Assalammualaikum / Salam sejahtera /Salam ukhuwah buat sahabat sekalian...
Mungkin belum terlewat untuk ana ucapkan Selamat Tahun Baru 2011. Perpindahan dari tahun ke tahun yang seterusnya menandakan meningkatnya usia kita sebagai seorang hamba yang mungkin boleh ana istilahkan sebagai musafir yang satu hari nanti pasti akan meninggalkan dunia ini.
Alhamdulillah...sebagai seorang muslim, adalah sangat wajar untuk kita menyedari betapa beruntungnya kita terpilih dengan hidayah dari-Nya dengan iman dan Islam. Agama yang satu-satunya yang benar di sisi Allah.
Masih ramai lagi saudara kita yang masih hanyut dari arus agama yang benar ini. Selemah-lemah iman yang ada, hanya doa yang termampu untuk dipohon kepada Allah. Tiada paksaan untuk mereka untuk menganuti agama Islam, namun usaha perlu diteruskan untuk berdakwah kepada saudara kita yang masih belum menikmati nikmat iman ini. "Tidak ada paksaan dalam agama (islam) kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan dia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." [Al-Baqarah: ayat 256] Sememangnya sukar. Pelbagai persoalan yang berlegar-legar di dalam pemikiran kita. Agama sangat sensitif bagi sesetengah orang. Perasaan takut untuk menyentuh perkara-perkara berkaitan agama sering menghantui. Sampai bila? Selagi hayat di kandung badan, selagi itulah kita boleh berusaha membantu mereka. Jika mereka sudah tiada, tiada gunanya untuk kita menyesal.
Mengekalkan iman yang sedia ada dan meningkatkan keimanan sedia ada satu tugas yang sudah pastinya sukar. Berapa ramai di antara kita yang lahir ke dunia daripada keluarga yang sedia ada Islam, namun persoalan yang perlu ditanya kepada diri; sejauhmana aku berpegang kepada Islam? Islamkah setiap gerak geriku? Perbuatanku selari dengan Islamkah? Keputusanku menurut Islamkah? pelbagai persoalan yang boleh kita ajukan buat diri. Masih ragu pada Islam kah?...
"(Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: Agama islam, yang kami telah sebati dengannya ialah): Celupan Allah yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak islam) dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat." [Al-Baqarah: ayat 138]
seterusnya, Allah menegaskan lagi dalam ayat yang lain;
"Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata." [Al-Baqarah: ayat 208]
Bagi yang masih belum Islam pula, ada di antaranya masih tercari-cari akan kebenaran Islam. Benarkah agama Islam ini? Kenapa orang Islam ada yang berbuat jahat jika Islam itu benar? Adakah keluargaku akan menyingkirkanku jika aku peluk islam? Bolehkah aku ubah rutin sebelum aku Islam kepada rutin seorang muslim? Dan...pelbagai 1001 soalan yang mengusutkan pemikiran.
Yakinlah saudaraku sekalian; "Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah islam..." [Ali Imran: Ayat 19].
Yakinlah jua wahai saudaraku...susah atau senang dalam Islam pasti ada hikmahnya. Allah Maha Mengetahui. Jika tidak di dunia, pastinya di akhirat ada ganjaran yang setimpal. InsyaAllah.
"Adapun orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka akan beroleh Syurga tempat tinggal yang tetap sebagai balasan bagi apa yang mereka telah kerjakan." [As-Sajadah: ayat 19].
dan, ana mengingatkan diri ana sendiri bahawa;
"(Tuhan berbuat demikian) supaya Dia menyoal orang-orang yang benar beriman tentang kebenaran iman mereka (untuk menyempurnakan balasan baik mereka) dan (sebaliknya) Dia telah menyediakan bagi orang-orang yang kafir, azab seksa yang tidak terperi sakitnya." [Al-Ahzab: Ayat 8].
Catatan insan kerdil;
Iban Muslim
Bangi
10/1/2011: 12.15pm