akan disampaikan oleh Dr Azhari Mohamed dari Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia. Jakim juga menyeru semua masjid dan surau di negara ini agar dapat mengambil kesempatan ini untuk mengadakan solat sunat kusuf. - Bernama

13 Januari 2010

SIFAT YAHUDI

Maka dengan sebab mereka mencabuli perjanjian setia mereka, Kami laknatkan mereka, dan Kami jadikan hati mereka keras membatu (tidak mahu menerima kebenaran). Mereka sentiasa mengubah Kalimah-kalimah (yang ada di dalam kitab Taurat dengan memutarnya) dari tempat-tempatnya (dan maksudnya) yang sebenar dan mereka melupakan (meninggalkan) sebahagian dari apa yang diperingatkan mereka dengannya dan engkau (wahai Muhammad) sentiasa dapat melihat perbuatan khianat yang mereka lakukan, kecuali sedikit dari mereka (yang tidak berlaku khianat). Oleh itu, maafkanlah mereka (jika mereka sedia bertaubat) dan janganlah dihiraukan kerana sesungguhnya Allah suka kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalannya. [Al-Maidah]
Mafhum ayat Allah di atas menggambarkandengan jelas berkaitan sifat Bani Israil atau Yahudi yang ada sehingga hari ini. Allah dengan jelas dan tegas memberi amaran kepada kita berkaitan perangai orang Yahudi yang begitu ingkar terhadap perintah Allah. Perbuatan mereka yang khianat terhadap agama Allah begitu jelas sehingga ke hari ini hinggakan bumi suci Palestin terus-terusan diganggu dan dicabuli oleh mereka.
Amatlah sedikit daripada mereka yang tidak melakukan khianat...Sesungguhnya Allah Maha penerima taubat...
Awas...jangan sampai sifat yang ada pada puak Yahudi ini ada pada diri kita...Dan, jangan sampai kita mengikuti jejak langkah mereka yang mengubah hukum Allah yang ada pada Taurat...seumpama orang-orang Nasrani yang mengubah Kitab Injil yang diturunkan kepada Nabi Isa a.s. Jika kita masih membangkang hukum yang terkandung dalam al-Quran, dan tidak menegakkan al-Quran sebagai panduan utama dalam kehidupan terutamanya dalam konsep kenegaraaan (perlembagaan, undang-undang), amaran Allah amat jelas.
Semoga kita tidak tergolong dalam golongan yang menyesal di hadapan Allah kelak...
Jangan kita ikut perangai orang Yahudi dan Nasrani...Dan, Orang Yahudi dan nasrani itu tidak akan mengiktiraf Islam sebagai agama yang benar sehingga hari kiamat. Yang pasti, Islam agama yang benar. Berpegang teguh kita pada tali Islam ini.
Ini bukan catatan seorang ustaz, tetapi sekadar catatan seorang mualaf...

8 Januari 2010

BAKAR GEREJA: ISLAM TAK SURUH PUN...

PETALING JAYA: Tindakan pihak tidak bertanggungjawab menyerang dan membakar tiga buah gereja di Lembah Klang awal pagi tadi bercanggah dengan Islam. -mStar Online (berita penuh)

Ini bukan budaya Islam. Ini tidak pernah diajar di dalam Islam. Allah mengingatkan dengan firman-Nya (mafhum):

Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Dia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan. [Al-An'am:108]

Saya amat yakin bahawa ini bukanlah perbuatan orang Islam yang benar-benar mengamalkan ajaran Islam kerana Islam tidak pernah mengajar kepada keganasan. Kita perlu bertanya dan terus bertanya...dari manakah titik mula masalah ini berlaku? Itulah punca sebenar masalah. Jika kita faham Islam, ini tidak akan berlaku. Oleh kerana kita dijahilkan oleh kita sendiri, maka keadaan ini berlaku.

Mungkin ini yang dimahukan oleh 'director' cerita ini!

Namun, saya masih berharap ini bukan kerja orang Islam!

