Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah islam dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya. [Surah Ali Imraan: Ayat19]

Rakan Iban Muslim

2 Ogos 2011

QIAMMULAIL

Alhamdulillah, selepas zohor semalam, aku berkesempatan mendengar kuliah agama yang disampaikan oleh Datuk Sheikh Abdul Hamid Tahir di Masjid Nur-Fadhilah, IPK Kedah dan disiarkan melalui radio Kedah.fm. Topik perbincangan pada kuliah tersebut membicarakan perkara berkaitan Qiammualail.
Menurut Datuk, tiga solat sunat yang utama yang wajar dikerjakan dalam qiammualail ialah solat sunat Taubat, diikuti solat sunat hajat, dan seterusnya solat sunat tahajud. Waktu ataupun masa dikerjakan qiammualail adalah selepas tengah malam dan sebelum fajar/subuh.
Secara ringkasnya, Solat sunat Taubat dikerjakan sebanyak 2 rakaat dengan membacakan ayat Al-Kaafirun pada rakaat yang pertama dan membaca surah Al-Ikhlas pada rakaat yang kedua. Setiap manusia yang hidup di dunia sukar untuk lari daripada melakukan dosa. Solat sunat Taubat tidak semestinya dilakukan apabila kita melakukan dosa-dosa tertentu sahaja, tetapi digunakan untuk kita untuk memohon keampunan daripada Allah Taala di atas dosa-dosa yang dilakukan sepanjang hari, sepanjang minggu, sepanjang bulan, malah sepanjang tahun yang mana secara sedar atau tidak kita telah melakukan dosa kepada Allah Taala.
Setelah selesai, terus lakukan solat sunat hajat. Solat sunat hajat boleh dilakukan di antara 2 hingga 12 rakaat. Terpulang kepada kemampuan masing-masing. Lazimnya pada rakaat pertama dibaca ayat Al-Kaafirun atau Ayat Qursi, dan rakaat kedua dibacakan ayat Al-Ikhlas. Jika ingin membaca surah yang lain pun tiada salahnya, asalkan ayat Al-Quran! Solat sunat hajat ini dikerjakan bukan menunggu kita berhajat terhadap sesuatu. Sedar atau tidak, sebagai manusia kita senantiasa berhajat. Maka, dalam solat inilah kita memohon daripada Allah Taala agar diperkenankan apa jua hajat (yang baik) apabila dihajati.
Dan, selepas selesai mengerjakan solat sunat hajat, baharulah dikerjakan solat sunat tahajud di antara 2 hingga 12 rakaat. Dalam kes bulan Ramadhan, di mana ramai di antara kita yang telah melaksanakan solat sunat witir di masjid-masjid setelah solat sunat terawih, menurut Datuk, TIDAK PERLU melaksanakan solat sunat witir lagi semasa qiammualail. Ini kerana Nabi s.a.w pernah berpesan bahawa tidak ada dua witir dalam satu malam. Solat sunat witir pula disunatkan untuk dilakukan secara berjemaah di bulan Ramadhan.
Demikianlah sedikit catatan ringkas hasil kuliah yang diikuti melalui radio. Yang baik semuanya datang dari Allah Taala, yang kurang tu adalah datang dari kelemahan diriku sepanjang mencatat sambil mendengar...Wallahu'alam...