HEBATNYA BURUNG TERBANG, DI SITU TERSEMBUNYI KEHEBATAN PENCIPTA-NYA

Tidakkah mereka memperhatikan burung-burung yang dimudahkan terbang melayang-layang di angkasa? Tiada yang menahan mereka (dari jatuh) melainkan Allah; sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi kaum yang beriman. [An-Nahl: 79]
Maha Suci Allah...Maha Kuasa Allah...
Hari-hari kita melihat burung berterbangan di udara...
Jika kita renung lebih dalam, di situ kita akan mendapati bahawa kekuasaan Allah menjadikan sesuatu amatlah luas...
Daripada memerhatikan burung terbang di angkasa, Allah mengilhamkan manusia kapal terbang...
Bezanya, kapal terbang hanya boleh terbang dengan dibantu oleh mesin/enjin yang memberikan daya tujahan agar ia boleh berlepas, terbang dan mendarat...semua itu hanya dengan izin Allah...
Berbeza dengan burung yang dijadikan oleh Allah dengan keistimewaannya tersendiri untuk boleh terbang tanpa bantuan enjin/mesin...
Manusia terbang...letakkanlah sayap dan kepakkan sayap...tidak akan terbang, kecualilah dipasangkan enjin padanya dan dengan izin Allah semata-mata...
Jika kita rajin memerhatikan ciptaan Allah yang terdapat di sekeliling kita, di situ kita akan menemui betapa kuasanya Allah dan di situ tersembunyi kebesaran-Nya...
Itu hanya bagi manusia yang mahu berfikir...

ALLAH TAALA DIGUNA ORANG KRISTIAN...LAMA DAH...

Mengapa baru sekarang baru 'berkokok'? Ini isu lama. Ini isu lapok. Adakah ia sekadar satu medan pertarungan untuk mencari siapa juara di antara juara?

Secara peribadinya, saya pun tidak suka nama yang mulia 'ALLAH TAALA' disalahguna oleh siapa sahaja sama ada oleh orang bukan Islam, dan lebih parah lagi oleh orang Islam sendiri.

Pengalaman saya selaku insan kerdil yang pernah 'beragama' Kristian pada zaman jahiliyah dulu, seingat sayalah...Perkataan Allah Taala ini telah lama digunakan. Di rumah panjang saya ada lagi 'kitab-kitab' berkaitan agama Kristian yang mana terdapat perkataan Allah Taala digunakan di sana-sini. Malah, dalam versi bahasa Iban pun ada! "Surat Sembiang"..."Perjanjian Baru" atau dalam Bahasa Iban dipanggil "Penyangup Baru"..."Bup Kudus"... Alhamdulillah, ada yang telah di 'ban'...Namun, tulisan-tulisan tersebut masih berselerakan di sana-sini dan boleh dibaca oleh sesiapa sahaja. 'Ban' hanya pada nama, realitinya, sejauh mana penguatkuasaan?

Itulah kita orang Malaysia. Kita mudah lupa. Adakah isu ini hanya sengaja dimainkan oleh pihak-pihak tertentu untuk menjadi juara politik? Jika kita kaji dan renung kronologi masalah ini secara ringkas, kita dapati pihak penguasa seolah-olah sengaja membiarkan akhbar 'Herald: The Catholic Weekly' tersebut memenangi kes di mahkamah kerana membiarkan seorang hakim non-muslim menghakimi kes tersebut. Sudah tak ada hakim Islam di Malaysia?

Yang penting, kita sebagai umat Islam perlu sedar bahawa kita perlu lebih sensitif dengan orang Islam yang tidak mengamalkan Islam lebih dari itu. Dan, kita perlu juga lihat diri kita, adakah Islam ini benar-benar diletakkan di tempat yang tertinggi di dalam negara kita atau sekadar tertulis agama rasmi sahaja dalam perlembagaan tetapi tidak dijadikan sebagai perlembagaan? Dan, banyak lagi persoalan yang perlu kita tanyakan pada diri orang Islam.

Sekali lagi saya tegaskan, saya tetap yakin bahawa Allah Taala tuhan yang satu. Tuhan yang mentadbir sekalian alam. Tuhan bagi semua makhluk. Tuhan yang perlu disembah oleh semua makhluk. Agama yang benar di sisi Allah Taala hanyalah Islam. Selain daripada Islam, jika kamu ingin menggunakan nama Allah Taala dengan ketauhidan yang salah daripada hakikat yang sebenar (selain Islam), tunggulah balasan yang sangat pedih di akhirat kelak.

4 Januari 2010

Islam atau Kufur: Syurga atau Neraka

Ada yang baik, akan ada yang buruk...

Ada yang baik, akan ada yang jahat...

Ada yang setia, ada yang mungkir...

Ada yang kuat, ada yang lemah...

Ada yang berkuasa, ada yang dikuasai...

Ada jantan, ada pula betina...

Ada tinggi, ada yang rendah...

Ada yang kecil, ada pula yang besar...

Cantiknya, kejadian yang Allah ciptakan...sesuai dengan firman-Nya (mafhum);

Maha Suci Tuhan Yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan; samada dari yang ditumbuhkan oleh bumi atau dari diri mereka ataupun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya. [Yasin: 36]


Dan, yang paling utama...

Ada yang BERIMAN, ada pula yang KAFIR...

Dari itulah wujudnya dosa dan pahala...

Daripada dosa dan pahala, dan daripada ISLAM dan KAFIR...

Allah Taala sediakan sama ada Syurga atau Neraka...

Sesungguhnya Allah akan memasukkan orang-orang yang beriman serta mengerjakan amal-amal yang soleh ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; dan (sebaliknya) orang-orang yang kafir menikmati kesenangan di dunia serta mereka makan minum sebagaimana binatang-binatang ternak makan minum, sedang Nerakalah menjadi tempat tinggal mereka. [Muhammad: 12]

Syurga hanya dihuni oleh orang Islam sahaja kerana Islam sahajalah agama yang benar...sama ada orang Islam itu cepat atau lambat masuk syurga tersebut...yang pasti Islam akan masuk syurga...

Oleh itu, orang-orang yang beriman kepada Allah dan berpegang teguh kepada (ajaran Al-Quran) ini, maka Allah akan memasukkan mereka ke dalam rahmatNya (yang khas iaitu syurga) dan limpah kurniaNya (yang tidak terkira) dan Allah akan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus (jalan agama Islam), yang membawa kepadaNya. [An-Nisa:175]

Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu. [Fussilat: 30]

Neraka pula dihuni golongan kufar...Orang Kafir pasti tinggal selamanya di dalam Neraka...Orang Islam yang banyak dosa, setelah dikafarahkan/setelah menerima balasan akibat dosa di dunia, baharulah orang Islam yang ada di neraka itu dipersilakan ke syurga...

Jika kamu menjauhkan dosa-dosa besar yang dilarang kamu melakukannya, Kami akan ampunkan kesalahan-kesalahan (dosa kecil) kamu dan kami akan masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga). [An-Nisa: 31]

Malangnya, yang kafir tetap di situ buat selama-lamanya...

Maka, pilihlah...Nak Syurga maka pilihlah Islam...

Nak Neraka, teruskan dalam kekafiran itu...

Sesungguhnya orang-orang yang kafir, harta benda mereka dan anak-anak mereka, tidak sekali-kali akan dapat menyelamatkan mereka dari (azab) Allah sedikitpun, dan mereka itu ialah ahli Neraka; mereka kekal di dalamnya. [Ali-Imran: 116]


Seterusnya, Allah berfirman lagi (mafhum);

Sesungguhnya Kami telah mengutuskan engkau (wahai Muhammad) dengan kebenaran, (serta menjadi) pembawa khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang ingkar) dan (setelah engkau sampaikan semuanya itu), engkau tidak akan diminta (bertanggungjawab) tentang ahli neraka. [Al-Baqarah: 119]

Orang kafir sememangnya tidak akan duduk senang dengan kebenaran Islam. Mereka pasti akan mengejek Islam sehabis-habisnya. Sebagai seorang mukmin, sabarlah kita menangani golongan ini yang tidak akan henti memesongkan pegangan kita pada agama yang benar ini. Firman Allah (mafhum);

Dan tidaklah ada tanggungjawab sedikitpun atas orang-orang yang bertakwa mengenai dosa orang-orang (kafir yang mengejek-ejek) itu, akan tetapi (kewajipan orang-orang Islam) ialah mengingati (larangan Allah itu) supaya mereka bertakwa. [Al-An'am:69]

Sama-sama kita berpegang teguh pada Islam yang benar ini. Yakinlah hanya Islam agama yang benar di dunia dan menyelamatkan kita setelah mati. Harta kekayaan di dunia bukan kayu ukur keimanan kepada Allah. Yang penting, berapakah markah Takwa kita kepada Allah Taala.

2 Januari 2010

DENGAN NAMAMU AKU HIDUP



Buku pertama bagi 1431H dan 2010M...

Buku berjudul "Asmaul Husna: Dengan Namamu Aku Hidup" hasil buah tangan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Buku setebal 309 muka surat ini memuatkan huraian-huraian berkaitan Amaul Husna...semoga memberikan ilmu yang bermanfaat untuk kehidupan di dunia dan bekalan ke akhirat. InsyaAllah...

1 Januari 2010

SELAMAT TAHUN BAHARU MASEHI...01.01.10 MENARIK?

Selamat menyambut tahun baru masehi 2010. Hari ini tanggal 01.01.10... Bagi pecinta-pecinta nombor dan golongan-golongan yang teksub dengan nombor ini, sudah pasti tarikh hari ini cukuo cantik...

Mungkin juga ramai yang 'kaki ekor' berpusu-pusu membeli nombor ini di pusat-pusat nombor ekor...

Dan mungkin juga ada yang mengambil tarikh ini sebagai tarikh bahagia bagi mereka sama ada hari pertunangan, perkahwinan dan sebagainya.

Yang pasti, tarikh hanya sekadar memudahkan catatan sejarah. Hanya sebagai panduan bagi memudahkan kita membuat sesuatu kiraan. Usahlah kita terikut-ikut dengan ketaksuban sesetengah pihak terhadap nombor-nombor. Bagi 'kaki ekor' atau bahasa kasarnya 'taik judi', pasti mereka begitu pantas mengkagumi nombor-nombor sebegini. Malah ada sesetengah orang bukan Islam takut terhadap nombor dan suka kepada sesuatu nombor kerana bagi mereka nombor ini boleh membawa bahagia dan membawa celaka bagi mereka.

Mengarut!!!

Ajal maut...untung rugi...rezeki...jodoh...semuanya sudah tertulis sejak azali lagi sebelum kita dilahirkan ke dunia. Kalau anda seorang Muslim, anda pasti tahu semua ini. Jika masih juga ragu, sama-sama kita servis iman kita!

Bagi seorang Muslim, Allah hanya memandang kita dari aspek 'takwa'... Tak kira kita ini miskin atau kaya, tua atau muda, berpangkat atau tidak, orang biasa atau orang politik, guru atau murid...Kita hanya dinilai dari TAKWA... Yang terbaik di antara kita (Islam) adalah sesiapa yang paling baik takwanya di sisi Allah. Ini sejajar dengan peringatan Allah bagi seluruh mukmin dalam ayat berikut (mafhum):

Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. [Surah Ali Imran: 102]
Allah tidak seru kepada seluruh 'manusia' tapi, hanya menyeru kepada 'orang-orang yang beriman' kerana bukan semua manusia yang beriman. Manusia yang tidak beriman sudah pasti neraka jahanam tampat kembali mereka.
Sesungguhnya orang-orang yang kafir dari Ahli Kitab dan orang-orang musyrik itu akan ditempatkan di dalam neraka Jahannam, kekallah mereka di dalamnya. Mereka itulah sejahat-jahat makhluk. [Surah Al-Bayyinah: 6]
Sudah pasti tidak akan sama di antara orang yang beriman dengan orang kafir.
Bandingan dua golongan (yang kafir dan yang beriman) itu samalah seperti orang yang buta serta pekak, dengan orang yang celik serta mendengar; kedua-dua golongan itu tidaklah sama keadaannya. (Setelah kamu mengetahui yang demikian) maka tidakkah kamu mahu mengambil peringatan dan insaf? [Surah Hud: 24]
Bagi kita yang Islam ini, kita perlu mempertahankan keimanan dan meningkatkan ketakwaan kita sehingga ke akhir umur.
Sama-sama kita berazam pada tahun baharu ini agar menjadi Mukmin yang bertaqwa kepada Allah s.w.t